Cara Daftar Tabung Haji Anak (Link ke Maybank2u Online)

Bagi seorang beragama Islam, menunaikan haji merupakan salah satu Rukun Islam yang dituntut, dan semestinya kita ingin menunaikan haji sebelum menutup mata. Sebagai ibu bapa juga, anda boleh membantu mendaftarkan akaun Tabung Haji untuk anak anda.  Di sini kami kongsikan cara daftar Tabung Haji anak. Jom tengok panduan ini.

1. Boleh daftar Tabung Haji anak secara online?

Semakan kami berkenaan Akaun Kanak-Kanak di laman rasmi Tabung Haji, tidak dinyatakan langkah-langkah pendaftaran online.

Ini bermakna, semua urusan pendaftaran mesti dilakukan di cawangan Tabung Haji atau mana-mana bank terpilih.

 

2. Cara daftar Tabung Haji anak di kaunter

Oleh kerana tidak boleh register secara online, maka anda perlu hadirkan diri ke mana-mana cawangan Tabung Haji yang berdekatan.

Anda perlu membawa beberapa dokumen berikut:

  1. MyKad ibu/bapa
  2. MyKid anak
  3. Wang sekurang-kurangnya RM10 untuk deposit dalam akaun TH.
  4. Jika anda ingin mendaftarkan dan mendapatkan tahun untuk menunaikan Haji, anda perlu depositkan sebanyak RM1300.

Anda hanya perlu pergi ke lokasi kaunter pendaftaran Tabung Haji dan pegawai di sana akan membantu anda.

 

3. Selain cawangan Tabung Haji, di mana lagi boleh register?

Sila ambil maklum bahawa anda juga boleh daftar Tabung Haji dengan rakan strategik Tabung Haji seperti:

1. Bank Islam

Panduan ini hanya terpakai jika anda sudah mempunyai akaun Bank Islam. Jika belum, sila daftar Bank Islam terlebih dahulu.

Seterusnya, sila bawa dokumen berikut:

  • Kad Pengenalan (MyKad)
  • Buku Tabung Haji (jika ada)
  • Kad ATM Bank Islam
  • Isi borang Tabung Haji Account Registration Form

 

2. Bank Rakyat

Panduan ini terpakai jika anda sudah ada akaun Bank Rakyat. Jika belum, sila daftar Bank Rakyat terlebih dahulu.

Seterusnya, sila bawa dokumen berikut:

  • Kad Pengenalan (MyKad)
  • Borang Maklumat Ahli Tabung Haji (JP003)
  • Borang penama Tabung Haji
  • Deposit minimum sebanyak RM2.00 sahaja

Selain itu, Tabung Haji juga menawarkan perkhidmatan Kaunter Mudah Alih yang bertujuan untuk memudahkan pelanggan di lokasi-lokasi tertentu seperti di tapak pameran/ekspo, kilang, pejabat, sekolah dan sebagainya.

 

4. Syarat dan kriteria permohonan untuk buka akaun kanak-kanak

Berikut ialah kriteria penting bagi permohonan pembukaan akaun kanak-kanak:

  1. Di bawah umur 18 tahun mengikut tarikh lahir.
  2. Penjaga yang sah adalah tertakluk kepada Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001, Akta Penjagaan Budak 1961 dan Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952.
  3. Penjaga mestilah mempunyai akaun TH dan merupakan warganegara Malaysia.
  4. Hanya satu penjaga sahaja yang dibenarkan bagi satu akaun.
  5. Penjaga perlu membawa bersama sijil kelahiran dan dokumen pengenalan diri anak di bawah jagaan (MyKAD atau MyKID).
  6. Salinan sijil kelahiran anak atau MYKid dan salinan dokumen pengenalan diri penjaga perlu disertakan semasa pembukaan Akaun Kanak-kanak.

Jika syarat-syarat ini sudah dipenuhi, anda boleh membuat pendaftaran akaun di semua Kaunter TH & Kaunter Mudah Alih TH, Rakan Strategik TH (Bank Islam & Bank Rakyat) dan TH Komuniti.

 

5. Perlu bawa anak sekali untuk pendaftaran akaun Tabung Haji?

Tidak perlu.

Cukup sekadar MyKad ibu atau bapa; dan MyKid anak untuk memastikan anda adalah penjaga dan sebenar.

Ambil contoh jika daftar untuk anak yang baru lahir (mungkin baru 7 hari), takkanlah mahu bawa ke cawangan semata-mata untuk mendaftar.

Jadi, proses daftar Tabung Haji untuk anak sangatlah mudah dan pantas.

Insya Allah, duit selamat dan terjamin.

 

6. Cara link Tabung Haji anak dengan Maybank

Rata-rata ibu-bapa mempunyai akaun Maybank2u.

Sekarang akaun anak anda sudah didaftarkan, lebih mudah jika boleh link Tabung Haji anak anda dengan akaun Maybank anda. Mudah untuk anda tengok transaksi, membuat deposit atau pengeluaran.

Pastikan terlebih dahulu akaun Tabung Haji anda juga sudah link dengan akaun Maybank anda.

Berikut adalah cara untuk link akaun Tabung Haji anak anda dengan akaun Maybank anda:

  1. Anda perlu pergi ke ATM Maybank berdekatan. Masukkan kad ATM dan no pin seperti biasa.
  2. Pilih Tabung Haji
  3. Klik Daftar Akaun Kanak-kanak TH ke ATM
  4. Masukkan nombor akaun Tabung Haji & nombor siri Buku Akaun Simpanan.
  5. Kemudian masukkan nombor MyKid anak anda.
  6. Nombor akaun dan nombor siri buku akaun TH anak anda akan dipaparkan pada skrin. Pastikan nombor yang betul dan tekan Ya untuk pengesahan.
  7. Transaksi anda akan diproses dan resit akan dikeluarkan sekiranya berjaya.

 

Akhir kalam

Semoga usaha kita untuk membuka akaun Tabung Haji dapat memberi keberkatan dalam hidup kita.

Selepas ini, boleh masukkan duit raya atau buat simpanan bulanan untuk anak-anak. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit!

Leave a Comment