Harga Siling Ayam Akan Disemak Semula Oleh Kerajaan

Kerajaan sedang mengkaji untuk menyemak semula penetapan harga siling ayam di negara ini selepas melihat bekalannya yang semakin pulih.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyatakan bahawa semakan harga ini bertujuan untuk membantu pengguna dalam membeli harga bahan mentah itu pada harga yang lebih murah.

Menurut menteri, kerajaan sedang mengkaji untuk menyemak semula harga siling ayam dalam masa terdekat dan hanya menunggu masa sahaja. Beliau juga melihat di seluruh negara pada hari ini, syarikat-syarikat seperti pasar raya bermurah hati menjual di bawah harga siling yang telah ditetapkan. Ini memberikan ruang kepada rakyat untuk mendapatkan ayam pada harga yang lebih murah.

Kerjasama dengan peladang, pembekal dan penjual turut diadakan dalam memastikan tidak berlaku tuding jari membabitkan harga ayam dan fakta sebenar juga diperolehi apabila perjumpaan diadakan bersama pemain industri.

Terdapat empat syarikat besar yang akan diumumkan oleh menteri dan kerjasama ini akan dilanjutkan secara terus kepada mereka. Data dan fakta yang lebih lengkap akan diperolehi daripada KPDN, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Ini dilakukan supaya dalam pertemuan dengan empat pemain utama ini, dapat berunding dengan baik dan mencari satu penyelesaian supaya rantaian ini secara keseluruhannya memberikan manfaat kepada rakyat dalam mendapat harga yang lebih stabil.

Walaupun bekalan dan telur ayam semakin stabil, menteri menegaskan agar Pejabat KPDN negeri tidak leka dan terus memantau serta memberikan maklum balas agar kes putus atau kurang bekalan barang keperluan utama tidak berulang.

Ini bertujuan untuk memastikan ketersediaan barangan ini kepada rakyat pada harga yang stabil dan sesuai. Kerajaan akan terus berusaha untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan keselamatan pangan dengan mengekalkan harga yang stabil dan sesuai.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Comment