Tipu Program Penjana Kerjaya Berjumlah RM136,100, Tiga Peniaga Didakwa

Hari ini, tiga individu yang merupakan pengusaha kedai kek dan minuman teh telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0, Penjana, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah keseluruhan RM136,100. Tiga individu tersebut adalah Siti Marzila Daud, 46; Siti Nor Sofwah Ahmad, 26, dan Nick Farhan Zakiran Mahadi, 30.

Namun, mereka semua membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kesemua tuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Menurut tuduhan, Siti Marzila didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan Ainnas Sweet Home Bakery bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso berjumlah RM50,000.

Dia didakwa dengan niat hendak memperdayakan Perkeso dengan dokumen pengesahan yang mengandungi pernyataan palsu ‘Maklumat Pekerja Baharu’, sedangkan senarai tujuh pekerja yang dinamakan bukan pekerja syarikat berkenaan. Perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, (MITC) Ayer Keroh pada 8 Mac 2021.

Siti Nur Sofwah yang juga pemilik sebuah syarikat minuman teh, Nor Sofwah Tea dan Nick Farhan sebagai pemilik syarikat kejuruteraan, NFZ Engineering masing-masing berdepan dengan satu tuduhan yang sama membabitkan nilai tuntutan palsu RM41,000 san RM45,100.Perbuatan itu masing-masing dilakukan di lokasi yang sama pada 23 Mac dan 16 April 2021.

Bagi kesalahan itu, kesemua individu yang didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama. Jika sabit kesalahan, individu yang didakwa boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai butiran palsu jika boleh dinilai atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.

Elesabet membenarkan Mazila diikat jamin sebanyak RM15,000, manakala Siti Nur Sofwah dan Nick Farhan masing-masing sebanyak RM12,000. Semua individu yang didakwa juga diperintahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Hakim Elesabet Paya Wan kemudian menetapkan tarikh 16 Februari 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes. Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa ini hanyalah tuduhan yang dibangkitkan kepada individu-individu tersebut dan belum dibuktikan kebenarannya di mahkamah.

Sumber: Kosmo

Leave a Comment