Bercinta Dengan Suami Orang (Kenapa Wanita Perlu Elakkan?)

Bercinta itu memang seronok. Nak-nak pula kalau bercinta dengan suami orang yang sudah banyak dengan pengalaman. Tetapi, anda perlu tahu bahawa menjalinkan hubungan dengan seseorang yang berstatus suami wanita lain bukan indah sangat macam yang anda sangkakan.

Sebenarnya, banyak sebab kenapa wanita perlu elakkan dari bercinta dengan lelaki yang dah berkahwin. Orang kata, kalau anda ambil hak orang lain ini adalah lebih banyak pahit dari manisnya. Lagipun, punyalah banyak lelaki bujang dekat luar sana kenapa suami orang juga yang dicari.

Oleh itu, untuk memastikan anda membuka mata dengan sudut pandangan yang lebih jelas. Kami telah senaraikan beberapa sebab kenapa anda tidak patut bercinta dengan suami orang melalui artikel kami kali ini. Jemput baca penulisan di sini untuk hubungan percintaan yang lebih baik.

Izinkan kami berkongsi.

Bercinta dengan suami orang

Berikut merupakan beberapa sebab kenapa wanita perlu elakkan bercinta dengan suami orang.

1. Bercinta dengan suami orang memang akan meruntuhkan rumah tangga wanita lain

Memang ada orang yang sanggup bermadu atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan. Namun, bagi wanita yang tidak rela dimadukan dan dapat tahu pula yang si suami ada pasang lain di belakang mereka. Adakah anda rasa wanita itu akan baik-baik sahaja?

Jawapannya, mestilah tidak. Mana ada perempuan yang rela berkongsi kasih apatah lagi dengan wanita lain. Apabila anda bercinta dengan suami orang ini, dah semestinya remuklah hati seorang wanita lain. Dari sinilah akan wujudnya kehancuran rumah tangga angkara orang ketiga.

Kalau mereka sebenarnya selama ini keluarga yang bahagia tetapi jadi porak-peranda dek kerana kemunculan anda. Mestilah si isteri ini akan lebih menderita. Tidak pasal-pasal anda dah bina kebahagiaan di atas kesedihan wanita lain.

Memang kejam.

 

2. Si suami akan jadi tidak adil pada isteri dia

Anda pun dah sedia maklum yang manusia ini kalau jumpa benda baru, dia akan lupa benda lama. Macam itu jugalah apabila anda bercinta dengan suami orang. Sudah semestinya anda akan menjadi orang yang baru dalam kehidupan dia. Of course dia akan beri lebih perhatian kepada anda berbanding isteri dia sendiri walaupun telah dia nikahi bertahun-tahun lamanya.

Si suami ini akan mula mengabaikan isteri dan anak-anak dia untuk luangkan lebih masa bersama anda. So, kalau dia asyik utamakan anda saja dalam semua perkara, isteri dia itu nak letak di mana? Apa akan jadi pada hak dia sebagai seorang isteri? Tepuk dada, tanya selera.

Jika difikirkan semula. Tidak akan adil seorang suami itu kalau dia lebih utamakan orang luar iaitu wanita lain daripada isteri dia sendiri. Mulut memang boleh kata apa sahaja tetapi belum tentu lelaki itu mampu menjaga hati isteri dia dengan sempurna bila dah melibatkan wanita lain.

 

3. Bercinta dengan suami orang hukumnya haram

Untuk pengetahuan anda, menjalinkan hubungan percintaan dengan suami orang adalah haram kerana sudah tentu banyak terjadinya pujuk dan rayu yang akan menghampiri ke arah penzinaan tanpa sebarang ikatan yang sah.

Selain itu, apabila hadirnya seorang wanita yang mendorong rumah tangga orang lain kepada kehancuran. Perbuatan tersebut adalah sangat dimurkai oleh Rasulullah SAW yang turut dinyatakan di dalam sebuah hadis iaitu:

Bukan dalam golongan kami (umat Nabi Muhammad) orang yang merosakkan ikatan seseorang isteri dengan suaminya“- hr Abu Daud: 2175.

