Kena ‘Scam’ Dengan Sindiket ‘Bantuan Prihatin’, Duit Lesap Hampir RM100,000

Seorang suri rumah dari Alor Gajah telah menjadi mangsa ‘scam‘ atau penipuan sindiket yang menyalahgunakan nama “Bantuan Prihatin” yang menyebabkan kerugian sebanyak RM98,670.

Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, mangsa yang berusia 42 tahun menerima panggilan daripada seseorang yang mengaku sebagai pegawai dari syarikat telekomunikasi di Kuala Lumpur pada 25 Disember 2022 yang lalu. Suspek tersebut memaklumkan bahawa mangsa terpilih untuk menerima “bantuan prihatin” dan mengarahkan mangsa untuk mengisi maklumat peribadi melalui pautan yang diberikan.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa, dengan rasa sukarela menekan pautan tersebut dan mengisi butiran yang dikehendaki termasuk maklumat perbankan di satu laman web.

Malangnya, setelah perbualan itu selesai, mangsa mengesyaki bahawa wang simpanannya telah dipindahkan ke beberapa akaun yang tidak dikenali melalui lapan transaksi berjumlah RM98,670.

Ketika ditanya mengenai kes ini, Superintendan Arshad Abu menyatakan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mangsa yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

Adalah sangat penting untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah percayakan maklumat yang tidak diketahui sumbernya.

Jika anda menjadi mangsa penipuan, jangan malu untuk membuat laporan kepada pihak berwajib.

Sumber: Harian Metro

Leave a Comment