Kenapa Period Lambat? (Punca Haid Datang Lewat Sebulan)

Jangan panik, risau dan terlalu overthinking kenapa period lambat. Kalau tak buat apa-apa (kalau sudah berkahwin, faham-fahamlah sendiri), tak ada apa yang perlu dibimbangkan, melainkan anda memang merancang untuk mengandung.

Kebanyakan wanita mengalami kitaran haid setiap 28 hari, namun terdapat juga yang mengalami pada tarikh seawal 21 hari, dan selewat 35 hari. Akan tetapi, sekiranya kitaran haid anda terlalu lewat, maka anda mungkin mengalami sesuatu yang luar dari kebiasaannya.

Kenapa period lambat datang?

Pertama sekali, anda mungkin mengalami tekanan emosi. Keadaan ini akan menyebabkan hormon anda menjadi tidak stabil, mengubah rutin harian anda, dan memberi kesan terhadap bahagian otak anda yang berperanan dalam mengatur kitaran haid anda. Dari semasa ke semasa, tekanan akan menyebabkan anda jatuh sakit ataupun mempengaruhi berat badan anda, sekali gus memberi kesan terhadap kitaran haid anda.

Kedua, berat badan anda terlalu rendah. Kaum wanita yang mengalami penyakit anorexia nervosa atau bulimia, boleh mengalami kitaran haid yang terlepas atau lewat. Berat badan yang 10% lebih rendah berbanding berat yang normal akan menghentikan proses kitaran haid. Bahkan, wanita yang kerap melakukan aktiviti senaman yang berat akan terdedah kepada pemberhentian proses kitaran haid. Di samping itu, berat badan yang terlalu tinggi atau obes juga mempengaruhi hormon seseorang dan boleh mengakibatkan haid lambat berlaku.

Ketiga,  pengambilan ubat perancang keluarga. Ubat begini mengubah hormon anda dan menghalang proses kitaran haid daripada disempurnakan. Maka, seseorang boleh mengalami period yang lambat jika kerap mengambil ubat seperti ini. Tambahan pula, seseorang memerlukan masa sehingga 6 bulan untuk menyeimbangkan semula kitaran haid.

Keempat, anda menghidap penyakit kronik. Penyakit seperti kencing manis boleh mempengaruhi kitaran haid disebabkan oleh perubahan hormon akibat daripada perubahan kadar gula dalam darah. Selain itu, penyakit membabitkan tiroid juga boleh menyebabkan period lambat datang kerana tiroid berperanan dalam menghasilkan hormon untuk tubuh badan. Kemudian, penyakit barah di bahagian otak juga boleh mengganggu kitaran haid.

Kelima, anda menghampiri peringkat menopaus. Sebelum anda menopaus, anda akan lalui peringkat ‘perimenopause’ terlebih dahulu dan peringkat ini kadangkala menyebabkan kitaran haid anda menjadi terlewat.

 

Akhir kalam

Apa-apa pun, seperti yang kami katakan tadi, jangan terlalu bimbang kenapa period lambat. Jika inginkan kepastian, anda boleh rujuk pakar perubatan untuk mengenal pasti samada anda mempunyai masalah kesihatan, ataupun haid anda yang terlewat merupakan satu proses yang normal. Jika sudah selesai semuanya, jangan lupa mandi wajib selepas haid.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment