Cara Solat Jamak Takhir, Takdim, Qasar (Zohor + Asar) (Maghrib + Isyak)

Kami yakin anda adalah orang yang betul-betul menjaga solat. Setinggi-tinggi tahniah kami ucapkan. Izinkan kami berkongsi cara solat jamak seperti di bawah ini.

Jika anda sudah tahu cara untuk melakukan solat dan hanya mencari niat solat jamak sahaja, langkau artikel ini dan terus klik niat solat jamak taqdim dan niat solat jamak takhir.

Bagi yang selalu bermusafir, anda mesti tahu cara solat jamak. Jangan jadikan alasan penat berjalan jauh untuk meninggalkan solat.

Dalam masa kita bermusafir, Allah S.W.T telah memudahkan segala urusan perjalanan kita dengan membenarkan kita semua untuk solat jamak dan qasar. Baik sungguh Allah!

Ini yang secara umumnya disebut sebagai rukhsah solat (kemudahan). Tapi masih ramai yang tak tahu bagaimana cara untuk melakukan solat jamak dan qasar ini.

Oleh itu, di bawah adalah panduan lengkap beserta jawapan kepada persoalan umum bagi yang hendak melakukan solat jamak dan qasar. Izinkan kami berkongsi cara solat jamak, iaitu jamak takhir dan takdim; berserta cara solat qasar. Hanya untuk solat Zohor dengan Asar, dan Maghrib dengan Isyak.

Panduan solat musafir (Lebuhraya PLUS, PLUS Expressways Berhad)

Jika anda adalah salah seorang individu yang mahukun maklumat berkenaan solat jamak yang ringkas, padat dan pantas, boleh rujuk PANDUAN SEMBAHYANG MUSAFIR yang kami ambil dari Hentian Jejantas Rehat & Rawat (R&R) Ayer Keroh, Melaka (Arah Utara).

Panduan solat musafir PLUS highway

Terima kasih kami ucapkan kepada pihak PLUS yang sudi framekan panduan ini cantik-cantik di dinding. Mudah untuk kami rujuk.

Bagi yang ragu-ragu, sila rujuk nota kecil di bawah panduan ini. Untuk makluman, panduan dari PLUS ini dipetik dari buku Panduan Sembahyang Musafir oleh Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.

 

Panduan solat jamak (Lebuhraya Karak, ANIH Berhad)

Bagi yang lebih mudah faham dengan visual berbanding tulisan, ini gambar PANDUAN SOLAT JAMAK & QASAR yang kami ambil daripada stesen minyak Shell, lebuhraya Karak (Arah Kuala Lumpur).

Panduan solat jamak lebuhraya Karak

Terima kasih pihak Jabatan Agama Islam Negeri Pahang, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Pahang, ANIH Berhad, Pusat Kutipan Zakat Negeri Pahang dan tidak dilupakan penyedia stesen minyak Shell ini yang sudi menampal di dinding surau.

Nota: Sila ambil perhatian bahawa ramai orang tersalah arah kiblat surau Shell ini. Masuk-masuk ruangan surau selepas ambil wuduk, anda perlu pusing 180 darjah. Bagi mengelakkan tersilap arah kiblat, rujuk penanda arah kiblat yang ditampal di bahagian atas siling.

 

Apa itu Solat Jamak?

Solat Jamak bererti mengumpulkan dua solat dalam satu waktu. Solat Jamak terbahagi kepada dua iaitu Jamak Takdim dan Jamak Takhir.

Apa itu Jamak Takdim?

Jamak Takdim adalah Solat Jamak yang dilakukan pada awal waktu antara dua solat tersebut. Sebagai contoh ketika masuknya waktu Zohor, solat jamak dimulakan dahulu dengan Solat Zohor kemudian disambung pula dengan Solat Asar.

 

Apa itu Jamak Takhir?

Bagi Jamak Takhir pula, ketika masuknya waktu Asar, solat jamak dimulakan dengan Solat Asar kemudian disambung dengan Solat Zohor. Anda juga boleh melakukan solat Jamak dan Qasar pada waktu yang sama.

 

Apa itu Solat Qasar?

Dalam erti kata yang mudah, solat Qasar ialah memendekkan solat daripada 4 rakaat kepada 2 rakaat.

 

Contoh Solat Jamak

Bagi contoh Solat Jamak, anda boleh lihat di bawah:

  • Zohor (4 Rakaat) + Asar (4 Rakaat) (Jamak Takdim)
  • Asar (4 Rakaat) + Zohor (4 Rakaat) (Jamak Takhir)
  • Maghrib (3 Rakaat) + Isyak (4 Rakaat) (Jamak Takdim)
  • Isyak (4 Rakaat) + Maghrib (3 Rakaat) (Jamak Takhir)

* Solat Jamak hanya boleh dilakukan bagi empat waktu di atas dan tidak boleh dilakukan untuk Solat Subuh.

 

Contoh Solat Qasar

Bagi contoh  Solat Qasar, anda boleh lihat di bawah:

  • Zohor (4 Rakaat) ; di pendekkan menjadi ; Zohor (2 Rakaat)
  • Asar (4 Rakaat) ; di pendekkan menjadi ; Asar (2 Rakaat)
  • Isyak (4 Rakaat) ; di pendekkan menjadi ; Isyak (2 Rakaat)

* Solat Qasar hanya boleh dilakukan bagi tiga waktu di atas dan tidak boleh dilakukan bagi waktu Subuh dan Maghrib.

 

Contoh Solat Jamak + Qasar (Digabungkan)

Bagi contoh  gabungan solat jamak dan solat qasar, anda boleh lihat di bawah:

  • Zohor (2 Rakaat) + Asar (2 Rakaat)
  • Asar (2 Rakaat) + Zohor (2 Rakaat)
  • Maghrib (3 Rakaat) + Ishak (2 Rakaat)
  • Ishak (2 Rakaat) + Maghrib (3 Rakaat)

*Kebiasaannya, memang ramai orang akan buat solak jamak qasar sekali. Ini kerana iadapat  memendekkan waktu solat dan boleh meneruskan perjalanan ke destinasi.

 

Syarat Sah Solat Jamak dan Qasar

  • Solat Jamak dan Qasar boleh dilakukan bagi seseorang yang melakukan perjalanan yang melebihi 2 marhalah iaitu bersamaan dengan 96 KM
  • Orang yang mendirikan Solat Qasar tak boleh berimamkan orang yang solat sempurna iaitu tamam.
  • Arah tujuan dan perjalanannya mestilah ditentukan dan dipastikan terlebih dahulu.
  • Musafir yang dilakukannya mestilah kerana sesuatu kebaikan dan bukan kerana maksiat.
  • Tempoh niat untuk menetap di kawasan tujuan musafirnya mestilah tidak melebihi tiga (3) hari (tak termasuk hari pergi dan sampai).
  • Sekiranya dalam perjalanan pulang, boleh lagi dilakukan Solat Jamak dan Qasar dengan syarat belum memasuki daerah atau mukimnya.

 

Jamak Takdim

Cara Solat Jamak Takdim serta Qasar (Zohor)

Perlu dingatkan di sini, jika menyusahkan, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takdim Zohor

Solat Jamak Takdim Zohor dengan Qasar
“Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat jamak takdim serta qasar kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Beri salam

 

Cara Solat Jamak Takdim serta Qasar (Asar)

Melakukan sembahyang Asar dalam waktu Zuhur itu di namakan jamak takdim.
Perlu dingatkan di sini, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takdim Asar

Solat Jamak Takdim Asar dengan Qasar
“Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat jamak takdim serta qasar kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Beri salam

Cara Solat Jamak Takdim serta Qasar (Maghrib)

Perlu dingatkan di sini, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takdim Maghrib

