Pinjaman Along Segera 2021 (6 Bahaya & Risiko Pinjam Ahlong)

Anda pernah membuat pinjaman wang kecemasan daripada orang lain? Kebanyakan daripada kita sudah terbiasa meminjam duit orang apabila diri kita ditimpa masalah kewangan, sama ada secara individu atau masalah kewangan yang melibatkan ahli keluarga. Apabila sampai satu tahap, kita seolah-olah tiada cara lain untuk mendapatkan duit mudah, tambahan apabila kita memerlukan wang itu dengan segera untuk menyelesaikan masalah kita seperti pinjaman along segera.

Bila perlu pinjaman segera, nak meminjam daripada bank, bank tidak luluskan. Apabila atau kenalan atau saudara-mara terdekat tidak mampu untuk meminjamkan wang tersebut, maka ada antara kita yang mengambil jalan lain dengan meminjam wang daripada along. Siapa itu along?

Apa itu Along?

Along atau ‘Ah Long’ adalah terma yang merujuk kepada syarikat pinjaman wang yang tidak berlesen. Kebiasaannya, mereka yang terikat dengan pinjaman Along adalah daripada golongan yang berpendapatan rendah atau yang benar-benar terdesak dan memerlukan wang tunai dengan segera. Situasi ini terjadi kerana pinjaman Along adalah lebih mudah, ringkas dan kebiasaannya tidak memerlukan sebarang pemeriksaan kredit berbanding dengan pinjaman bank atau syarikat pinjaman wang yang berlesen.

Walaupun tidak berlesen, iklan-iklan poster tentang pinjaman Along boleh dijumpai di sekitar kota bagi menarik perhatian orang ramai, dengan kata-kata manis yang memikat hati mereka yang memerlukan.

Namun hakikatnya, meminjam daripada along hadir dengan risiko yang tinggi. Ramai yang sedar tentang hal ini, tetapi memandang rendah.

Ini kerana mereka menganggap bahawa selagi jumlah wang yang dipinjam adalah kecil dan dibayar dalam tempoh sesingkat yang mungkin, urusan pinjaman wang daripada Along boleh berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Namun, itu bukanlah cara along menjalankan perniagaan mereka.

Bahaya pinjam duit kecemasan dari Along

Di bawah adalah sebab-sebab mengapa berhutang dengan along boleh menghancurkan kehidupan anda serta keluarga anda.

 

Bantuan Duit Segera Along, Kadar Faedah Dengan Terma Sepuluh Tiga

‘Sepuluh tiga’ ialah kadar faedah yang dikenakan ke atas peminjam, dan digunakan dalam bisnes peminjaman wang oleh along. Kadar faedah sepuluh tiga bermaksud faedah sebanyak 30% untuk sebulan dalam setiap transaksi peminjaman wang. Sebagai contoh, dalam bahasa mudah, anda boleh rujuk di bawah:

Andaikan anda membuat pinjaman sebanyak RM100 daripada along:

Jumlah dipinjam : RM100

Faedah perlu dibayar (sebulan) : 30% = 30/100 x RM100 = RM30

Faedah untuk pinjaman 12 bulan = RM30 X 12 = RM360

Jumlah keseluruhan = Faedah pinjaman 12 bulan + Jumlah dipinjam

= RM360 + RM100 = RM460

 

Jauh bezanya dengan jumlah pinjaman anda bukan? Jadi, adakah anda masih untuk meminjam wang segera daripada along? Tambahan pula, terma ‘sepuluh tiga’ bukanlah satu-satunya kadar faedah yang ditawarkan oleh along. Terdapat lagi kadar faedah yang lain termasuklah ‘sepuluh empat’ dan ‘sepuluh lima’. Kadar faedah yang akan ditawarkan kepada peminjam adalah bergantung kepada jumlah wang yang ingin dipinjam serta situasi kredit peminjam.

Selain itu, syarikat pinjaman wang along ini sangat licik dalam melakukan strategi pemasaran. Mereka memperkenalkan konsep pinjaman ‘hari-hari’, iaitu satu konsep faedah harian ke atas pinjaman kecil, dan sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan, terutamanya apabila mereka menyasarkan golongan yang susah dan terdesak seperti pekerja buruh, petani dan juga peniaga kecil-kecilan.

Peminjam yang menggunakan konsep ini kebiasaannya tertarik dengan proses permohonan pinjaman yang mudah dan sangat pantas.