 

4. Bercinta dengan suami orang tidak boleh secara terang-terangan

Bukan best pun bercinta dengan suami orang ini. Salah satunya adalah tidak boleh nak show off  hubungan anda itu di mana-mana sesuka hati atau kepada sesiapapun. Setiap masa anda nak kena berahsia yang anda tengah bercinta dengan lelaki yang sudah ada isteri.

Tidak cukup dengan itu, anda pula nak kena selalu berhati-hati dalam setiap gerak-geri supaya hubungan anda itu tidak akan dihidu oleh isteri dia. Sebagai contoh, anda tidak boleh nak selalu jumpa, tidak boleh call setiap masa, tidak boleh chat suka-suka, tidak boleh post gambar berdua dekat media sosial dan banyak lagi yang anda tidak boleh buat untuk elakkan hubungan itu diketahui.

Kalau jadi macam ini anda pula yang akan makan hati dan tidak akan menerima kasih sayang serta perhatian yang cukup dari si dia, lelaki orang yang anda tergila-gilakan.

 

5. Dipandang serong oleh masyarakat dan dicop perampas

Nak bercinta dengan suami orang, hati kena kental. Kalau tidak, lebih baik lupakan sahaja niat itu. Mana tidaknya, anda akan sentiasa kena hadapi macam-macam makian atau sentiasa dipandang serong oleh masyarakat. Anda rasa boleh aman ke hidup kalau mana-mana anda pergi orang akan sentiasa bercakap buruk tentang diri anda.

Dicop perampas itu sudah semestinya.

Sebenarnya, tidak ada siapapun yang boleh hidup aman bahagia kalau 24 jam orang asyik bercakap soal keburukan kita. Ini belum campur lagi dengan orang-orang yang mendoakan perkara yang tidak baik jadi pada kita dek kerana kita bercinta dengan suami orang.

Jadi, sebelum anda nak ada affair dengan suami orang. Fikir dulu masak-masak sama ada sanggup atau tidak anda nak lalui hidup yang penuh dengan cacian ini. Memanglah lama-lama orang akan diam tetapi orang tetap tidak akan lupa siapa anda sebenarnya sampai bila-bila kecuali anda dah berubah.

 

6. Mensia-siakan masa depan sendiri

Katakanlah anda ini masih seorang wanita yang muda, cantik, berkerjaya dan boleh berdikari sendiri. Tetapi anda bercinta dengan suami orang. Rasanya rugi sahaja kalau anda ada semua kelebihan itu tetapi tidak cuba untuk berusaha pilih jalan hidup yang lebih baik.

Bercinta dengan suami orang ini bukan satu-satunya pilihan yang ada dan bukan juga pilihan terakhir untuk untuk masa depan anda. Dekat luar sana ada banyak lagi lelaki lain yang belum berkahwin dan lebih layak mendapatkan cinta anda. Janganlah biarkan masa muda anda berlalu begitu sahaja dengan buat pilihan yang salah.

Memang betul kita hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan segalanya. Namun, Allah bagi kita akal untuk berfikir dan membezakan perkara yang buruk dengan yang baik untuk kita pilih dalam hidup kita. Jangan kerana cinta anda sanggup korbankan masa depan anda hanya untuk bercinta dengan suami orang.

 

Akhir kalam

Kesimpulannya, untuk bercinta dengan suami orang ini bukanlah mudah. Banyak perkara yang harus anda pertimbangkan sebelum meneruskan hubungan itu. Walau bagaimanapun, memang tidak dinafikan yang lelaki boleh berpoligami kalau dia adil dan mampu.

Tetapi, sanggupkah anda menyakiti hati wanita lain hanya sebab seorang lelaki yang belum pasti dapat membahagiakan anda. Anda pun sendiri fahamlah kalau si lelaki itu boleh bercinta dengan anda sedangkan dia dah ada isteri, tidak hairanlah anda pun akan diduakan juga nanti.

Sebelum kami mengakhiri penulisan ini, kami ingin menyarankan kepada para isteri di luar sana untuk belajar cara lembutkan hati suami supaya hubungan jadi lebih erat dan buat suami tidak ego lagi. Selamat mencuba.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment