Bantuan Bas Sekolah Percuma DBKL Untuk Penduduk PPR

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil inisiatif untuk melancarkan program bas sekolah percuma bernama MySchoolBus bagi sesi persekolahan yang akan bermula tahun ini hingga tahun hadapan. Program ini merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh DBKL untuk membantu pelajar yang berada dalam kategori isi rumah yang kurang berkemampuan ekonomi dan yang menetap di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta pelajar yang menetap di Perumahan Swasta Kos Rendah DBKL.

Pendaftaran penyertaan pelajar bagi program ini dibuka mulai 9 Januari hingga 10 Februari 2023. Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, DBKL mengingatkan pemohon supaya menghantar borang permohonan mengikut tarikh yang ditetapkan dan borang yang tidak lengkap dan dihantar selepas tarikh tutup permohonan tidak akan diterima oleh pihak urusetia.

Maklumat lanjut mengenai program ini seperti terma dan syarat serta senarai kawasan yang terbabit boleh dirujuk melalui borang pendaftaran permohonan yang disediakan.

Borang permohonan boleh didapati menerusi pautan ini atau QR Code dalam notis makluman di Facebook DBKL. Borang yang lengkap diisi beserta dokumen sokongan yang lain boleh dihantar ke Pejabat Kecil Perumahan DBKL berhampiran atau Pejabat Pengurusan Perumahan Zon DBKL (rujuk senarai menerusi pautan borang permohonan).

Walau bagaimanapun, pemilik akaun Facebook, Amy Yana mengeluh bahawa PPR Sentul Murni tidak termasuk dalam senarai program terbabit.

Namun begitu, kebanyakan pengguna meninggalkan komen yang positif mengenai program ini dengan mengucapkan rasa syukur ‘Alhamdulillah’ dan berharap program ini dapat memberikan manfaat yang sebesar-besarnya kepada pelajar yang berhak.

Program ini diharap dapat membantu pelajar dari kategori isi rumah yang kurang berkemampuan ekonomi untuk mendapatkan pendidikan yang baik tanpa dibebani dengan kos pengangkutan yang tinggi.

Leave a Comment