Bantuan Awal Persekolahan 2023, Semua Warganegara Layak

Bermula minggu depan, Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 seorang akan diagihkan kepada murid-murid di sekolah masing-masing untuk sesi persekolahan 2022/2023. Sebagai ibu-bapa, ramai yang tertanya-tanya samada perlu mohon atau tidak untuk mendapatkan bantuan ini? Atau adakah semua layak?

Secara asasnya, semua pelajar yang berstatus warganegara Malaysia layak menerima Bantuan Awal Persekolahan bagi tahun 2023. Ini kerana bantuan ini ditujukan kepada murid-murid yang memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh kerajaan, iaitu murid warganegara Malaysia, murid Tahun Satu hingga Tingkatan Lima atau yang setaraf dengannya dan murid yang bersekolah di Sekolah Kerajaan (SK); Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK); Sekolah Agama; Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan Kerajaan; Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih; Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

Sebagai panduan kepada ibu bapa atau penjaga, berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian sebelum mengambil bantuan ini di sekolah anak masing-masing.

  1. Pertama, bagi sekolah rendah ibu bapa/penjaga perlu hadir sendiri untuk mengambil wang BAP.
  2. Kedua, sila bawa bersama sijil lahir/kad pengenalan murid, kad pengenalan ibu bapa/penjaga, dan jika wakil, sila bawa surat wakil yang ditandatangani oleh ibu bapa penjaga, salinan kad pengenalan ibu/bapa/penjaga, salinan kad pengenalan wakil. Tanpa dokumen berkenaan, wang BAP tidak akan diberi.
  3. Ketiga, hanya murid warganegara Malaysia dan murid yang mempunyai dokumen sahaja layak menerima BAP 2023.
  4. Keempat, ibu bapa perlu akur dengan tarikh dan ketetapan pihak sekolah. Pihak sekolah hanya mengambil wang dari bank mengikut jumlah murid yang ditetapkan sahaja dan lebihan wang akan dimasukkan semula ke dalam bank pada hari yang sama.
  5. Kelima, jika ada adik-beradik yang bersekolah di sekolah yang sama, ibu bapa dibenarkan mengambil pada hari adik atau abang/kakak ditetapkan. Bagi kes ini, sila maklumkan kepada guru kelas untuk dimaklumkan kepada Unit Kebajikan sekolah.

Akhir sekali, fasa 1 pengagihan BAP akan diserahkan pada: 16 Januari (Isnin) untuk murid Tahun Satu dan Tahun Empat, 17 Januari (Selasa) untuk murid Tahun Dua dan Lima, dan 18 Januari (Rabu) untuk murid Tahun Tiga dan Enam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023. Beliau menyatakan bahawa langkah ini penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain memberi peluang yang sama kepada semua murid untuk mendapatkan pendidikan yang baik.

Pasti ini akan memberikan kelegaan pada ibu-bapa yang berpendapatan rendah kerana mereka juga bakal menerima Bantuan Tunai Rakyat 2023. Ibu-bapa yang layak dinasihatkan buat semakan BTR 2023 di portal rasmi BTR Hasil apabila sudah dibuka kepada umum nanti.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, adalah penting untuk memastikan bahawa semua dokumen yang diperlukan telah disediakan dan mematuhi tarikh yang ditetapkan oleh pihak sekolah untuk mengambil BAP. Ini akan memastikan bahawa anak-anak kita dapat menerima bantuan yang ditawarkan dan memulakan sesi persekolahan dengan kelengkapan yang diperlukan.

1 thought on “Bantuan Awal Persekolahan 2023, Semua Warganegara Layak”

Leave a Comment