Rakyat Malaysia Tak Tahu Mohon Bantuan Kerajaan

Menurut kajian yang dijalankan, sekitar 60% rakyat Malaysia tidak peka dan tidak mengetahui tentang bantuan dan kemudahan yang boleh dipohon daripada kementerian. Hal ini dikesan oleh Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Ramesh Rao.

Ia menyebabkan rakyat tidak mengetahui fungsi sesebuah kementerian dalam pentadbiran negara. Oleh itu, beliau mencadangkan agar kementerian sedia ada mewujudkan satu cara untuk menyampaikan maklumat tentang bantuan kebajikan. Ia bagi memastikan rakyat mudah dan tidak tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan. Agak menyedihkan apabila ini berlaku kerana kerajaan sebenarnya peka dan prihatian terhadap kesusahan rakyat.

Beliau cadangkan setiap tiga atau enam bulan, kementerian boleh mengeluarkan buletin atau makluman untuk diedarkan kepada rakyat di seluruh negara. Rakyat perlu diberi kefahaman wujudnya banyak bantuan dan kemudahan. Sebenarnya ada pelbagai jenis bantuan boleh dimanfaatkan rakyat tetapi ia tidak dipohon atau digunakan.

Semua kemudahan mahupun bantuan yang disediakan kerajaan perlu dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat, bukan untuk golongan tertentu sahaja. Kefahaman tepat dan jelas boleh mengelakkan tercetus persepsi negatif kononnya kerajaan tidak membantu rakyat sedangkan pelbagai bentuk bantuan dan kemudahan telah tersedia.

Pegawai khas itu juga mencadangkan agar kerajaan boleh menggunakan mekanisme pengagihan kit penjagaan Covid-19 sebelum ini untuk membolehkan maklumat berkenaan disampaikan terus ke rumah secara berkala. Mekanisme itu menunjukkan kesan baik apabila kit berkenaan dihantar terus ketika negara dilanda pandemik sebelum ini. Ia boleh dijadikan satu cara untuk menyampaikan maklumat berkenaan melalui buletin.

Pegawai khas ini berharap, rakyat tidak lagi hilang punca atau tidak tahu arah tujuan jika memerlukan bantuan ketika berdepan dengan masalah mahupun tekanan hidup. Selepas penjelasan tentang fungsi dan bantuan yang disediakan oleh kementerian disampaikan, beliau berharap rakyat tidak seolah-olah hilang punca ketika ditimpa kesulitan dan kesusahan.

Sumber: MalaysiaGazette

Leave a Comment