Rekalibrasi Tenaga Kerja 2023 (RTK 2.0) Akan Dibuka

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang dahulunya berakhir pada 31 Disember 2022, kini telah disambung lagi sehingga akhir tahun ini. Ini adalah memenuhi keperluan tenaga kerja asing di negara kita.

Majikan yang berminat untuk mendaftarkan pekerja asing boleh melakukannya mulai dari 27 Januari 2023.

Cara Buat Permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 2023

Majikan boleh memohon pengambilan pekerja asing menerusi program ini dengan membuat permohonan melalui laman sesawang https://imigresen-online.imi.gov.my/myimms/main.

Setelah permohonan diterima, majikan akan diberikan tarikh janji temu oleh Jabatan Imigresen (JIM) untuk proses verifikasi. Proses verifikasi ini hanya mengambil masa sehari sahaja.

Apabila diluluskan, majikan perlu membawa pekerja asing untuk menjalani proses pemeriksaan kesihatan dengan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) bagi memastikan mereka sihat dan dapat bekerja dalam sektor masing-masing.

Proses seterusnya ialah pembayaran fi rekalibrasi, visa, PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara), pemprosesan dan levi. Apabila semua dokumen telah lengkap, majikan boleh mencetak PLKS.

 

Sektor Yang Termasuk Dalam Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0

Sektor pembantu rumah asing ialah sektor baharu yang dimasukkan ke dalam program RTK 2.0, menjadikan lapan sektor dibenarkan bagi proses pengambilan pekerja asing.

Sektor lain ialah perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari, pengawal keselamatan, perkhidmatan, pertanian serta perladangan. Negara sumber pembantu rumah asing ialah Thailand, Kemboja, Nepal, Laos, Vietnam, Filipina, Sri Lanka, India dan Indonesia.

 

Bayaran Bagi Permohonan RTK 2.0

Sementara itu, bayaran yang dikenakan untuk setiap pekerja asing dalam program ini ialah RM1,500 untuk setiap sektor. Jabatan Imigresen (JIM) menegaskan bahawa tidak melantik mana-mana individu atau agensi sebagai ‘orang tengah’ bagi program ini.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja tamat pada 31 Disember lepas dan akan diteruskan selama setahun, berkuat kuasa serta-merta. Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing juga dilaksanakan bagi menyegerakan proses permohonan serta kelulusan penggajian pekerja asing.

Kedua-dua perkara ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber: Berita RTM

Leave a Comment