9 Checklist Pengantin Perempuan (Senarai Lengkap & Terkini)

Untuk artikel ini, kami akan beri tumpuan kepada checklist pengantin perempuan sahaja. Mungkin ada beberapa perkara yang sama dengan checklist pengantin lelaki, tetapi ada beberapa komponen penting yang mungkin dilihat tidak begitu mendesak oleh pihak lelaki tetapi menjadi elemen paling penting kepada pihak perempuan.

Dalam proses kumpul duit untuk kahwin, jangan sampai tertinggal perkara-perkara penting untuk persiapan perkahwinan nanti.

Checklist persiapan perkahwinan pengantin perempuan

Sila ambil maklum bahawa checklist pengantin perempuan ini adalah untuk hari-hari biasa. Maksudnya, bukanlah senarai pengantin semak semasa musim COVID-19 dan PKP.

1. Kursus Kahwin

Sebagaimana pihak lelaki, pihak perempuan juga perlu memastikan mereka telah menghadiri dan mempunyai sijil kurus praperkahwinan.

Seperti dijelaskan sebelum ini, sijil ini merupakan salah satu syarat wajib sebelum boleh melangsungkan perkahwinan di Malaysia.

 

2. Ujian HIV

Checklist pengantin perempuan yang kedua adalah melakukan ujian HIV. Ini juga wajib bagi pihak perempuan. Untuk lebih mudah, dicadangkan melakukan ujian ini dengan pasangan di hospital yang sama.

Tapi perlu diingatkan hasil ujian ini hanya sah dalam tempoh 6 bulan sahaja. Jadi pastikan tidak melakukannya dengan terlalu awal.

 

3. Tarikh Kahwin

Bagi pihak wanita ini sangat penting. Mengapa? Kerana majlis nikah akan diadakan di sebelah perempuan dan majlis persandingan pertama sudah tentu juga di pihak perempuan.

Jadi dalam erti kata lain tarikh kahwin ini perlu ditentukan pihak perempuan. Kalau tanya pihak lelaki , tarikh apa pun tidak apa, asalkan cuti dan jemputan boleh hadir.

Tetapi tidak bagi pihak perempuan, tarikh kahwin akan diingati seumur hidup, lebih-lebih lagi majlis di pihak perempuan dianggap sebagai ‘majlis rasmi’ perkahwinan pasangan. Jadi pemilihan tarikh amat penting. Pilih betul-betul!

 

4. Lokasi Majlis Kahwin

Checklist pengantin perempuan yang keempat adalah memilih lokasi perkahwinan. Selepas sudah ada tarikh, kini yang perlu difikirkan pula ialah lokasi majlis. Sama ada mahu buat di kediaman ibu bapa atau buat di dewan orang ramai. Kalau ada bajet lebih, boleh buat di hotel, chalet dan sebagainya.

Mengikut trend hari ini, kebanyakkan memilih buat di dewan orang ramai kerana mudah untuk meletak kenderaan, selain kawasan yang luas serta selesa.

 

5. Majlis Kahwin

Ini elemen penting dalam checklist pengantin perempuan. Seperti diterangkan majlis kahwin di pihak perempuan ini boleh dianggap sebagai ‘majlis rasmi’ pasangan, jadi sudah tentu pihak perempuan mahukan majlis yang jalan lancar.

Ini meliputi daripada aspek layanan kepada tetamu, cenderahati dan makanan yang dihidangkan.

 

6. Hantaran

Bab ini juga perlu difokuskan kerana banyak mata yang melihat. Secara tradisinya jika pengantin lelaki memberi 7 dulang hantaran, pihak perempuan akan balas dengan 9 dulang. Kalau pihak lelaki beri 9 dulang, pihak perempuam balas 11 dulang.

Kebiasaannya pihak perempuan akan membalas lebih hantaran kepada pihak lelaki.

 

7. Urusan Pejabat Agama

Checklist pengantin perempuan yang ketujuh adalah pejabat agama. Sama seperti pihak lelaki, pihak perempuan juga perlu mengisi borang, mendapatkan pengesahan daripada ketua kampung atau pihak yang sewajarnya. Selain itu pihak perempuan juga perlu dapatkan saksi perkahwinan.

Sebagai contoh, jika pengantin perempuan berasal dari negeri Selangor, siap-siap isi borang nikah Selangor melalui NCR JAIS. Untuk negeri-negeri lain, sila rujuk Jabatan Agama Negeri masing-masing.

Satu perkara yang berbeza ialah pihak perempuan perlu dapatkan maklumat daripada jabatan agama mengenai siapa jurunikah. Dapatkan nombor telefon untuk mudah menghubungi. Jangan sudah sampai hari pernikahan, tidak tahu pula siapa jurunikah.

 

8. Kad Kahwin

Ini perlu disiapkan awal. Apabila persetujuan telah dicapai mengenai tarikh perkahwinan dan lokasi. Pihak perempuan mahupun lelaki sudah boleh tempah kad kahwin.

Sekurang-sekurangnya sebulan sebelum majlis sudaj boleh diagihkan. Jadi, pastikan kad kahwin ditempah awal.

 

8. Baju Kahwin

Ini sangat sangat sangat penting dan krusial dalam checklist pengantin perempuan. Ya lah, ini merupakan hari istimewa mereka, sudah tentu mahu nampak cantik, nampak sempurna, bukan sahaja kepada bakal suami tetapi tetamu yang hadir.

Sebab itu tidak pelik apabila baju kahwin ini merupakan perkara yang ditekankan oleh pihak perempuan. Berkali-kali ke butik andaman semata-mata untuk ukuran, rekabentuk, corak dan warna baju pengantin. Adakalanya sampai malam sebelum majlis pun masih ke butik andaman untuk pastikan baju kahwin yang akan digayakan sempurna.

 

9. Pelamin

Sama seperti baju kahwin, pelamin juga perlu kelihatan sempurna. Menjadi lumrah untuk golongan perempuan suka kepada perkara-perkara yang cantik. Jadi, sudah tentu mereka juga mahukan pelamin yang cantik pada jari bersejarah mereka.

Jadi, pilih pelamim yang betul.

Jika dilihat kepada senarai di atas, perkara yang perlu ditumpukan oleh pihak perempuan untuk perkahwinan adalah lebih banyak berbanding lelaki.

Tidak pelik kerana majlis di pihak perempuan akan berlangsung terlebih dahulu berbanding pihak lelaki. Jadi sudah tentu pelbagai persiapan perlu diselesaikan.

Terutamanya bab pakaian, pelamin, majlis. Perkara-perkara ini sememangnya tidak lari daripada pihak perempuan.

 

Akhir kalam

Diharapkan perkongsian ini dapat memudahkan urusan anda untuk penyediaan persiapan sebelum kahwin anda.

Pastikan anda ikuti cara simpan duit untuk kahwin supaya semua urusan perbelanjaan menjadi lancar. Dan jangan terlalu fikir sangat malam pertama di alam perkahwinan. Berikan perhatian pada majlis besar ini dahulu.

Bila sudah selesai majlis perkahwinan nanti, bolehlah rancang untuk pergi menunaikan umrah bersama suami. Kali ini, anda akan perlukan checklist dan keperluan umrah wanita pula. Jika ada duit lebih, apa salahnya menyambut honeymoon di Mekah dan Madinah.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment