5 Cara Lembutkan Hati Suami (Supaya Tak Ego & Makin Menjauh)

Suami ialah pemimpin dan ketua keluarga yang dikurniakan untuk seorang isteri dan anak-anaknya. Namun begitu, untuk mengekalkan hubungan yang baik antara suami dan isteri juga memerlukan usaha dan cara yang terbaik agar hubungan itu lebih dihargai. Kali ini, anda akan mengetahui beberapa cara yang boleh diamalkan untuk lembutkan hati suami anda.

Isteri, jangan takut untuk mencuba sesuatu yang baru dalam meningkatkan kebahagiaan rumah tangga. Lakukan yang terbaik untuk suami anda dan ingatlah bahawa syurga seorang isteri itu di bawah tapak kaki suaminya.

Cara lembutkan hati suami

Mari ikuti 5 cara untuk lembutkan hati suami anda dengan bijak dan mudah.

1. Sentiasa memberikan kata pujian

Seorang suami amat memerlukan kata-kata pujian daripada isteri walaupun kadang-kadang dia tidak menunjukkannya. Mungkin ianya nampak mudah, tetapi ada segelintir isteri yang terlepas pandang mengenai perkara ini. Sekiranya anda selalu mengabaikan cara ini, anda boleh memulakannya hari ini.

Anda tidak perlu terlalu memaksa untuk memuji. Lakukan ia secara spontan dan ringkas contohnya seperti, “Wah! Kacaknya suami saya hari ini”.

Walaupun terdengar lucu, tetapi ia dapat menjentik perasaan sang suami kerana merasakan si isteri memberikan perhatian kepadanya. Ia dapat membuatkan suami anda lebih bersemangat untuk memulakan harinya. Amalkan cara ini seeloknya pada waktu pagi, sebelum suami anda pergi ke tempat kerja.

 

2. Meminta maaf sekiranya melakukan kesalahan

Ini adalah salah satu cara yang selalunya amat sukar dilakukan tidak kira suami atau isteri kerana ia merupakan sikap yang bergantung kepada seseorang individu. Namun, pada cara kali ini kita menekankan isteri untuk meminta maaf kepada suami terlebih dahulu sekiranya melakukan kesalahan. Cara ini adalah amat penting untuk membantu lembutkan hati suami anda.

Jika anda melakukan kesalahan atau menyakiti hati sang suami tanpa sedar atau tidak, segeralah meminta maaf supaya si dia dapat merasakan bahawa anda mengambil berat tentang perasaannya. Siapa yang meminta maaf terlebih dulu tidak menentukan salah atau betul. Meminta maaf tidak bererti anda kalah. Tetapi, jangan anda kalah dengan ego. Ini kerana, ego akan memburukkan lagi sesuatu keadaan.

Ada satu lirik lagu yang berbunyi “mengalah bukan kalah, pergiku bukan lari”. Jadi, meminta maaf untuk kesalahan anda bukanlah sesuatu yang menjatuhkan maruah anda sebagai seorang isteri. Malah menjadikan anda seorang isteri yang berani menghadapi segala rintangan untuk hubungan yang lebih baik.

Adakalanya, perkataan maaf itu adalah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah.

 

3.Sentiasa bermanis muka

Apakah yang dimaksudkan dengan bermanis muka ? bermanis muka itu bukan bermakna meletakkan benda yang manis seperti gula di muka anda. Bermanis muka adalah sentiasa tersenyum manis dan ceria di depan suami. Janganlah selalu bermasam muka dan jangan pula menjadi seperti “kerang busuk”. Buatlah senyuman anda yang paling indah untuk sang suami agar senyuman anda mampu menceriakan hari-harinya.

Tambahan lagi, apabila isteri kelihatan ceria dan gembira di depan suami. Hati suami akan terasa lebih tenang dan lapang walaupun mungkin sang suami sedang mengalami tekanan di tempat kerja. Berkat senyuman anda, si suami dapat merasa disayangi kerana anda menunjukkan keceriaan apabila bersama dengannya.

Cuba anda bayangkan, jika sang suami yang sudah penat balik bekerja lalu melihat muka isteri yang masam dan suram. Apakah perasaannya?

Jadi, tunjukkan senyuman indah anda agar hati suami anda terasa bagai dibelai. Jangan anda tidak tahu bahawa orang yang ceria dan sentiasa tersenyum akan kelihatan awet muda.

Macam lagu M.Daud Kilau, “senyumlah, senyumlah.. ahai cik mek molek”.

 

4.Menjadi penyejuk hati

Sudah menjadi kemestiaan apabila berumah tangga. Tidak ada rumah tangga yang tidak pernah diuji. Namun, di sinilah pentingnya peranan dan tanggungjawab setiap pasangan untuk mengharmonikan rumah tangga. Ada kalanya, anda akan mengalami situasi yang menegangkan ketika bersama suami.

Bak kata pepatah, “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”. Tidak akan ada pasangan yang tidak pernah bergaduh walapun sudah cukup lama bersama.

Jika terjadi situasi tegang antara anda dan suami, ambillah peranan untuk menjadi penyejuk hati kepada sang suami. Ia bermaksud menenangkan perasaan suami anda tanpa perlu menambahkan lagi minyak ke dalam api yang sedang marak. Ajak suami anda untuk bertenang seketika.

Sejukkan hati suami anda dengan cara seperti diam untuk perkara yang tidak perlu diperkatakan, memeluk suami, membuatkan air untuk suami, mengusap dada suami, menjadi pendengar yang baik, dan seumpamanya.

Dengan memainkan peranan seperti ini, anda dapat memberi kelegaan, menyejukkan, sekaligus lembutkan hati suami anda yang sedang marah. Bertindaklah dengan bijak dan elakkan pergaduhan yang berpanjangan. Berbincanglah dalam suasana yang aman untuk menjaga hubungan suami isteri.

 

5.Mengucapkan terima kasih

Tepat sekali! Mengucapkan terima kasih kepada suami adalah perkara yang mesti diterapkan di dalam hubungan anda. Ucapan terima kasih sememangnya kedengaran cukup ringkas tetapi membawa makna yang mendalam kepada suami anda.

Ketika suami anda membantu membuat kerja-kerja rumah, ucapkanlah terima kasih atas usahanya membantu meringankan beban anda. Jika si suami memasak untuk anda, ucapkan terima kasih kerana keprihatinannya kepada anda. Setiap ucapan terima kasih kepada sang suami akan membuat dirinya merasa diperlukan.

Selain itu, suami anda akan menjadi lebih ringan tulang untuk membantu dalam apa jua kerja dan keadaan kerana anda telah lembutkan hati suami anda melalui ucapan terima kasih. Ya, sekiranya anda tidak percaya dengan kehebatan ucapan terima kasih ini, anda boleh mencubanya sendiri.

Walapun seringkas-ringkas ucapan terima kasih itu, ia mampu memberikan kedamaian dan kesejahteraan kepada rumah tangga. Ia juga boleh menjadi salah satu budaya yang baik kepada keluarga anda khusunya untuk anak-anak yang menjadikan ibu dan bapa mereka sebagai role model.

 

Akhir kalam

Berusahalah dalam mencapai rumah tangga yang harmoni. Sekiranya ada cara-cara yang dapat menambahkan kebaikan kepada rumah tangga anda, ambil dan terapkan  ke dalam hubungan anda.

Walau bagaimanapun, kesemua cara di atas boleh digunakan oleh sesiapa sahaja baik isteri atau suami. Ini kerana kerjasama dari kedua-duanya adalah penting. Semoga cara-cara ini dapat membantu menjadikan rumah tangga yang lebih bahagia dan berjaya lembutkan hati suami anda.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment