Cabutan SSPN 2023 Berjumlah RM500,000

Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023 yang bertujuan untuk mendorong budaya menabung di kalangan rakyat Malaysia.

Untuk menyertai kempen ini, pendeposit hanya perlu membuka akaun atau membuat penambahan simpanan dalam tempoh kempen. Setiap RM100 yang disimpan bagi Simpan SSPN Prime dalam tempoh kempen akan layak satu cabutan manakala setiap RM50 bagi Simpan SSPN Plus pula layak dua cabutan secara automatik.

Menurut Abdul Razak, Pengarah Urusan PTPTN, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima sehingga 31 Disember 2022 adalah sebanyak RM14.24 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 5.73 juta.

Kempen kali ini lebih menarik kerana pengguna aplikasi mudah alih myPTPTN mempunyai kelebihan bilangan cabutan berganda. Pembukaan akaun dan penambahan deposit Simpan SSPN melalui aplikasi mudah alih myPTPTN boleh dilakukan dengan lebih mudah, cepat dan selamat.

Pendeposit Simpan SSPN Prime yang menyimpan RM100 melalui myPTPTN akan mendapat lima cabutan manakala pendeposit Simpan SSPN Plus yang menyimpan RM50 melalui myPTPTN mendapat 10 cabutan.

PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berperanan dalam memupuk budaya menabung bermula pada tahun 2004 dan terus berada di landasan yang kukuh sebagai produk simpanan berdaya saing di pasaran dengan pelbagai keistimewaan serta manfaat yang disediakan.

Sebagai tambahan, PTPTN juga telah menyampaikan sijil penghargaan kepada lima rakan bagi kerjasama tahun 2022 sebagai simbolik kejayaan kolaborasi dalam memperkasa dan memupuk budaya penabungan melalui Simpan SSPN.

Rakan strategik yang diberi penghargaan termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kerajaan Negeri Sabah, Yayasan Veteran ATM (YVATM), Kao Laurier Malaysia dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2023, sila layari laman web rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.

PTPTN berharap agar kempen ini dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia untuk menyimpan dan membuat pelaburan untuk masa depan yang lebih cerah.

Sumber: Utusan Malaysia

Leave a Comment