Mandi Wajib Selepas Bersalin (Cara Mandi Wiladah / Nifas)

Dalam artikel kali ini, kami akan membahaskan tentang topik spesifik untuk golongan wanita ataupun golongan ibu iaitu topik tentang cara mandi wajib selepas bersalin. Kami harap perkongsian kali ini akan membantu anda memahami sedikit sebanyak tentang cara mandi wajib, hukum dan juga niat mandi wajib selepas bersalin.

Cara mandi wajib selepas bersalin

Topik ini merupakan topik khusus buat golongan wanita dan ibu, namun para lelaki juga perlu tahu sedikit sebanyak tentang perkara ini dan harus dijadikan ilmu dan pengetahuan umum kerana semua lelaki mempunyai keinginan untuk berkahwin bukan?

Baiklah, mari kita terus ke poin penting iaitu persoalan-persoalan yang sering ditanya oleh golongan wanita tentang tatacara dan kaedah mandi wajib selepas bersalin ini. Setiap ibu yang telah melahirkan anak pasti tertanya-tanya tentang cara mandi wajib dan juga tentang niat beserta hukum.

 

Perlu atau tidak kita mandi wajib 2 kali?

Persoalan ini sering ditanya, golongan ibu sering beranggapan bahawa mereka perlu mandi wajib sebanyak dua kali iaitu satu untuk wiladah dan satu untuk nifas.

Jawapan pada persoalan ini adalah TIDAK PERLU.

Mandi wajib selepas bersalin boleh dilakukan dengan salah satu cara daripada dua kaedah di bawah bergantung kepada keadaan si ibu.

  • Jika ibu yang baru bersalin tidak keluar darah nifas, maka si ibu hanya perlu mandi wajib wiladah.
  • Sekiranya ibu yang baru bersalin datang darah nifas, si ibu perlu menunggu sehingga darah kering dan kemudian barulah mandi wiladah dan nifas dalam SATU MANDIAN SAHAJA (tidak perlu mandi dua kali).

 

Hukum mandi wajib nifas / wiladah

Setiap wanita yang baru keguguran atau baru selesai bersalin akan berada di dalam keadaan wiladah (keadaan selepas melahirkan anak), dan dua perkara akan berlaku selepas itu iaitu si ibu keluar darah atau tidak keluar darah dan semuanya dalam tempoh 40 ke 60 hari.

Setiap wanita WAJIB untuk mandi selepas salah satu keadaan tersebut berlaku.

 

Cara berniat mandi wajib

(Berdasarkan panduan daripada Mufti Wilayah Persekutuan)

  • Gabung dua niat dalam satu mandian, lalu terus mandi.
"Sahaja aku mengangkat hadas wiladah dan nifas"
  • Mandi dengan satu niat sahaja, kemudian terus mandi.
"Sahaja aku mengangkat hadas besar"

 

Cara mandi wajib nifas selepas bersalin

Sebenarnya kaedahnya sama sahaja dan lebih kurang seperti mandi wajib selepas haid ataupun junub. Ikuti langkah dan cara mandi wajib di bawah.

  1. Langkah yang pertama adalah berniat.
  2. Kemudian, anda perlu memulakan proses mandi wajib dengan membaca bismillah.
  3. Basuh kedua tangan anda secara menyeluruh dan pastikan kena pada semua kawasan.
  4. Selepas itu, basuh bahagian kemaluan sehingga hilang segala kekotoran.
  5. Ambil wudhu.
  6. Siram air pada bahagian kepala dan dimulakan pada bahagian kanan kepala sebanyak 3 kali.
  7. Kemudian lalukan air pada seluruh kawasan badan anda dengan menyeluruh. Pastikan air kena pada semua anggota tubuh badan.
  8. Membersihkan dan membasuh bahagian kaki.
  9. Selesai mandi wajib nifas.

Selepas selesai mandi wajib nifas, golongan ibu yang baru bersalin kini boleh melakukan ibadah wajib dan ibadah lain seperti biasa.

 

Akhir kalam

Diharapkan agar perkongsian pada hari ini akan memudahkan urusan anda dan sedikit sebanyak memberi penjelasan tentang topik yang amat penting ini.

Untuk mandi wajib yang biasa, boleh rujuk niat mandi wajib.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment