Cara Keluarkan Duit SSPN (Di Kaunter Bank & Guna Kad ATM)

Sebelum ini, anda telah buat simpanan di SSPN. Kini, ada hal-hal tertentu yang tidak dapat dielakkan dan anda mahu gunakan sedikit duit simpanan yang ada. Jadi, bagaimana cara keluarkan duit SSPN secara online, supaya dapat mengurangkan sedikit beban kewangan?

Maklumat berkaitan:

Cara bayar PTPTN

Cara keluarkan duit Tabung Haji

Cara keluarkan duit ASB

Cara keluarkan duit KWSP

Serba sedikit mengenai SSPN

Sebelum itu, izinkan kami berkongsi serba sedikit tentang SSPN.

SSPN atau Skim Simpanan Pendidikan Nasional adalah merupakan satu skim atau instrument simpanan yang direka khas oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi tujuan pendidikan tinggi.

Skim yang ditawarkan adalah patuh Syariah yang menggunakan konsep “Wakalah Bil Istithmar” di mana pendeposit melantik PTPTN untuk menguruskan deposit mereka bagi tujuan pelaburan. Di bawah SSPN ini terdapat dua produk iaitu SSPN-i (yang dilancarkan pada tahun 2004) dan SSPN-i Plus (yang dilancarkan pada tahun 2015).

Beza SSPN-i dan SSPN-i Plus

Terdapat perbezaan antara SSPN-i dan juga SSPN-i Plus, di mana untuk SSPN-i, akaun boleh dibuka oleh warganegara Malaysia untuk diri sendiri atau untuk warganegara Malaysia yang lain. Akaun ini berbeza dengan SSPN-i Plus, akaun hanya boleh dibuka oleh warganegara Malaysia untuk diri sendiri, anak dan anak jagaan yang sah sahaja.

Selain itu, bagi SSPN-i, tiada sebarang syarat ditetapkan bagi jumlah deposit dan jumlah pengeluaran deposit tersebut, serta boleh dilakukan pada bila-bila masa. Berlainan pula dengan SSPN-i Plus, di mana jumlah deposit bulanan ditetapkan mengikut pakej yang dipilih, serendah RM30 sebulan.

Hanya selepas 3 tahun dari tarikh pembukaan akaun dan jumlah minimum yang perlu ada di dalam akaun selepas pengeluaran ialah sebanyak RM1000.

Selain itu, SSPN-i Plus juga mempunyai perlindungan takaful yang murah dan komprehensif. Mulai 1 Januari 2012, para pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan bagi membiayai pengajian mereka di Politeknik, IPTA atau IPTS adalah DIWAJIBKAN mempunyai akaun SSPN-i dengan simpanan minimum sepertimana yang ditetapkan oleh PTPTN.

Cara keluarkan duit SSPN (SSPN-i dan SSPN-i Plus)

Bagi anda misalnya sebagai pendeposit, anda juga boleh membuat pengeluaran duit di akaun SSPN-i ataupun SSPN-i Plus anda. Ada kalanya anda dalam keadaan memerlukan wang untuk menyelesaikan suatu urusan, jadi langkah ini boleh diambil. Terdapat perbezaan pada antara SSPN-i dan juga SSPN-i Plus, di mana:

  • Pengeluaran duit dari akaun SSPN-i boleh dilakukan pada bila-bila masa, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan oleh PTPTN.
  • Pengeluaran duit dari akaun SSPN-i Plus boleh dikeluarkan selepas tiga (3) tahun dari tarikh pembukaan akaun dan jumlah minimum yang perlu ada di dalam akaun adalah sebanyak RM1,000. Selepas tempoh tiga (3) tahun tersebut, pendeposit boleh membuat pengeluaran pada bila-bila masa dan masih tertakluk dengan syarat baki minimum yang ditetapkan.

 

Cara keluarkan duit SSPN di kaunter PTPTN

  1. Pergi ke mana-mana kaunter PTPTN dan dapatkan Borang Pengeluaran.
  2. Isi borang pengeluaran tersebut.
  3. Kemukakan nombor akaun bank anda sekiranya ingin wang simpanan tersebut dikreditkan ke akaun anda. (Akaun mestilah atas nama anda sebagai pendeposit dan bukan akaun bersama).
  4. Hantar semula kepada PTPTN melalui serahan tangan atau melalui pos.

Selain itu, anda juga boleh mengeluarkan duit daripada akaun SSPN-i dan juga SSPN-i Plus menggunakan mesin ATM. Terdapat bank-bank yang terpilih yang anda boleh gunakan untuk membuat pengeluaran, iaitu Bank Rakyat dan juga Bank Islam.

 

Cara keluarkan duit SSPN di Bank Islam

Untuk menggunakan perkhidmatan SSPN-i di mesin ATM Bank Islam:

  1. Pastikan anda mempunyai akaun simpanan, akaun semasa, atau akaun pelaburan di Bank Islam.
  2. Pastikan anda mempunyai BIDC-i.
  3. Kunjungi cawangan Bank Islam yang berhampiran untuk menghubungkan akaun SSPN-i anda dengan BIDC-i.
  4. Untuk menghubungkan akaun SSPN-i pada BIDC-i, sertakan MyKad/Kad Askar/Kad Polis anda sebagai pendeposit dan BIDC-i.
  5. Sertakan juga Borang Penyambungan Akaun SSPN-i yang boleh didapati di cawangan Bank Islam.

Dengan dokumen-dokumen ini, maka anda boleh menyambungkan kad debit Bank Islam anda dengan akaun SSPN anda.

 

Pengeluaran duit SSPN melaluit ATM Bank Islam

Untuk mengeluarkan wang daripada mesin ATM:

  1. Masukkan kad debit anda dan masukkan nombor PIN.
  2. Tekan Teruskan.
  3. Pada laman seterusnya, terdapat butang pilihan BANK ISLAM, TABUNG HAJI dan SSPN. Pilih SSPN.
  4. Pilih Pengeluaran Tunai.
  5. Pada laman seterusnya, diterangkan bahawa setiap transaksi yang berjaya akan dikenakan caj RM0.50 ke atas akaun SSPN anda.
  6. Tekan Teruskan. Proses anda berjaya.

 

Pengeluaran duit SSPN di Bank Rakyat

Pastikan juga anda telah menghubungkan kad debit Bank Rakyat anda dengan akaun SSPN anda. Untuk mengeluarkan duit SSPN anda,

  1. Masukkan kad debit anda dan masukkan nombor PIN.
  2. Tekan Teruskan.
  3. Pada Menu Utama, pilih Pengeluaran Tunai.
  4. Kemudian, pada menu seterusnya, tekan butang SSPN.
  5. Pada laman seterusnya, diterangkan bahawa caj transaksi berserta resit sebanyak RM0.50 akan dikenakan kepada akaun SSPN anda. Tekan Teruskan.
  6. Masukkan nilai yang anda ingin bawa keluar.
  7. Ambil duit dan resit anda. Transaksi anda berjaya.

 

Pengeluaran duit SSPN secara online

Setakat maklumat yang kami terima, masih lagi belum ada perkhidmatan pengeluaran duit SSPN secara online, samada transfer melalui Maybank2u, CIMB Clicks dan lain-lain bank.

Walau bagaimanapun, kami akan kemaskini laman ini jika ada maklumat terkini.

 

Duit SSPN Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) adalah anugerah yang diberikan kepada seseorang anggota tidak kira sama ada mereka berada di bawah Sistem Saraan Baru (SSB) atau Sistem Saraan Malaysia (SSM) bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan kerana kualiti/kuantiti sumbangannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Penghargaan ini juga bertujuan menjadikan anggota berkenaan sebagai contoh dan daya penarik kepada lain-lain anggota untuk sama-sama meningkatkan lagi taraf perkhidmatan demi mencapai matlamat organisasi.

Had siling pemberian Anugerah khidmat cemerlang ialah tidak melebihi 8% jumlah anggota dalam sesebuah organisasi pada 31 Disember tahun penilaian. Hadiah yang diterima adalah Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan juga Hadiah Prestasi sebanyak RM1000.

Bagi anda yang menerima APC dan ingin mengeluarkan wang tersebut, begini merupakan caranya:

  1. Pergi ke cawangan PTPTN yang terdekat dengan anda.
  2. Isi borang pengeluaran tersebut.
  3. Kemukakan nombor akaun bank anda sekiranya ingin wang simpanan tersebut dikreditkan ke akaun anda. (Akaun mestilah atas nama anda sebagai pendeposit dan bukan akaun bersama).
  4. Hantar semula kepada PTPTN melalui serahan tangan atau melalui pos.
  5. Urusan anda selesai. Anda akan mendapat wang anda dalam masa 14 hari.
  6. Anda juga boleh mengeluarkan wang APC tersebut yang asalnya daripada akaun SSPN anda melalui ATM Bank Islam mengikut cara yang sama untuk mengeluarkan duit daripada akaun SSPN anda.

 

Akhir kalam

Kini, transaksi anda menjadi lebih mudah. Anda boleh mencubanya sendiri. Semoga berjaya!

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment