Niat Solat Jamak Takhir (Dengan Qasar & Tanpa Qasar)

Tahniah kami ucapkan jika anda sampai ke artikel ini. Kenapa? Jika anda sedang membaca sekarang ini, anda adalah orang yang menjaga solat. Orang yang sentiasa menjaga solat, Allah sayang. Jadi, sekiranya anda sekarang sedang dalam musafir, dan masih lagi dalam perjalanan ke destinasi, anda boleh melakukan solat jamak takhir. Berikut kami kongsikan niat solat jamak takhir untuk setiap waktu solat.

Ini adalah rukhsah, iaitu keringanan atau kemudahan untuk orang yang bermusafir.

Jika tersalah klik, dan anda sebenarnya cari tentang solat jamak taqdim, sila baca panduan satu lagi tentang niat solat jamak taqdim.

Sebelum itu, izinkan kamu kongsi beberapa terma-terma yang selalu buat orang confuse.

Apa maksud Jamak?

Maksud jamak ialah dihimpunkan. Ini bermakna, ada dua solat yang dihimpunkan dalam satu-satu masa. Yang boleh dijamakkan hanyalah Zohor-Asar dan juga Maghrib-Isyak.

Apa maksud Qasar?

Maksud qasar ialah dipendekkan.

Jadi, jika solat qasar:

  • Solat dengan qasar, maknanya solat yang dipendekkan.
  • Jika solat Asar qasar, maksudnya ialah solat Asar yang dipendekkan dari 4 rakaat ke 2 rakaat sahaja.

Jadi, jika solat tanpa qasar:

  • Solat tanpa qasar, maknanya solat tanpa dipendekkan.
  • Jika solat Zohor tanpa qasar, maksudnya solat Zohor penuh sebanyak 4 rakaat.
  • Harus diingat, solat yang tidak ada qasar ialah Maghrib dan Subuh.

Apa maksud Taqdim?

Maksud taqdim (atau takdim) ialah diawalkan. Jadi, kalau solat Zuhur Asar yang ditakdimkan, ialah solat tersebut dilakukan pada waktu Zuhur.

Apa maksud Takhir?

Maksud takhir (atau ta’akhir) ialah dilewatkan. Jadi, kalau solat Maghrib Isyak yang ditakhirkan, ialah solat tersebut dilakukan pada waktu Isyak.

#1 Niat solat jamak takhir (tanpa qasar)

Niat dalam Bahasa Arab itu sunat. Maka, kami sertakan sahaja niat dalam Bahasa Melayu. Yang penting ialah niat dan solat itu sah.

Berikut ialah panduan niat untuk melakukan solat jamak takhir tanpa qasar. Kami asingkan siap-siap mengikut waktu solat.

 

Zohor

Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat, dijamakkan kepadanya fardhu Asar, dengan jamak takhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Asar

Sahaja aku solat fardhu Asar empat rakaat, dijamakkan kepada waktu fardhu Zohor, dengan jamak takhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Maghrib

Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat, dijamakkan kepadanya fardhu Isyak, dengan jamak takhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Isyak

Sahaja aku solat fardhu Isya' empat rakaat, dijamakkan kepada waktu fardhu Maghrib, dengan jamak takhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

#2 Niat solat jamak takhir (dengan qasar)

Seperti yang dimaklumkan di atas, niat dalam Bahasa Arab itu sunat. Maka, kami kongsikan dalam Bahasa Melayu sahaja. Yang penting ialah niat dan solat itu sah.

Berikut pula ialah panduan niat untuk melakukan solat jamak takhir dengan qasar. Kami asingkan sekali mengikut waktu solat.

Zohor

Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat qasar, dijamakkan ke dalam fardu Asar, dengan jamak ta'akhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Asar

Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar, dijamakkan bersama fardu Zuhur, dengan jamak ta'akhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Maghrib

Waktu Maghrib tidak ada qasar. Walau bagaimanapun, anda perlu berniat tiga rakaat seperti biasa dengan sedikit tambahan jamak.

Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat, dijamakkan ke dalam fardu Isyak, dengan jamak takhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Isyak

Sahaja aku solat fardhu Isya' dua rakaat qasar, dijamakkan bersama fardu Maghrib, dengan jamak takhir, tunai kerana Allah Ta'ala.

 

Akhir kalam

Untuk meringkaskan pencarian, kami cuma letakkan niat sembahyang jamak takhir dalam Bahasa Melayu sahaja. Untuk maklumat yang lebih lengkap, jemput baca cara solat jamak.

Jika membawa kenderaan, hati-hati semasa memandu. Semoga selamat sampai ke destinasi.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment