Cara Simpan Duit Gaji Rendah (Ikut Jadual & Masuk Tabung)

Walaupun gaji banyak, cepat sangat habisnya. Adakah ini kerana pengurusan kewangan yang tidak betul? Atau adakah ini kerana rezeki yang tidak berkat? Sebelum kita pergi lebih jauh tentang keberkatan rezeki, mari kita baca cara simpan duit gaji bulanan, agar ada sedikit keselesaan kalau ada emergency.

Barack Obama

“Money is not the only answer, but it makes a difference.”
– Barrack Obama

Ya, bekas Presiden Amerika Syarikat ini pernah berkata demikian. Maksud beliau, duit bukanlah segalanya. Akan tetapi, mahu tidak mahu ia tetap satu keperluan dalam hidup. Buat mereka yang ditakdirkan menyara hidup dengan ‘makan gaji’, hakikat ini tentulah tidak dapat dinafikan.

Bercakap tentang gaji penjawat awam di Malaysia, mereka berdepan dengan situasai kemasukan gaji awal pada bulan-bulan tertentu. Bila gaji awal, maksudnya gaji cepat habis. Begitulah logiknya. Boleh rujuk jadual gaji terkini tahun ini.

Sama juga dengan yang dalam sektor swasta, tidak banyak beza.

Gaji masuk awal

Situasi gaji masuk awal ini, jika tidak diuruskan dengan baik, bakal menyebabkan si penjawat awam dan keluarganya makan nasi berlaukkan ikan kering, atau menunggang basikal untuk ke tempat kerja.

Manakala bagi sesetangah yang lain, ia bukan menjadi masalah kerana telah mengamalkan langkah-langkah tertentu yang menghindarkan mereka daripada bebanan kewangan lantaran waktu penerimaan gaji yang luar biasa.

 

Cara simpan duit gaji rendah

Gaji besar, keraknya besar. Gaji rendah, keraknya kecil.

Namun, tak bermakna orang gaji rendah tak boleh menyimpan. Silap-silap, dia boleh simpan duit lebih banyak dari orang yang bergaji besar.

Tidak kiralah gaji RM1000, RM900 atau RM800 sekalipun, ada cara yang boleh digunakan supanya boleh menyimpan.

Bagaimanakah situasi ini mampu diuruskan dengan bijak oleh mereka? Beberapa panduan yang diperolehi daripada pengalaman serta rujukan mereka yang arif diharap dapat membantu dalam pengurusan ‘gaji awal’ ini:

Jangan habiskan gaji semasa

Gaji masih ada dan beberapa hari lagi gaji berikutnya akan masuk. Lalu kerana gaji datang awal, kita elakkan diri dariapada menghabiskan gaji semasa dengan membeli barangan yang tidak perlu dan enjoy sakan. Berbelanja seperti biasa seolah-olah tiada duit bonus atau hadiah wang tunai yang bakal mengisi akaun.

Berjimat cermat menyambut perayaan

Cabaran gaji awal ini biasanya menjadi luar biasa ketika menyambut hari raya. Oleh itu, melihat kembali tujuan dan falsafah hari raya itu sendiri adalah satu keperluan.
Disyorkan agar tidak mengunjungi pasar raya pada hari-hari terakhir menjelang hari raya kerana dikatakan pada ketika itu emosi beraya lebih menguasai diri untuk membeli sesuatu yang tidak perlu.

Simpan gaji yang diterima awal ke akaun lain

Gaji yang diterima awal itu kita masukkan ke dalam akaun berasingan daripada akaun gaji kita. Untuk tujuan ini akaun yang terbaik adalah yang sukar dikeluarkan seperti tabung haji, atau amanah saham.

Kalau gaji masuk dalam akaun Maybank, cuba simpan dalam CIMB. Yang paling bagus, simpan dalam akaun yang susah mahu keluarkan seperti Tabung Haji, ASN dan ASB.

 

Cara simpan duit gaji, jangan buat loan dulu

Selain hutang kereta dan rumah, tahan diri dulu dari berhutang. Zaman sekarang, ramai orang buat ASB loan kerana katanya pulangan yang tinggi. Namun, tahun 2020 tidak secerah tahun sebelum ini kerana dividen cuma 5.5% sahaja. Ramai yang berura-ura untuk batalkan dan cari cara terminate ASB loan.

Beri isteri atau ibu bapa simpan

Isteri, emak atau sesiapa elok menjadi pemegang gaji kita ketika itu. Asalkan dia amanah dan mampu menjadi pengawal perbelanjaan kita. Biar dia simpan duit gaji yang diterima sampai saatnya ia benar-benar diperlukan – akhir bulan. Harapnya si isteri atau emak kita itu bukanlah pula dalam kalangan mereka yang boros berbelanja.

Cara simpan duit gaji, bayar dahulu perbelanjaan tetap

Apabila menerima gaji awal pada bulan Jun, hakikat yang perlu disedari ialah wang tersebut untuk kegunaan bulan Julai. Maka, dicadangkan wang itu digunakan segera untuk melunaskan perbelanjaan wajib bulanan bagi bulan Julai, seperti pinjaman kereta, hutang kad kredit, PTPTN, yuran tadika anak, ansuran rumah dan seumpamanya.

Amalkan bersedekah

Keberkatan dan hikmah bersedekah ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Banyak nas dan kisah yang kerap dikongsikan berkaitan fadhilat sedekah. Cuma, perlu berhati-hati menetapkan niat agar amalan sedekah bukan hanya dilakukan untuk mengharapkan duit sendiri bertambah. Dapat kawan yang baik dan dimudahkan urusan harian pun satu bentuk rezeki.

Bayangkan gaji habis dan terpaksa pinjam

Ini satu pendekatan psikologi yang juga dikatakan sesuai diamalkan untuk menghadapi keadaan ini. Dalam hal ini, cuba bayangkan betapa sukarnya keadaan apabila gaji tinggal sedikit untuk melalui beberapa hari atau minggu nanti.
Bayangkan kita terpaksa meminjam daripada kawan atau ibu bapa, atau menambah hutang yang sedia menimbun. Bayangkan kata-kata ibu atau ayah menyindir kita dengan kata-kata pedas lagi menyentap rasa apabila kita meminta wang daripada mereka.

Cara simpan duit gaji, buat 2-3 kerja

Ini dikatakan strategi jangka panjang. Ramai pakar kewangan yang mengesyorkan strategi ini – menambah pendapatan untuk kelangsungan hidup atau kestabilan kewangan. Dalam bahasa yang canggih sedikit, disebut sebagai strategi ofensif.

Ringkasnya, selain berjimat atau mengurangkan perbelanjaan, seseorang perlu usahakan program menambah pendapatan, misalnya melalui jualan ‘dropship’, masakan dari rumah, menjual barangan terpakai, berniaga pasar malam, memandu Grab, dan sebagainya.

Ada juga yang disebut pendapatan pasif – melalui pelaburan unit amanah, pelaburan hartanah, pelaburan emas, dan sebagainya. Yang penting, jangan sampai tejerat dengan ‘scammer’ dan kerja sambilan yang dijalankan tidak menjejaskan kerja hakiki di pejabat.

Kira dengan tepat, jangan anggarkan

Ramai juga dalam kalangan kita yang hanya membuat anggaran apabila membuat perancangan kewangan. Kata mereka, perbelanjaan bulanan itu suatu yang rutin, dan tidak perlu ditulis terperinci. Tulis dengan jelas angka-angka perbelanjaan dan pendapatan pada sekeping kertas. Ia membantu kita melihat keadaan kewangan kita dengan jelas. Ini menguatkan azam serta iltizam kita untuk berusaha dengan lebih bijak atau lebih gigih dan bukan hanya berserah pada takdir.

Disiplinkan diri

Apa pun tip atau panduan yang diberikan, jika tiada disiplin diri, seseorang akan gagal dalam apa yang dirangka. Pelan yang dirancang mesti dilaksanakan.

 

Akhir kalam

Begitulah konsep tawakkal sepertimana yang dituntut dalam agama. Sekali sekala tersasar dari perancangan, itu lumrah. Teruskan memperbetulkan kembali rutin harian dengan sentiasa berdoa dan sentiasa melakukan senarai semak.

Dengan izinNya, segala kesulitan akan dipermudahkan.

Semoga bermanfaat.

1 thought on “Cara Simpan Duit Gaji Rendah (Ikut Jadual & Masuk Tabung)”

Leave a Comment