Jamak Takdim Qasar Maghrib Isyak
“ Sahaja aku solat Fardhu Maghrib tiga rakaat jamak takdim kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah
  • Beri salam

 

Cara Solat Jamak Takdim serta Qasar (Isyak)

Melakukan sembahyang Isyak dalam waktu Maghrib itu dinamakan jamak takdim.
Perlu dingatkan di sini, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takdim Isyak

Jamak Takdim Qasar Isyak Maghrib
“ Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat jamak takdim serta qasar kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Beri salam

 

Jamak Takhir

Cara Solat Jamak Takhir serta Qasar (Zohor)

Melakukan sembahyang Zuhur dalam waktu Asar itu di namakan jamak takhir.
Perlu dingatkan di sini, jika menyusahkan, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takhir Zohor

Jamak Takhir Zohor
“Sahaja aku solat Fardhu Zohor dua rakaat jamak takhir serta qasar kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Beri salam

 

Cara Solat Jamak Takhir serta Qasar (Asar)

Perlu dingatkan di sini, jika menyusahkan, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takhir Asar

Jamak Takhir Asar
“Sahaja aku solat Fardhu Asar dua rakaat jamak takhir serta qasar kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Beri salam

 

Cara Solat Jamak Takhir serta Qasar (Maghrib)

Melakukan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak itu dinamakan jamak takhir.
Perlu dingatkan di sini, jika menyusahkan, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takhir Maghrib

Jamak Takhir Maghrib
“ Sahaja aku solat Fardhu Maghrib tiga rakaat jamak takhir kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat ketiga, baca Al-Fatihah
  • Beri salam

 

Cara Solat Jamak Takhir serta Qasar (Isyak)

Perlu dingatkan di sini, jika menyusahkan, tidak perlu sampai hafal niat dalam Bahasa Arab. Dalam Bahasa Melayu sudah cukup.

Niat Jamak Takhir Isyak

Jamak Takhir Isyak
“ Sahaja aku solat Fardhu Isyak dua rakaat jamak takhirserta qasar kerana Allah Taala.”

Selanjutnya:

  • Rakaat pertama, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat kedua, baca Al-Fatihah dan surah
  • Rakaat ketiga, baca Al-Fatihah
  • Beri salam

 

Soalan yang kerap ditanya

Bolehkah kita himpunkan solat Jumaat dengan Solat Asar?

Ada dua pendapat daripada ulama’ yang telah diterangkan oleh mufti Wilayah Persekutuan iaitu:

  • Pertama, harus. Inilah pendapat ulama Syafie dan ditashihkan oleh Imam al-Suyuti dan dii’timadkan oleh al-Zarkasyi. Begitu juga telah diberi fatwa dengannya oleh Syeikh al-Ramli. Dalil mereka berdasarkan kepada qiyas solat Jumaat dengan Zohor.
  • Kedua, tidak harus. Inilah pendapat yang masyhur di kalangan Hanbali dan satu wajah di sisi ulama Syafie. Mereka berhujah jamak Asar kepada Jumaat tidak diharuskan kepada syarak kerana ibadah pada asalnya dibina atas tawaqquf tanpa boleh diqiyaskannya.

Jadi mengikut pendapat pertama ianya diharuskan bagi menjamakkan solat Jumaat dengan Asar kerana hujahan tersebut cukup kuat disamping adanya maslahat.

 

Bolehkah solat berjemaah bagi mendirikan Solat Jamak dan Qasar?

Boleh dan mestilah dalam jemaah baru dan bukan berimamkan imam yang solat sempurna (tamam)

 

Berapa lama boleh menetap dan dikira musafir?

Sila lihat infografik di bawah berkenaan perkiraan hari dalam hukum solat musafir oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Fatwa Mufti Wilayah

Macam mana kalau musafir pada hari Jumaat?

Adakah wajib solat jumaat bagi orang bermusafir pada hari Jumaat?

Berdasarkan hantar di Facebook JAKIM, Menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Syafi’e, sekiranya permusafiran pada hari Jumaat dilakukan sebelum fajar, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.

Sekiranya seseorang itu bermusafir dan permusafirannya itu melebihi 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaian solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim

Terakhir, sekiranya permusafirannya kurang daripada 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar dari tempat tersebut, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.

Musafir pada hari Jumaat

 

Akhir kalam

Jalan, jalan juga. Solat jangan tinggal. Allah tetap nombor 1.

Tidak kiralah anda menaiki kapal terbang ke luar negara; ataupun sekadar di lebuhraya, tunaikan dulu kewajipan solat. Sekadar ingatan, jangan tergesa-gesa dan jangan lupa baca doa selepas solat.

Jika berhenti di lebuhraya PLUS, ada cara solat jamak yang ditampal di dinding-dinding surau. Jika tidak ada, simpan artikel ini untuk rujukan akan datang.

Selamat sampai ke destinasi.

Semoga bermanfaat.

9 thoughts on “Cara Solat Jamak Takhir, Takdim, Qasar (Zohor + Asar) (Maghrib + Isyak)”

  1. Assalamualaikum tolong cek semula terjemahan ‘Niat Jamak Takdim Isyak’. Dalam bahasa Arab nya Isyak tapi terjemahannya Maghrib. Saya harap tiada yang terkeliru ya.

    Apa pun, terima kasih atas perkongsian.

    Reply
  2. Musafir namun tertinggal zohor dan asar kerana tiada langsung tempat solat sehinggalah masuk maghrib baru jumpa tempat solat..bagaimana..

    Reply
    • Solat dilakukan di mana-mana tempat, pastikan tempat solat bersih. Jika solat di atas tanah pastikan kiblat bulan kawasan laluan org ramai. Ke2, Guna apa2 alas sebagai pelapik kemudian baru bentang kain bersih sebagai sejadah.

      Reply
  3. Adakah solat jamak n qasar cuma dilakukan semasa dlm perjalanan? Bila ktk sampei ke negeri lain sebagai musafir..blh dikerjakan solat jamak & qasar dihotel?

    Reply
  4. Perbezaan jamak taqdim vs jamak takkhir dari segi jarak waktu pelaksanaan solat yg pertama dgn solat kedua. Saya difahamkan dlm jamak taqdim selepas solat pertama (xohir/maghrib) kena segers sokat yg kedua ( asar/isyak). Bagaimana dgn jamak takkhir? Berapa lama boleh dilengahkan selepas solat pertama (asar/usyak) dgn solat yg kedua (zohor/maghrib)⁉️ Mohin pencerahan. Makasih. Azmi J.

    Reply
  5. dalam section “niat jamak takhir isyak”, niat 2 rakaat sbb himpunkan dgn maghribkan? tp dlm “cara solat” tu ada 3 rakaat. boleh jelaskan yg mana yg betul? kena ikut rakaat maghrib(3 rakaat) or ikut niat 2 rakaat tu yg betul? terima kasih tuan share panduan.

    Reply
  6. Nota tepi:
    1. Jika mengerjakan niat solat jamak sahaja, bilangan rakaat masih sama seperti biasa..
    – jamak ada 2, takdim dan takhir..
    – istilah waktu pertama: zohor dan maghrib, dan istilah waktu kedua: asar dan isya’
    – jamak takdim: melakukan solat waktu kedua dalam waktu pertama, begitu juga sebaliknya; jamak takhir: melakukan solat waktu pertama dalam waktu kedua
    2. Tapi ramai memilih untuk niat jamak dan qasar..jamak bermaksud himpun (kumpul/sekalikan/dilakukan bersama), qasar bermaksud pendek (memendekkan rakaat dalam solat).
    – jadi mereka memilih solat jamak serta qasar cuma hanya waktu maghrib sahaja tak boleh dipendekkan waktu..waktu seperti asal iaitu 3 rakaat..yang solat lain 4 rakaat asal boleh pendek jadi 2 rakaat sahaja..

    Reply

Leave a Comment