Peminjam tidak perlu untuk melawat along itu sendiri untuk membuat bayaran balik ke atas pinjaman mereka, yang mereka perlu bayar setiap hari sehingga selesai. Sebaliknya, pengutip hutang yang berkhidmat dengan along itu akan membuat lawatan setiap hari ke kediaman, atau tempat kebiasaan peminjam itu berada seperti ke tempat kerja mereka, untuk mengumpul pembayaran balik.

Bunyinya nampak mudah, tetapi anda perlu ingat bahawa pinjaman yang dibuat tetap dikenakan faedah yang akan menimbun setiap hari, dan pengutip hutang along akan tetap menjalankan tugas mereka mengumpulkan wang pinjaman anda, sama ada anda ketika itu mampu untuk membayar ataupun tidak.

Sekiranya tidak mampu, ia akan dibawa ke hari-hari yang seterusnya, dan hutang akan bertambah. Sangat bahaya dan berisiko.

 

Pinjaman Along Segera, Ada Kos Dan Terma Yang Tersembunyi

Walaupun anda pernah dijanjikan perkara yang baik semasa anda mula-mula ingin membuat pinjaman daripada along, hakikatnya banyak perkara yang tidak kena dengan perniagaan mereka. Salah satu yang jelas ialah along tidak mempunyai terma dan syarat yang jelas sebelum anda menandatangani perjanjian pinjaman.

Hal ini tidak berlau sekiranya anda membuat pinjaman wang daripada bank atau institusi kewangan seperti syarikat peminjam wang yang berlesen.

Anda tidak akan dimaklumkan dengan jelas tentang kos tambahan dan caj yang mungkin dikenakan, sebagai contoh, sekiranya anda terlepas satu pembayaran balik yang anda perlu lakukan mengikut kepada jadual yang pihak mereka tentukan.

Sama seperti bank, along juga mengenakan kadar faedah penalti sekiranya anda terlewat atau terlepas pembayaran. Namun, kadar penalti yang dikenakan oleh along kebiasaannya lebih tinggi daripada bank.

Selain itu, peraturan dan kadar faedah yang mereka tentukan boleh berubah setiap masa tanpa sebarang halangan, kerana syarat-syarat untuk melakukan pinjaman ini tidak tertera secara hitam putih.

 

Pinjaman Kecemasan Segera Along, Barangan Atau Dokumen Peribadi Sebagai Wang Jaminan

Satu perkara yang cukup tidak disenangi apabila berurusan dengan along ialah cara mereka berurusan dengan anda. Sering kali kita dengar bahawa along akan mengambil barangan peribadi anda dengan alasan sebagai wang jaminan atau cagaran.

Kad pengenalan, pasport, dan kad bank sering dirampas oleh pihak mereka dengan tujuan memastikan pembayaran anda akan berterusan, walaupun ia sah menyalahi undang-undang. Anda tidak akan dapat melarikan diri daripada mereka selagi anda tidak menyelesaikan hutang anda kepada mereka.

Kad pengenalan, pasport dan kad bank adalah dokumen pengenalan diri anda yang sangat penting, dan tidak sepatutnya jatuh ke tangan orang lain, mengikut undang-undang, melainkan sekiranya ditahan oleh pihak penguatkuasa undang-undang bagi perkara-perkara rasmi sahaja.

Segala maklumat peribadi anda perlulah dilindungi bagi mengelakkan tercetusnya masalah lain. Ada kemungkinan bahawa along ini akan menyalahgunakan butiran peribadi anda tanpa pengetahuan anda.

Sebagai contoh, along mungkin akan menggunakan maklumat anda untuk memohon pinjaman lain atau menggunakannya untuk sindiket lain seperti kecurian identiti.

Elakkanlah. Terlalu banyak kesan buruk jika buat pinjaman duit segera dengan ah long.

 

Pembayaran Balik Secara Lump Sum Atau Secara Penuh Tidak Dibenarkan

Jarang sekali along membenarkan anda untuk menyelesaikan hutang anda secara sekaligus. Kenapa? Kerana ini akan membawa kerugian kepada perniagaan mereka.

Selain mengutip hutang anda, mereka juga ingin mengutip faedah yang akan dibayar oleh anda bersama hutang anda. Pembayaran secara sekaligus akan melibatkan pembayaran faedah yang rendah, walaupun kadar faedah yang mereka kenakan adalah tinggi. Sekaligus, merugikan mereka.

Demi keuntungan, mereka akan memastikan anda tetap membayar secara ansuran dengan jumlah yang rendah, supaya pembayaran faedah juga turut berjalan. Mereka tidak akan peduli dengan kesempitan hidup anda ataupun masalah anda. Yang penting, mereka akan peroleh keuntungan.

