Doa Selepas Solat Fardhu (Ada 22 Contoh Yang Ringkas)

Mungkin contoh doa selepas solat fardhu lima waktu yang kami kongsikan ini agak banyak dan panjang. Namun, jika anda pilih satu sahaja yang pendek, maka ia adalah doa selepas solat yang ringkas.

Jadi, kami nasihatkan, cuba ambil satu sahaja yang ringkas dan mudah.

Selepas itu cuba hafal yang dalam Bahasa Arab berserta maksudnya dalam Bahasa Melayu, dan amalkan setiap hari.

Doa selepas solat berjemaah

Adakah doa-doa selepas solat ini hanya untuk solat bersendirian?

Jawapannya tidak.

Jika anda ingin membaca doa selepas solat berjemaah di surau atau masjid, ataupun bersama suami isteri dan keluarga, boleh juga gunakan doa yang kami kongsikan ini.

Doa panjang selepas solat berjemaah, boleh dilakukan dengan menggabungkan beberapa doa pendek.

Walau bagaimanapun, jika bimbang akan mengambil masa yang lama dan takut jemaah ada urusan lain, doa ringkas selepas solat berjemaah boleh dilakukan dengan membaca satu atau doa doa pendek sahaja.

Namun, tidak boleh hafal yang Bahasa Arab, cubalah faham dan hafal terjemahan yang dalam Bahasa Melayu. Mula-mula nampak sukar. Tetapi jika selalu diamalkan, akan jadi mudah.

Bukan untuk menunjuk-nunjuk

Jika anda bakal berkahwin suatu hari nanti, ataupun anda seorang suami yang memimpin keluarga, isteri dan anak-anak; rasa macam tidak kena jika tidak hafal doa selepas solat.

Takkanlah selepas solat berjemaah bersama keluarga sendiri, tidak baca doa. Jika baca doa pun, ia terlalu pendek.

Apa salahnya kita perbaiki diri kita sendiri; dan mula menghafal doa selepas solat. Bukan hanya untuk kebaikan diri kita sendiri, tetapi untuk semua orang di bawah tanggungan kita.

Paling penting sekali, tahu dan hafal doa selepas sembahyang bukanlah satu tiket untuk menunjuk-nunjuk dan berlagak.

Ia datang dari hati.

Jika hati bersih dan doa dibaca dengan ikhlas, In Shaa Allah, Allah makbulkan.

Mohon izin maklumkan, kami tidak menyediakan doa selepas solat rumi kerana bimbang ia akan mengubah maksud jika dibaca tidak mengikut Bahasa Arab yang betul.

Senarai doa selepas solat

Sumber dan contoh doa selepas solat fardhu ini datangnya dari Facebook Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Contoh doa selepas solat fardhu #1 (Memuji Allah)

Contoh doa selepas solat

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Iaitu puji-pujian yang melengkapi segala  nikmat dan rahmat-Nya serta menarik akan kelebihan-Nya.

Wahati Tuhan kami!. Bagi-Mu segala puji itu, sebagaimana sepatutnya, kerana kebesaran wajah-Mu, kemuliaan dan keagungan kekuasaan-Mu.

Maha Suci Engkau, tiada dapat kami hendak menghinggakan puji-pujian kepada-Mu sebagaimana Engkau sendiri telah memuji akan diri-Mu.

Bagi-Mu segala puji-pujian itu sebelum Engkau redha dan bagi-Mu juga segala puji-pujian itu sesudah Engkau redha. Dan bagi-Mu jualah segala puji-pujian itu yang berkekalan buat selama-lamanya.

 

Contoh doa selepas solat #2 (Mohon tunaikan hajat)

Contoh doa selepas solat

Wahai Allah! Cucurilah rahmat dan kesejahteraan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w, sebagai rahmat yang akan menyelamatkan kami daripada huru-hara dan kerosakan,

Dan Engkau tunaikanlah dengannya (dengan berkat selawat ini) akan segala maksud dan hajat; Engkau sucikanlah kami dengan sebabnya (iaitu sebab selawat ini) daripada segala kejahatan;
Dan Engkau angkatkanlah kami dengan sebabnya (iaitu sebab selawat ini) ke sisi-Mu dengan setinggi-tinggi darjat dan kemuliaan;

Engkau sampaikanlah dengan sebabnya (iaitu sebab selawat ini) sejauh-jauh tujuan pada jalan kebaikan, samada pada masih hidup ataupun sesudah madi.

Engkau cucurilah pula rahmat dan kesejahteraan dengan sebanyak-banyak rahmat Engkau kepada seluruh ahli keluarganya dan para sahabatnyam, wahai yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

Contoh doa lepas sembahyang #3 (Mohon sentiasa hidup dalam iman)

Doa sentiasa dalam iman

Wahai Allah! Hidupkanlah kami dengan iman, matikanlah kami dengan iman, dan himpunkanlah kami pada hari Mahsyar nanti dengan iman, serta masukkanlah kami ke dalam syurga dengan iman.

Wahai Allah! Teguhkanlah hati kami bersama iman, keluarkanlah kami daripada dunia ini (iaitu mati) dengan iman,  dan perteguhkanlah pendirian kami dengan agama Islam, serta peliharalah iman kami.

 

Contoh doa selepas solat #4 (Minta perindahkan diri dengan sifat takwa)

Wahai Allah! Perindahkanlah kami dengan kesegaran dan kesejahteraan; liputilah kami dengan sifat-sifat takwa dan teguh; lindungilah kami dari punca-punca yang boleh mendorong kami ke arah penyesalan hari kiamat, (dalam segala hal pada masa kami kembali kelak.

Sesungguhnya Engkau Maha Mendegar akan segala doa).

Dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

 

Doa selepas sembahyang #5 (Mohon agar selalu bersyukur dengan nikmat Allah)

Doa sifat takwa

Wahai Tuhan!

Jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa mengingati Engkau, orang-orang yang tahu berterima kasih terhadap kurniaan nikmat-nikmat Engkau, orang-orang yang sabar dalam menerima dan menghadapi qada’ dan qadar serta bala bencana dari Engkau, orang-orang yang mendapat rezeki yang halal dari Engkau, orang-orang yang terpelihara dari segala dosa, orang-orang yang terjauh dari seksaan api neraka.

Kami juga mengharapkan dapat melihat wajah Engkau serta wajah Nabi Engkau (kerana itu suatu nikmat bagi kami).

 

Doa selepas sembahyang #6 (Berdoa agar dapat mati dalam iman)

Ya Allah, jadikanlah akhir ucapan dari dunia ketika akhir hayat (ajal) kami dengan ucapan: “Lailahaillallah”, matikanlah kami, wahai Tuhan di dalam ucapan tersebut, tidak terfitnah, tidak sesat, tidak menyesatkan.

 

Contoh doa selepas solat #7 (Agar Allah terima solat dan amal ibadat)

Doa agar selalu bersyukur

Wahai Tuhan kami! Terimalah solat, doa dan semua amal ibadat kami serta tetapkanlah hati kami terhadap agama Islam dan urusan keimanan.

Kasihkanlah ibu bapa kami serta semua orang Islam yang telah meninggal dunia. Wahai Allah, wahai Tuhan yang memperkenankan segala doa orang-orang yang memohon, wahai Tuhan yang menerima taubat orang-orang yang bertaubat, wahai Tuhan yang bersifat belas kasihan terhadap orang-orang fakir miskin dan anak-anak yatim.

Wahai Tuhan! Jadikanlah kami semua ini golong orang-orang yang Engkau terima di sisi Engkau.

 

Doa lepas sembahyang #8 (Mohon perlindungan dari kesedihan & duka nestapa)

Wahai Allah! Sesungguhnya kami berlindung dengan Engkau daripada duka nestapa, lemah dan malas, bersifat pengecut/bacul, bebanan hutang serta penindasan sekelian manusia yang melakukan kekerasan.

 

Contoh doa lepas solat #9 (Mohon diberikan tauhid dan selamatkan agama)

Contoh doa selepas solat

Wahai Allah! Selamatkanlah kami, agama kami, kepercayaan kami, pengenalan kami (terhadap Allah), roh kami serta tubuh badan kami.

Wahai Allah! Tenteramkanlah kami dari segala malapetaka di dunia dan seksa di akhirat. Jauhkanlah daripada kami akan segala kejahatan di dunia serta kejahatan di akhirat dengan hak dan kebenaran kitab suci Al-Quran dan Nabi Engkau (Muhammad s.a.w.) yang mulia.

 

Berdoa selepas solat #10 (Mohon kesejahteraan dan pengampunan)

Wahai Allah! Kami mohonkan kepada Engkau akan kesejahteraan, pengampunan dan kesihatan yang berkekalan terhadap agama, dunia dan akhirat serta keluarga, tubuh badan, harta benda, anak pinak seterusnya terhadap semua orang-orang Islam.

 

Contoh doa selepas solat #11 (Mohon agama, dunia dan akhirat)

 

Contoh doa selepas solat fardhu

Wahai Allah! Kami mohonkan kesejahteraan terhadap agama, dunia dan akhirat, kesegaran tubuh badan, bertambahnya ilmu pengetahuan, keberkatan rezeki, peluang bertaubat sebelum mati, mendapat rahmat pada saat kematian menjelang tiba, serta mendapat pengampunan selepas mati.

Wahai Allah! Mudahkanlah kami semasa menghadapi kematian, lindungilah kami daripada seksaan api neraka serta ampunilah kami semasa menghadapi hari perhitungan (hari kiamat) kelak.

 

Doa selepas solat #12 (Permohonan peluang taubat sebelum mati)

Wahai Allah! Berilah peluang kami bertaubat sebelum mati, belas kasihanilah kami semasa kami menghadapi kematian, janganlah Engkau seksakan kami selepas mati.

Wahai Tuhan yang memiliki urusan kematian, yang Mendengar segala suara seruan. Peliharalah kami daripada segala bala bencana dan kesengsaraan dengan belas kasihan dan rahmat Engkau, wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang!

 

Doa selepas solat #13 (Mohon dijauhkan dari sifat keji)

Mohon dijauhkan dari sifat keji

Wahai Allah!

Sesungguhnya kami memohon kepada Engkau akan petunjuk yang boleh membawa kami kepada bertaubat terus terhadap dosa-dosa yang telah kami lakukan; dan sebaliknya kami berlindung dengan Engkau daripada melakukan perbuatan keji dan sebab-sebab yang boleh mendorong kami untuk melakukannya.

Jadikanlah kami orang yang sentiasa mengingati Engkau semasa datangnya serangan dorongan perasaan hati untuk melakukan perbuatan keji itu dan daripada memikir-mikir/mencari jalan untuk kepadanya.

Hilangkanlah di dalam hati kami perasaan yang mengakui bahawa perbuatan keji itu mendatangkan manfaat dan gantikanlah dengan perasaan benci selalu terhadap perbuatan keji itu serta tanamkanlah di dalam hati kami akan perasaan tamak haloba untuk melakukan kebaikan iaitu bertaubat kepada Engkau.

 

Contoh doa selepas solat #14 (Agar ditunjukkan kebenaran)

Permohonan ditunjukkan kebenaran

Wahai Allah!

Persaksikanlah kepada kami bahawa perkara-perkara yang benar itu tetap benar serta kurniakanlah kepada kami sifat-sifat kekuatan untuk mempertahankan dan memperjuangkan segala kebenaran. Sebaliknya, persaksikanlah kepada kami bahawa sesuatu yang salah dan palsu itu tetap salah serta kurniakanlah kepada kami akan sifat-sifat kekuatan untuk menentang segala yang salah dan palsu.

Wahai Tuhan yang awal dan terawal (tiada yang mencipta-Nya), Tuhan yang akhir dan terakhir (kekal buat selama-lamanya serta tidak binasa). Wahai Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Perkasa, tiada yang sebenar-benar Tuhan melainkan Engkau.

Maha Suci Engkau, whai Tuhan, kami mengaku sesungguhnya kami adalah tergolong daripada orang-orang yang menganiayai diri kami sendiri.

 

Doa selepas solat #15 (Mohon sihat tubuh badan & panjang umur)

Wahai Allah!

Lanjutkanlah usia kami, segarkanlah tubuh badan kami, sinarkanlah cahaya ke dalam hati kami, tegakkanlah iman kami, perelokkanlah amalan kami dan luaskanlah rezeki kami, hampirkanlah kami kepada kebaikan dan jauhkanlah kami dari sebarang keburukan serta tunaikanlah segala maksud kami dalam hal urusan agama, dunia dan akhirat.

 

Doa selepas solat #16 (Mohon agar iman yang berkekalan)

Minta iman yang berkekalan

Wahai Allah!

Sesungguhnya kami memohonkan kepada Engkau akan iman yang berkekalan, hati yang penuh khusyuk, ilmu yang memberi manfaat, keyakinan yang sebenar, amalan yang baik, bergiat dan berusaha dalam urusan agama, sihat dan kesegaran tubuh badan yang cukup sempurna, tahu berterima kasih terhadap kesegaran tubuh badan serta juga kami pohonkan kekayaan (harta benda, iman, ilmu, keperibadian dan lain-lain) yang lebih daripada sekalian manusia.

 

Doa selepas solat #17 (Mohon agar diterima solat ole Allah)

Wahai Allah!

Wahai Tuhan kami!

Terimalah daripada kami akan solat kami, berdiri tegak kami, rukuk kami, sujud kami, tunduk merendah diri kami, pengabdian kami dan kesempurnaan tempat kembali kami kelak, wahai Allah wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

 

Contoh doa selepas solat #18 (Hiaskan diri dengan iman)

Doa perhiasan iman

Wahai Allah!

Wahai Tuhan kami!

Hiasilah kami dengan perhiasan iman, jadikanlah kami orang-orang yang membawa petunjuk Engkau serta menerima petunjuk Engkau.

Wahai Allah!

Berilah petunjuk yang teguh kepada kami, wahai yang Maha Pengasih serta Maha Penyayang.

 

Doa selepas solat #19 (Buka pintu kebajikan dan keberkatan)

Wahai Allah!

Bukakanlah kepada kami akan pintu kebajikan dan pintu keberkatan, pintu nikmat dan pintu rezeki, pintu kekuatan dan pintu kesegaran dan kesihatan; serta pintu kesejahteraan serta pintu syurga.

 

Doa selepas solat #20 (Agar dikurniakan rahmat Allah)

Wahai Tuhan kami!

Kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau dan sediakanlah jalan yang lurus bagi kami untuk menjalankan urusan pekerjaan kami.

Wahai Tuhan kami!

Kurniakanlah kepada kami kebaikan i dunia dan kebaikan di akhirat serta jauhkanlah kami dari azab api neraka.

 

Doa selepas solat #21 (Mohon jangan dipalingkan hati setelah terima hidayah)

Contoh doa selepas solat fardhu

Wahai Allah!

Janganlah Engkau palingkan kembali hati kami selepas Engkau member petunjuk; dan berilah kepada kami rahmat di sisi Engkau.

Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi Rahmat.

Wahai Tuhan kami!

Janganlah kami dihukum jika kami lupa atau tersalah.

Wahai Tuhan kami!

Janganlah Engkau pikulkan kepada kami beban yang berat sebagaimana yang telah Engkau pikulkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

Wahai Tuhan kami!

Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa-apa yang kami tidak sanggup memikulnya. Ampunilah kami! Maafkanlah kami dan cucurilah rahmat ke atas kami.

Engkaulah pelindung kami, oleh itu bantulah kami daripada penindasan orang-orang kafir.

 

Doa selepas solat #22 (Mohon perbaiki hal dunia dan akhirat)

Doa selepas solat

Wahai Allah!

Perbaikilah agama kami yang ianya menjadi ‘pemeliharaan segala urusan kami’, perbaikilah hal keduaniaa kami yang ianya menjadi ‘tempat urusan hidup kami’, perbaikilah hal akhirat kami yang ianya menjadi ‘tempat kembali kami’, perbaikilah hubungan dan pergaulah kami serta perjinakkanlha hati di antara kami, jadikanlah hidup ini untuk kami menambah segala kebajikan serta jadikanlah mati itu sebagai tempat kelepasan iaitu kerehatan kami, dari segala macam kesusahan dan kejahatan.

Semoga Allah mencucuri dengan sepenuh-penuh rahmat dan kesejahteraan ke atas sebaik-baik mahkluk-Nya iaitu Junjunga kita Nabi Muhammad s.a.w serta semua ahli keluarganya dan para sahabatnya.

Maha Suci Tuhan, Tuhan yang Maha Mulia dari sifat-sifat rendah iaitu sifat yang hina dan cemar yang mereka (iaitu orang-orang kafir) anggapkan; begitu juga semoga dicucuri dengan kesejahteraan ke atas segala Rasul yang telah diutuskan oleh Tuhan; dan segala pujian itu bagi Allah, Tuhan sekelian alam.

 

Contoh penutup doa selepas solat

Doa penutup solat

Setelah habis berdoa, kita hendaklah membaca Surah Al-Fatihah sekali lagi dan diakhiri dengan doa kedua sebagai penutup.

Contoh doa penutup selepas solat seperti di bawah:

Perkenankanlah! Perkenankanlah! Perkenankanlah! Wahai Tuhan sekelian alam.

Wahai Tuhan kami.

Terimalah permohonan, iaitu doa kami, kerana sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Dan terimalah taubat daripada kami, kerana sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang.

Maha Suci Engkau, Wahai Tuhan.

Dan ucapan mereka di dalam Syurga ialah “salam” dan di akhir seruan mereka ialah “Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian”.

Amalkan doa selepas solat fardhu mengikut sunnah yang Nabi ajarkan.

 

Akhir kalam

Tidak kiralah anda solat berseorangan atau secara berjemaah, selepas solat, janganlah terus bangkit untuk meneruskan kerja-kerja kita.

Ambillah sedikit masa untuk berzikir dan membaca doa selepas solat fardhu.

Lazimi wirid dan doa selepas solat fardhu.

Pesanan ini adalah untuk diri penulis sendiri. Semoga semua doa-doa kita dimakbulkan Allah.

Jika sudah habis baca Al Quran, jemput baca doa khatam Quran pula.

Semoga bermanfaat.

4 thoughts on “Doa Selepas Solat Fardhu (Ada 22 Contoh Yang Ringkas)”

  1. Terima kasih Tuan/Puan telah berkongsi bait-bait Doa yang indah serta tersusun ini. Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah kerana Tuan/Puan telah memudahan urusan saya dalam menyusun Doa-doa saya nanti. saya Doakan Allah mengurniakan pahala kepada Tuan/Puan atas perkongsian ini. Izinkan pula untuk saya memanjangkan Doa-doa ini kepada sesiapa yang saya akan kongsikan. moga-moga dengan perkongsian itu, pahala berterusan kepada anda kerana telah berkongsi ilmu. semoga kita berjumpa di syurga kelak. Amin.

    -Jaga Diri Baik-Baik 🙂

    Reply
  2. Assalamualaikum tuan..Mohon copy tuan semoga tuan diberikan kesihatan dan diberi rezeki berpanjangan serta diberkati dan dirahmati Allah atas perkongsian doa yang sangat2 saya perlukan untuk diri saya… Assalamualaikum.

    Reply

Leave a Comment