Cara Menyusukan Bayi Baru Lahir (Selepas Bersalin)

Bagi sesetengah individu, mungkin akan ada yang menganggap bahawa menyusukan bayi merupakan satu perkara yang mudah untuk dilakukan. Namun hakikatnya, cara menyusukan bayi dengan susu badan bukanlah sesuatu yang mudah.

Ia boleh dianggap sebagai satu perkara yang sukar khususnya bagi individu yang pertama kali bergelar ibu.

Malahan jika kaedah atau teknik yang digunakan tidak sesuai atau betul, ia mungkin akan menyebabkan wujudnya kesakitan pada bahagian puting ibu. Jadi adakah terdapat cara menyusukan bayi dengan betul?

Langkau artikel ini jika anda sudah tahu cara menyusukan baby dengan betul, namun masih lagi tidak tahu cara sendawakan bayi.

 

Fahami dulu teknik lekapan yang betul

Untuk mengetahui cara menyusukan bayi yang betul, ibu perlu memahami teknik lekapan atau latch on yang tepat. Teknik ini merangkumi kedua-dua puting dan kawasan sekitar areola. Umumnya areola akan menjadi sedikit gelap semasa anda sedang hamil dan perubahan ini berlaku sebagai petunjuk kepada bayi kawasan yang perlu dihisap untuk memperolehi susu.

Cara melakukan teknik ini adalah dengan meletakkan bayi anda pada sebelah tangan dalam keadaan posisi yang betul dan selesa. Pegangkan payudara dengan tangan yang sebelah lagi dan suakan puting kepada bayi secara perlahan. Halakan puting ke arah mulut si kecil dan masukkan puting secara perlahan-lahan ke dalam mulut bayi.

Teknik lekapan atau latch on yang betul apabila kedudukan hujung hidung dan dagu bayi yang bersentuhan dengan payudara anda. Bibir si kecil juga perlu berada dalam keadaan selesa ketika menyusu, bukannya seakan terpaksa.

Mendapatkan teknik lekapan yang betul mungkin agak sukar untuk dilakukan, tetapi ia adalah penting dalam teknik dan cara menyusukan bayi.

Ini kerana jika anda tidak mendapat teknik lekapan yang tepat, si kecil mungkin tidak mendapat jumlah kuantiti susu yang mencukupi untuk tumbesaran. Selain itu, puting anda juga akan berisiko untuk mudah terluka ketika proses penyusuan dilakukan.

Cara menyusukan bayi

Selain mengetahui teknik lekapan yang betul ketika proses memberikan bayi susu, berikut dikongsikan beberapa tip cara menyusukan bayi yang perlu diketahui. Ini terutama bagi individu yang pertama kali bergelar ibu dan masih belum mempunyai pengalaman dalam melakukan proses penyusuan ini.

 

Cari posisi menyusu yang selesa

Ia adalah satu perkara yang normal jika pada hari pertama anda menyusukan si kecil dan susu yang terhasil tidak begitu banyak. Ini kerana dalam susu ibu ada tiga jenis susu, iaitu kolostrum dan susu matang yang terbahagi kepada dua; hindmilk dan foremilk.

Kolostrum adalah susu yang terhasil sehingga hari ketiga atau keempat selepas kelahiran bayi. Ia biasanya dihasilkan dalam jumlah yang sangat sedikit, sesuai dengan saiz perut bayi yang kecil selepas dilahirkan. Kolostrum adalah jenis susu ibu yang mempunyai manfaat baik dan kaya dengan protein, karbohidrat, vitamin serta mineral. Jadi usah risau mengenai kuantitinya, okay?

Sebaliknya apa yang perkara yang perlu dipertimbangkan adalah mengenai posisi terbaik sebagai cara menyusukan bayi. Pastinya, pada peringkat awal, anda akan mengalami rasa kekok untuk memegang dan menyusukan bayi.

Tetapi jangan putus asa. Cuba untuk mencari posisi penyusuan badan yang boleh memberikan anda keselesaan dengan melakukan bereksperimen dan mencuba pelbagai jenis posisi. Antara jenis posisi yang ada seperti rugby hold, cradle hold, sit hold, biological hold dan lying hold.

Namun berikut merupakan antara dua cara penyusuan bayi yang paling sering dilakukan oleh kebanyakan ibu, iaitu:

 

Posisi Cradle hold

Merupakan posisi paling popular dan sering digunakan oleh ibu sebagai cara menyusukan bayi. Untuk melakukan cara ini, ibu hanya perlu mendukung bayi dan memastikan hidung bayi adalah bertentangan dengan puting payudara. Berikan sokongan pada bahagian belakang bayi, kemudian rapatkan perut bayi kepada perut anda sebelum bayi mula menyusu.

 

Posisi Lying hold

Posisi menyusu sambil berbaring turut merupakan antara posisi penyusuan yang popular dalam kalangan ibu-ibu yang menyusukan bayi. Ini kerana ia dikatakan sebagai satu posisi yang paling memberikan keselesaan, khususnya bagi penyusuan pada waktu malam.

Malahan posisi jenis ini juga dikatakan dapat menjadikan proses penyusuan anak menjadi senang. Dalam keadaan posisi ini, ibu dan bayi sama-sama boleh berbaring. Anda boleh menggunakan bantal sebagai sokongan pada bahagian belakang atau di celaghan kaki anda untuk memberikan lebih keselesaan.

Jika bayi masih tak mahu menyusu, bertenang. Jangan sampai sakit kepala pula.

 

Pakai pakaian selesa semasa menyusukan bayi

Salah satu tip cara menyusukan bayi adalah dengan memakai pakaian yang dapat memberikan keselesaan kepada anda. Ini kerana secara umumnya, tempoh biasa untuk bayi menyusu boleh mencecah 40 minit. Jadi bayangkan kalau pakaian yang anda pakai ketat dan material yang panas, sudah tentu ia akan menyebabkan anda menjadi tidak selesa ketika menyusukan si kecil.

Selain memakai pakaian yang selesa, anda disarankan untuk mencari tempat yang duduk yang turut dapat memberikan keselesaan kepada anda. Di samping itu, memilih untuk memakai bra menyusu khas sudah tentu akan dapat memudahkan prosedur penyusuan si kecil.

 

Kenalpasti tanda bayi lapar

Sebenarnya apabila bayi mula menangis, ibu akan menjadi gelabah dan keadaan ini boleh mendorong berlakunya posisi penyusuan yang tidak menyelesakan. Malahan ia juga boleh menyebabkan puting ibu untuk melecet.

Jadi cara yang terbaik adalah untuk mengenal pasti tanda bayi anda lapar supaya anda akan dapat menyusukan si kecil dalam keadaan yang lebih tenang. Oleh itu adalah penting untuk ibu-ibu sekalian untuk memerhatikan sebarang tanda pada pergerakan bayi yang menandakan si kecil lapar.

Antara tanda yang boleh dikenal pasti seperti:

 

Tanda awal yang menunjukkan si kecil lapar:

  • Mula menggerakan badan
  • Mengangakan mulut
  • Menoleh kiri dan kanan, untuk mencari puting

 

Tanda pertengahan yang menunjukkan si kecil benar-benar lapar:

  • Meregangkan badan
  • Meningkatkan pergerakan badan
  • Memasukkan tangan ke mulut

Jika sudah tahu bayi lapar, terus ikuti cara menyusukan bayi yang kami kongsikan tadi.

Tanda terakhir yang menunjukkan si kecil mahu ditenangkan dan disusukan

  • Bayi mula menangis
  • Terlalu banyak pergerakan melibatkan tangan dan kaki serta badan
  • Muka bayi mula bertukar kemerahan

 

Pada ketika bayi berada dalam keadaan mahu ditenangkan, sebaiknya anda tidak terus menyusukan bayi, sebaliknya berikan bayi anda pelukan dan rapatkan si kecil kepada anda. Apabila bayi mula tenang, barulah memulakan proses penyusuan. Ini bagi membantu bayi untuk mendapatkan teknik lekapan yang betul.

 

Jangan kelirukan bayi dengan puting botol

Jika anda merupakan ibu yang bekerja, tempoh yang terbaik untuk melatih dan membiasakan bayi menggunakan puting tiruan atau botol susu adalah pada ketika si kecil berusia antara empat hingga enam minggu, atau paling tidak dua minggu sebelum anda mula bekerja.

Sekiranya anda memperkenalkan botol susu terlalu awal, adalah menjadi kebimbangan si kecil akan keliru terhadap puting. Adakalanya, ia mungkin akan menyebabkan bayi langsung tidak mahu menyusukan secara terus dari badan.

 

Akhir kalam

Sebenarnya untuk mendapatkan cara penyusuan yang terbaik dan selesa adalah dengan mencuba, atau bak kata orang putih, try and error, ini kerana setiap bayi adalah berbeza.

Walau bagaimanapun, bagi ibu yang melahirkan bayi secara pembedahan atau caesarean, anda disarankan untuk melakukan cara penyusuan bayi dengan menggunakan posisi berbaring. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda dalam proses menyusukan bayi anda.

Jika masih ragu-ragu dan tidak pasti, boleh sertai kumpulan sokongan penyusuan ibu dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Boleh lawati: https://nutrition.moh.gov.my/promosi-penyusuan-susu-ibu/

Selamat mencuba cara menyusukan bayi yang kami kongsikan ini. Semoga anak-anak kita kenyang dengan susu yang kita berikan pada dia. Dan semoga ada keberkatan pada dia.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment