Main Tik Tok Di Langkawi Dan Menangi Hadiah Menarik

Mahu memulakan tahun baru dengan percutian yang hebat dan memenangi pelbagai hadiah menarik? Jangan berlengah lagi kerana Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sedang menganjurkan peraduan di media sosial untuk para pengunjung yang melawat ke gugusan 99 buah pulau yang menakjubkan.

Langkawi adalah destinasi percutian tropika yang menarik untuk dikunjungi. Airnya yang tenang, pantainya yang menakjubkan, memiliki khazanah batuan tertua di Asia Tenggara dan penduduk tempatannya yang sangat mesra, sememangnya menjadikannya Langkawi Best Wey! Dan kini, memori yang anda cipta di pulau yang serba indah ini juga boleh membantu anda memenangi pelbagai hadiah yang hebat.

Bermula dari 15 Disember 2022, para pelancong yang berkunjung ke Langkawi boleh menyertai peraduan dengan memuat naik video TikTok yang memaparkan pengalaman terbaik mereka di Langkawi dengan hanya #LangkawiBestWey. Pengguna dikehendaki mengetengahkan dua aspek yang berbeza berkaitan Langkawi di dalam video berkenaan (contoh destinasi makanan tempatan, pantai yang bersih, port kafe yang memukau, aktiviti mencabar dan sebagainya). Video itu boleh dimuat naik ke dalam mana-mana laman media sosial, termasuk Facebook, Instagram atau TikTok. Untuk melayakkan diri, para peserta juga perlu meletakkan tag ke laman sosial rasmi Naturally Langkawi yang berkaitan. Selepas peraduan ini ditutup pada 15 Februari 2023, seramai 20 pemenang akan dipilih untuk memenangi pelbagai hadiah menarik yang pastinya akan membuatkan anda tidak sabar untuk kembali ke pulau indah ini sekali lagi.

Langkawi Tik Tok Challenge 2023

Ketua Pegawai Eksekutif LADA ketika mengulas mengenai peraduan tempoh terhad ini berkata, “Kami menghargai semua pelancong yang berkunjung ke pulau Geopark ini dan memilih Langkawi sebagai destinasi pilihan mereka. Sebagai tanda berterima kasih kepada mereka, kami telah memutuskan untuk menganjurkan peraduan ini dan memberi peluang kepada pelancong-pelancong untuk  mempamerkan kenangan indah mereka ketika berada di sini dan berpeluang untuk memenangi hadiah menarik.”

#LangkawiBestWey

Tambah beliau, “Dalam era digital ini, pelancong gemar mendokumentasikan perjalanan mereka menerusi telefon pintar mereka. Selaras dengan trend zaman moden ini, kami telah memutuskan untuk memanfaatkannya dan memberikan hadiah kepada mereka yang paling kreatif merakamkan kenangan mereka. Kami akan menyaring semua penyertaan dan memastikan bahawa kami memberikan ganjaran kepada mereka yang berjaya merakamkan detik pengalaman mereka di Langkawi dengan cara yang paling indah.”

Langkawi mempunyai pelbagai produk pelancongan yang menarik dan pelancong boleh menikmati pelbagai aktiviti di pulau lagenda ini. Oleh itu, para pelancong mempunyai peluang untuk menghasilkan video yang menarik mengenai percutian mereka. Para pemenang akan dipilih berdasarkan kemahiran dan kreativiti mereka merakam dan menyunting video. Sistem penghakiman akan dilaksanakan berdasarkan kepada kreativiti dan kualiti video berkenaan di mana peserta dibenarkan untuk menghantar seberapa banyak video yang mereka suka. Walau bagaimanapun, pelancong yang menyertai pertandingan #LangkawiBestWey ini perlu memastikan video yang dihantar tidak menyinggung mana-mana agama, kaum, negara, etika, standard moral dan perasaan.

Bagi mereka yang tidak sabar ingin mengetahui hadiah yang ditawarkan, pemenang hadiah utama peraduan ini akan membawa pulang 2 tiket ke Sky Cab Langkawi, penginapan 3H2M di Tanjung Rhu Resort termasuk sarapan pagi, 2 tiket Langkawi Sunset Party Cruise, 2 tiket Splash Out Langkawi, dan pelbagai lagi. Jangan bimbang sekiranya anda tidak berjaya memenangi hadiah utama tersebut kerana sehingga 20 pemenang akan dipilih untuk memenangi pelbagai hadiah menakjubkan yang lain. Hadiah menarik ini bernilai sekurang-kurangnya RM 50, 000!

Bercuti dan menyertai peraduan #LangkawiBestWey sekarang! Jangan tunggu lagi, mula berTikTok sekarang sebelum tempoh peraduan tamat.  Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai terma dan syarat, sila layari Instagram naturally_langkawi.

 

Mengenai Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA)  

Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk merancang, mempromosi dan melaksana pembangunan di Pulau Langkawi. Ia ditubuhkan secara rasmi pada 15 Mac 1990, di bawah Akta Lembaga Pembangunan Langkawi 1990 (Akta 423) dan diletakkan di bawah kuasa Kementerian Kewangan. Melalui usaha mereka, LADA komited untuk terus menyokong usaha murni semua pihak dalam mengembalikan zaman kegemilangan sektor pelancongan Langkawi untuk kemakmuran bersama bagi pulau itu dan penduduknya. Matlamat LADA adalah untuk meletakkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan terkenal di dunia.

Untuk maklumat lanjut mengenai LADA, sila layari https://www.lada.gov.my/en/  dan https://naturallylangkawi.my/

Leave a Comment