Pinjaman Boleh Ubah 2021 (Peduli Siswa Selangor, Dalam Negara)

Bagi mana-mana pelajar yang ingin sambung pelajaran di dalam negara, anda boleh cuba mohon pinjaman boleh ubah Selangor yang dipanggil Peduli Siswa. Namun, ia khusus untuk warga Selangor sahaja.

Maklumat rasmi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) ada di sini.

Cara mohon pinjaman boleh ubah

Permohonan ini adalah secara online sahaja. Namun, terbahagi kepada dua kategori iaitu:

  1. Yang baru mahu mendaftar, iaitu permohonan baru, sila klik pautan ini: https://tkwbns.selangor.gov.my/sispin/pengguna/add
  2. Yang sudah mendaftar pada sesi terdahulu, sila klik pautan ini: https://tkwbns.selangor.gov.my/sispin/login
    • Bagi yang sudah mendaftar, anda boleh kemaskini maklumat anda bila-bila masa
    • Anda boleh buat semakan status permohonan secara online tanpa ke kaunter
    • Anda juga boleh buat semakan penyata

Untuk maklumat, tarikh tutup permohonan telah tamat iaitu 31 Ogos 2020 yang lalu. Bagi yang ingin buat semakan permohonan, sila semak dua (2) minggu selepas tarikh tutup permohonan.

Syarat am untuk mohon pinjaman boleh ubah Selangor

Lihat syarat-syarat untuk buat permohonan ini seperti di bawah:

  1. Pemohon dan ibu dan bapa merupakan warganegara Malaysia; DAN
  2. Pemohon, ibu atau bapa lahir di Selangor; atau
  3. Ini bermakna; syarat wajib adalah seorang warganegara Malaysia dan juga salah seorang (iaitu antara pemohon, ibu atau bapa) lahir di Selangor
  4. Namun, ada kelonggaran lain. Permohonan ini juga dibenarkan kepada pemohon telah dan sedang bermastautin lebih daripada sepuluh (10) tahun di Selangor. Walau bagaimanapun, keutamaan adalah tetap kepada anak Selangor.
  5. Pemohon juga telah mendaftarkan diri bagi pengajian sepenuh masa di peringkat Diploma / Ijazah Sarjana Muda / Ijazah Perubatan. Yang masih lagi belum daftar, tidak dibenarkan memohon.
  6. Pemohon juga mestilah edang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dalam Negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang diiktiraf oleh Kerajaan secara sepenuh masa. Ini bermakna, mana-mana pelajar yang belajar separuh masa adalah tidak layak.
  7. Pemohon bukan pelajar tahun akhir pengajian atau diberikan lanjutan tempoh pengajian.
  8. Pemohon belum menerima sebarang tajaan lain (Biasiswa, Pinjaman atau Dermasiswa) termasuk bagi Ijazah Perubatan, Pergigian dan Veterinar)
  9. Pendapatan isi rumah iaitu campuran gaji ibu dan bapa hendaklah tidak melebihi RM 20,000.00 sebulan. Walau bagaimanapun, ini adalah gaji pokok sahaja. Jika termasuk elaun, overtime dan lain-lain melebihi kelayakan yang sepatutnya, permohonan masih lagi boleh dipertimbangkan.
  10. Pemohon perlu sertakan dokumen berikut untuk mohon pinjaman boleh ubah Selangor:
    • Salinan Sijil Lahir Pemohon
    • Salinan My Kad Pemohon, Bapa Dan Ibu
    • Salinan Sijil Berhenti Sekolah (Rendah Dan Menengah)
    • Salinan Keputusan Spm/ Stpm/ Stam/ Matrikulasi/ Asasi/ Diploma (Mana Yang Berkaitan).
    • Salinan Slip Gaji Terkini (Ibu Dan Bapa/Penjaga)
    • Jika Pesara Sila Kepilkan Salinan Penyata Pencen Bulanan
    • Jika Bekerja Sendiri/Tidak Bekerja/Suri Rumah Sila Dapatkan Pengesahan Pendapatan (Disahkan Oleh Ketua Kampung/ Adun/ Penghulu/Pengerusi Taman / Penghulu Mukim / Ketua Blok Sahaja)
    • Bagi Pemohon Dan Ibubapa Yang Tidak Lahir Di Negeri Selangor Perlu Mengemukakan Pengesahan Mastautin Yang Disahkan Oleh Ketua Kampung/ Adun/ Penghulu/Pengerusi Taman / Penghulu Mukim / Ketua Blok Sahaja)
    • Salinan Surat Kematian Dan Surat Bercerai (Jika Berkaitan)
  11. Permohonan yang TIDAK LENGKAP atau TIDAK DISERTAKAN DOKUMEN yang diperlukan akan DITOLAK. Dokumen yang dicetak tidak perlu dihantar.
  12. Pemohon hendaklah membuat semakan secara talian / online dalam tempoh DUA MINGGU selepas TARIKH TUTUP PERMOHONAN.

 

Syarat akademik pinjaman boleh ubah Selangor

Apakah antara syarat akademik yang melayakkan untuk memohon?

  1. Sijil
    – Memperolehi sekurang-kurangnya tiga (3) kepujian dalam mana-mana mata pelajaran SPM (bidang dan teknikal).
    – Memperolehi sekurang-kurangnya empat (4) kepujian dalam mana-mana pelajaran di peringkat SPM (IPTA).
  2. Diploma
    – Memperoleh sekurang-kurangnya lima (5) kepujian dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat SPM; atau
    – Memperoleh kelayakan Sijil dengan kelulusan PNGK/ CGPA 2.50 ke atas.
  3. Ijazah Sarjana Muda
    – Memperoleh kelayakan Sijil Tahun Asas / Pra-Ijazah / Matrikulasi / Diploma dengan kelulusan PNGK / CGPA 2.50 ke atas; atau
    – Memperoleh sekurang-kurangnya empat (4) Gred C dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat STPM; atau
    – Memperoleh sekurang-kurangnya lima (5) kelulusan (jayyid) dalam mana-mana mata pelajaran di peringkat STAM.
  4. Ijazah Perubatan dan Pergigian
    – Sedang mengikuti Ijazah Perubatan dan Pembedahan / Pergigian di Universiti Awam yang disenaraikan.

 

Kadar pinjaman pendidikan dalam negara

Berapakah pinjaman boleh ubah Selangor yang akan diberikan kepada pemohon?

Untuk makluman, kadar pinjaman adalah tidak sama kerana ia mengikut peringkat pengajian yang diambil. Sila rujuk maklumat di bawah ini:

  1. Sijil
    – Pembiayaan ini terpakai untuk pelajar di UiTM, Politeknik & Kolej Komuniti yang mengambil sijil sahaja
    – Kadar pembiayaan ialah RM3,000 setahun
  2. Diploma
    – Untuk pelajar di IPTA dan IPTS, kadar pinjaman ialah RM4,900
    – Untuk pelajar di UiTM, Politeknik & Kolej Komuniti, kadar pinjaman ialah RM3,500 sahaja
  3. Ijazah Sarjana Muda
    – Bagi pelajar IPTA dan IPTS, kadar pinjaman boleh ubah Selangor ini ialah RM6,500
    – Bagi pelajar UiTM, Politeknik & Kolej Komuniti pula, kadar pinjaman boleh ubah Selangor ini ialah RM4,500 sahaja
    – Ini adalah untuk pelbagai Ijazah Sarjana Muda termasuk Veterinar
  4. Ijazah Perubatan dan Pergigian
    – Bagi pelajar IPTA dan IPTS, kadar pembiayaan ialah RM7,000
    – Bagi pelajar UiTM, Politeknik & Kolej Komuniti pula, kadar pembiayaan juga sama iaitu RM7,000

Sila ambil maklum bahawa tajaan adalah bermula daripada tarikh kuatkuasa Surat Tawaran sehingga tamat pengajian seperti yang dinyatakan dalam Surat Tawaran daripada Universiti.

 

Pengurangan bayaran balik pinjaman

Apa yang menarik dengan pinjaman boleh ubah ini, pinjaman tersebut boleh dikurangkan mengikut prestasi CGPA / PNGK akhir pelajar. Ini bermakna, jika pelajar seorang yang bijak dan mendapat keputusan yang cemerlang, sudah tentu perlu bayar sedikit sahaja.

Selain daripada CGPA/PNGK, pelajar juga perlu memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Tamat pengajian dalam tempoh seperti yang ditetapkan dalam surat tawaran
  • Tidak melanggar mana-mana syarat seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Perjanjian
  • Mengemukakan salinan transkrip rasmi dan sijil senat yang telah disahkan oleh pihak Universiti kepada Urus Setia Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS)

 

Akhir kalam

Buat ibu-bapa yang kurang berkemampuan tetapi mempunyai hasrat yang tinggi untuk melihat anak berjaya, cubalah pinjaman boleh ubah Selangor ini. Kerajaan negeri memang mahu membantu mana-mana keluarga yang memerlukan pertolongan, lebih-lebih lagi berkaitan pendidikan.

Jangan sesekali buat pinjaman along atau pinjaman wang berlesen yang akan menyusahkan hidup suatu hari nanti.

Cuba cari maklumat tentang pinjaman boleh ubah lain seperti JPA, Bank Rakyat dan Yayasan Tenaga Nasional (YTN). Untuk pinjaman boleh ubah luar negara, boleh semak dengan MARA.

Kami doakan agar mana-mana pemohon yang memohon akan mendapat status lulus.

Semoga bermanfaat.

 

Leave a Comment