Bantuan PERMAI 2021 telah diumumkan tempohari oleh Perdana Menteri. Namun, dikatakan ia tidak menyeluruh. Ini kerana bantuan pengayuh beca tidak diberikan untuk para pengayuh-pengayuh di Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.
Kerajaan persekutuan, pertimbangkanlah
Memetik laporan Bernama, kerajaan negeri Melaka sangat-sangat berharap agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk memberi bantuan one-off atau sekali bayar kepada pengayuh beca di negeri itu di bawah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Bayaran one-off
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata sebagai negeri pelancongan, bantuan one-off kepada golongan rakyat termasuk yang terlibat secara langsung dengan sektor pelancongan amat dialu-alukan selepas mereka terkesan dengan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kedua-dua keadaan iaitu Covid-19 dan PKP telah menyebabkan kehidupan rakyat khususnya di Melaka begitu terkesan. Manakala aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan terutama yang berkaitan dengan sektor pelancongan di Melaka telah terjejas dengan teruk.
Promosi sektor pelancongan domestik
Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga berharap agar pengayuh beca yang terlibat secara langsung dalam mempromosikan sektor pelancongan negeri juga dapat dipertimbangkan untuk diberikan bantuan yang sama seperti pemandu pelancong, pemandu bas, pemandu teksi, Grab, e-hailing dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berharap golongan rakyat dan komuniti perniagaan yang akan menerima manfaat langsung daripada pakej bantuan tersebut agar dapat menggunakan inisiatif yang disediakan dengan sebaik mungkin dan tidak menyalahgunakannya.
Jamin kelangsungan ekonomi
Pengumuman pakej bantuan PERMAI itu diharap dapat membantu meringankan bebanan rakyat selain menjamin kelangsungan aktiviti ekonomi dan kegiatan perniagaan.
Terdahulu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bantuan PERMAI bagi mengurangkan beban dihadapi rakyat dan ketahanan ekonomi ketika negara sedang berdepan penularan pandemik COVID-19.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata pakej bantuan PERMAI yang memperuntukkan sejumlah RM15 bilion, antara lain mempunyai 22 inisiatif bermatlamat untuk memerangi wabak COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Akhir kalam
Banyak sangat tempat menarik di Melaka yang bakal menjadi tumpuan semula selepas PKP dan Covid-19 ini berakhir.
Namun, sebelum pandemik ini berakhir, pengayuh-pengayuh beca ini juga perlu mencari wang untuk kelangsungan hidup.
Jika anda salah seorang pengayuh beca ini, sekiranya layak, cubalah mohon BPR iaitu Bantuan Prihatin Rakyat 2021. Jika sudah mohon sebelum ini, jangan lupa kemaskini BPR dan buat semakan BPR untuk check samada lulus atau tidak.
Sama-sama kita doakan agar urusan dah kehidupan kita semua dipermudahkan.
Semoga bermanfaat.