Cara Kira Pinjaman Kereta (Loan Untuk Kereta Baru & Terpakai)


Adakah anda antara orang yang mahu beli kereta tetapi takut melebihi komitmen sedia ada? Jangan bimbang anak muda, kami akan kongsikan cara kira pinjaman kereta supaya mudah untuk anda merancang kewangan.

Langkau artikel ini untuk baca cara buat pengiraan pinjaman perumahan.

#1 Cara kira pinjaman kereta guna kalkulator online

Ada banyak laman web yang memberi perkhidmatan untuk mengira pinjaman secara percuma.

Antaranya ialah dari pembuat kereta itu sendiri dan juga bank. Dalam contoh di bawah, kami gunakan pautan dari Perodua (untuk MyVi atau Axia), Proton dan juga CIMB Bank.

  1. Proton: https://www.proton.com/en/shopping-tools/loan-calculator
  2. Perodua: https://www.perodua.com.my/loan-calculator.html
  3. CIMB Bank: https://www.cimbbank.com.my/en/personal/banking-with-us/tools/car-loans-monthly-installment-calculator.html

Anda juga boleh ke laman web rasmi kereta pilihan anda seperti Toyota dan Honda untuk menggunakan loan calculator mereka sendiri.

Jika anda ingin mengira pinjaman kereta terpakai atau second-hand, boleh juga gunakan kalkulator ini. Ia tidak terhad untuk kereta keluaran syarikat terbabit.

 

#2 Panduan mengira pinjaman kereta secara manual

Bagi mereka yang terfikir bagaimana untuk dapat menghitung pinjaman kereta dengan tepat tanpa menggunakan kalkulator, ini adalah formula yang cukup mudah.

Sesuai untuk orang yang menitikberatkan jumlah pembayaran bulanan dan juga interest yang bakal dibayar.

Anda juga boleh gunakan cara ini jikalau anda mahu memahami keseluruhan proses pinjaman tanpa menggunakan kalkulator pinjaman kereta yang disediakan di Internet seperti di atas.

 

A. Masukkan nilai dalam formula

Pertama sekali, tentukan dahulu nilai-nilai bagi perkara berikut untuk dimasukkan ke dalam formula :-

  1. Jumlah Pinjaman = Harga Kereta – Jumlah Deposit (Down Payment) Dibayar
  2. Jumlah Tahun Tempoh Pinjaman
  3. Kadar Faedah Diberikan (Bergantung Kepada Bank)

 

B. Dapatkan jumlah ansuran bulanan

Kedua, untuk dapatkan jumlah ansuran bulanan kereta yang perlu dibayar, anda perlu guna formula di bawah :-

  1. Ketahui dahulu jumlah faedah kereta
  2. Kiraannya adalah seperti berikut:
    (Kadar faedah / 100) x Jumlah Pinjaman x Jumlah Tahun Tempoh Pinjaman = Jumlah Faedah Kereta
  3. Seterusnya, kira pula jumlah faedah bulanan yang perlu dibayar.
  4. Kiraannya adalah seperti berikut:
    (Jumlah Faedah Kereta / Jumlah Tahun Tempoh Pinjaman x 12) = Jumlah Faedah Bulanan
  5. Akhir sekali, anda boleh kira jumlah ansuran bulanan Ini termasuk faedah bulanan yang dikenakan.
  6. Formula untuk mengira jumlah ansuran bulanan adalah seperti berikut:
    (Jumlah Pinjaman + Jumlah Faedah Kereta / Jumlah Tahun Tempoh Pinjaman x 12) = Ansuran Bulanan
  7. Syabas! Kini telah berjaya mengira jumlah faedah yang anda perlu bayar, jumlah faedah yang perlu dibayar secara bulanan, dan paling penting, ansuran bulanan kereta anda.

 

C. Dapatkan jumlah ansuran bulanan

Pada kali ini pula, anda akan melihat contoh berdasarkan situasi semasa.

Saya membeli Perodua Axia 1.0 E Manual yang berharga RM25,000 pada kadar faedah 3.25% (CIMB Hire Purchase) untuk dibayar selama 5 tahun.

Saya perlu bayar deposit sebanyak RM1,000.

Oleh yang demikan formula yang akan saya gunakan bakal kelihatan seperti ini :-

  1. Jumlah Pinjaman = RM25,000 – RM1,000
  2. Jumlah Tahun Tempoh Pinjaman = 5
  3. Kadar Faedah Diberikan (Bergantung Kepada Bank) = 3.25

 

Seterusnya, saya akan guna formula di bawah dan jalan kira ditunjukkan :-

  1. Jumlah faedah kereta
    (3.25/100) x 24,000 x 5 = RM3,900
  2. Seterusnya, jumlah faedah bulanan yang perlu dibayar.
    (3,900 / (5 x 12) = RM65
  3. Akhir sekali, jumlah ansuran bulanan termasuk faedah bulanan yang perlu dibayar.
    (24,000 + 3,900) / (5 x 12) = RM465
  4. Maka, saya perlu membayar RM465 setiap bulan setelah mendapat Perodua Axia tersebut sehinggalah pinjaman tersebut berjaya dilunaskan secara keseluruhan.

Di sini anda perlu tahu bahawa kadar faedah yang diberikan adalah berbeza mengikut bank yang mana yang anda pilih.

Berdasarkan contoh, saya telah memilih CIMB Hire Purchase dan saya harus patuh pada kadar faedah sebanyak 3.25%.

Untuk yang baru tahu, CIMB Hire Purchase ini ialah sebahagian daripada perkhidmatan CIMB dalam memberi bantuan kewangan kepada mereka yang hendak mendapatkan kereta secara bayaran ansuran.

Hakikatnya, kita telah menjadikan bank yang dipilih sebagai pemegang kereta tersebut dahulu kerana mereka telah menampung keseluruhan harga kereta itu.

 

#3 Jangan Lupa Bayar Loan Kereta

Cara kira pinjaman kereta sudah dikongsikan seperti di atas. Namun, jangan lupa bahawa ansuran bulanan adalah satu komitmen yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pinjaman.

Ansuran bulanan yang kita harus buat akan dibayar kepada bank dan bukan kepada pengedar jenama kereta yang kita telah lakukan pembelian. Jikalau kita gagal membayar ansuran bulanan secara berterusan, berkemungkinan besar kereta yang dipakai akan ditarik oleh pihak bank.

Dalam memilih bank, terdapat banyak jenis perkhidmatan serupa CIMB Hire Purchase yang wujud di Malaysia. Contohnya seperti Maybank Hire Purchase, RHB Hire Purchase, Bank Muamalat Hire Purchase-i, Hong Leong Auto Loan dan Al-Rajhi Automobile Financing-I.

Kadar faedahnya juga berbeza dan tidak sama. Anda yang bakal membuat pilihan. Pastikan anda rujuk dahulu daripada setiap perkhidmatan untuk mendapat tahu tentang kadar faedah terkini dan skop perkhidmatan diberikan.

Untuk mengetahui kelayakan untuk buat pinjaman kereta, kami sarankan anda berjumpa terus dengan wakil dari bank. Ini bagi mengelakkan masalah pembelian nanti.

 

Akhir kalam

Cara kira faedah pinjaman kereta

Pastikan anda membuat perancangan rapi sebelum membuat pembelian kereta. Mengira jumlah pinjaman kereta adalah senang dan mudah.

Anda boleh guna formula yang telah disediakan atau anda juga boleh gunakan kalkulator pinjaman kereta yang tersedia di internet seperti yang ada di portal calculator.com.my.

Dokumen jadual bayaran ansuran mengikut tempoh tahun pinjaman juga disediakan oleh pihak pengedar kereta buat anda. Tetapi sebagai langkah tambahan, anda boleh cuba mengira sendiri terlebih dahulu.

Jangan lupa bahawa anda juga perlu bayar insurans kereta. Ansuran lain, insurans lain. Disarankan agar anda semak harga insurans kereta juga agar tidak rasa terbeban setiap tahun.

Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • cara kira loan kereta
  • kereta terpakai loan kedai kuantan

Leave a Comment