Terlalu berisiko kepada kita sebagai peminjan jika gagal melangsaikan pinjaman along segera ini.

 

Buat Pinjaman Along Segera Daripada Ahlong Lain Sekiranya Tidak Mampu Untuk Bayar

Anda pasti akan menghadapi masalah untuk membayar kepada along, lebih-lebih lagi dengan terma serta kadar faedah yang tidak masuk akal. Apabila anda tidak mampu lagi untuk membayar, anda akan ditekan oleh pihak mereka untuk membuat pinjaman kepada syarikat along lain untuk menyelesaikan hutang anda.

Mungkin nampak sebagai jalan penyelesaian singkat, tambahan pula prosesnya adalah pantas. Tetapi, ini hanyalah taktik mereka untuk membuat anda terikat dengan hutang yang lebih besar dan faedah yang jauh lebih tinggi.

Ini adalah berbeza dengan kaedah penyatuan hutang yang digunakan oleh bank untuk peminjam.

 

Pinjaman Duit Segera Akan Ganggu Fizikal & Mental Individu Serta Ahli Keluarga

Ini adalah antara bahaya dan risiko terbesar jika buat pinjaman duit segera dari along.

Bagi anda yang sudah pernah meminjam dengan along, anda sudah pasti tahu kaedah yang digunakan oleh along setiap kali mereka ingin mengutip hutang. Apabila pengutip hutang datang berjumpa dengan anda, pelbagai cara yang tidak elok digunakan oleh mereka untuk memaksa anda membayar hutang.

Ancaman dan ugutan adalah taktik yang sering digunakan, dan mampu membawa kepada keganasan. Tambahan pula, mereka tidak akan teragak-agak untuk membuat ancaman kepada ahli keluarga anda sendiri.

Pelbagai jenis keganasan boleh mereka gunakan, seperti menceroboh rumah anda dan merosakkan harta benda, memecahkan barangan dalam rumah anda dan mampu juga untuk membakar perabot di rumah anda.

Kadangkala, mereka akan membawa senjata seperti kayu untuk mengugut anda atau ahli keluarga anda, sehingga mereka sanggup mendatangkan kecederaan kepada anda dan ahli keluarga anda. Mereka juga tidak teragak-agak untuk membunuh.

Sekiranya ancaman berlaku akibat buat pinjaman duit segera dari along, sila buat laporan polis.

 

Akhir kalam

Kesimpulannya, tiada yang baik pun akan datang untuk anda sekiranya anda meminjam wang daripada along. Pinjaman along segera itu lebih banyak mudaratnya.

Proses peminjaman wang yang mudah dan pantas berbanding pinjaman daripada bank atau syarikat pinjaman wang berlesen hanyalah sekadar untuk mengaburi mata anda terhadap dunia gelap yang bakal anda tempuh setelah anda mula berurusan dengan mereka.

Walaupun anda mungkin memerlukan wang itu dengan segera, meminjam daripada along bukanlah langkah yang bijak, malah tidak waras, terutamanya apabila soal nyawa anda serta ahli keluarga juga menjadi taruhan.

Jika anda betul-betul memerlukan wang, cari syarikat pinjaman wang yang sah dan berlesen, sekiranya anda tidak mendapat kelulusan untuk membuat pinjaman daripada bank. Bagi kakitangan kerajaan dan badan berkanun, mendapat pinjaman peribadi dari bank mungkin sukar disebabkan oleh peraturan yang ketat, tetapi walau apa cara sekalipun anda dinasihatkan agar tidak membuat pinjaman dari along dalam apa jua keadaan.

Apapun, jauhilah along demi keselamatan anda dan juga keluarga. Jangan disebabkan satu kesilapan anda, nyawa orang yang tersayang melayang begitu sahaja. Ingatlah sebelum bertindak. Jangan terpedaya dengan pinjaman duit segera tanpa slip gaji.

Mohon maaf kerana kami tidak kongsi cara buat pinjaman duit segera dengan along. Yang ada ialah cara yang selamat.

Semoga perkongsian berkenaan risiko, bahaya dan kesan pinjaman along segera ini akan membuatkan anda berfikir masak-masak sebelum berhutang dengan mereka.

Semoga bermanfaat.

10 thoughts on “Pinjaman Along Segera 2021 (6 Bahaya & Risiko Pinjam Ahlong)”

  1. Saya mohad hanif nk pinjam duit 500 untuk bayar hutang dangan cina.tempoh smpai 16.3.2022 saja mintal tolong sangt2

    Reply

Leave a Comment