Punca Sakit Kepala (Dengan Doa & Cara Hilangkan Sakit Kepala)

“Anda ingat saya ada masa untuk sakit kepala?”. Pasti ramai yang ingat babak dalam salah satu iklan ubat sakit kepala ini. Sememangnya sakit kepala boleh menjejaskan tugasan harian anda. Tetapi adakah punca sakit kepala itu semuanya sama?

Izinkan kami berkongsi mengenainya dengan lebih lanjut.

Punca sakit kepala

Umumnya, sakit kepala boleh dibahagikan kepada beberapa jenis dan punca yang berbeza. Antaranya adalah seperti:

Cluster

Dikatakan antara sakit kepala yang paling teruk. Anda mungkin alami rasa seperti terbakar atau kesakitan yang teramat pada bahagian belakang atau sekitar mata. Mungkin muncul rasa berdenyut yang berterusan.

 

Jika kesakitan dialami adalah sangat teruk, individu yang diserang sakit kepala ini tidak boleh duduk diam. Pada bahagian kepala yang sakit, kelopak mata akan jatuh, mata merah, anak mata menjadi kecil atau mungkin mengalirkan air mata. Hidung pada bahagian yang sakit juga mungkin akan tersumbat atau mengalir mukus.

 

Ketegangan

Sakit kepala jenis ketegangan atau tension headaches adalah antara yang paling biasa dalam kalangan individu dewasa dan remaja.

Terjadi dicetuskan oleh tekanan yang dihadapi. Biasanya akan menyebabkan kesakitan ringan sehingga sederhana dan selalunya ia berlaku tanpa sebarang simptom.

 

Punca sakit kepala kerana hormon

Kebiasaannya dialami oleh wanita kerana perubahan hormon.

Menstruasi, pil kawalan kehamilan dan kehamilan serta menopaus memberikan kesan kepada paras estrogen, boleh menyebabkan sakit kepala.

 

Migrain

Sering digambarkan sebagai rasa sakit yang berdenyut yang kuat pada bahagian dalam kepala dan biasanya terjadi pada satu sisi / sebelah bahagian kepala.

Ia boleh berlangsung selama 4 jam sehingga ke 3 hari dan kebiasaannya berlaku sekali ke 4 kali sebulan.

Jika kesakitan yang dialami terlampau teruk, ia boleh menjejaskan keupayaan untuk menjalankan rutin harian.

Selain kesakitan yang dirasai, individu yang menghidapi migrain akan menjadi lebih sensitif terhadap cahaya, bunyi bunyi, atau bau; loya dan muntah, hilang selera makan, rasa sakit perut atau perut menjadi tidak selesa.

 

Sakit kepala sebab kerap bersenam

Apabila anda bergerak aktif, otot pada bahagian kepala, leher dan kulit kepala memerlukan lebih banyak darah, dan pembuluh darah anda mungkin hadapi masalah untuk membekalkannya.

Hasilnya ia menyebabkan sakit kepala pada kedua-dua bahagian kepala yang mungkin berlangsung dari 5 minit ke 48 jam.

 

Harian kronik

Mengalami sakit kepala ini selama 15 hari atau lebih sebulan untuk selama 3 bulan. Setiap kali serangan sakit kepala, ada yang berlangsung untuk tempoh yang pendek dan ada yang lebih dari 4 jam. Jika anda alami masalah sakit kepala ini, anda mungkin cenderung hadapi masalah kemurungan, kegelisahan, gangguan tidur dan masalah psikologi dan fizikal lain.

 

Sakit kepala selepas trauma

Sakit kepala selepas trauma ini berlaku selepas 2-3 hari selepas kecederaan kepala. Anda akan merasa simptom seperti:

  • Rasa sakit pada kepala yang semakin hari semakin teruk
  • Alami kesukaran untuk menumpukan perhatian
  • Alami masalah ingatan
  • Cepat keletihan
  • Kerengsaan

 

Punca sakit kepala ialah kafein

Sakit kepala kafein berlaku kerana pengambilan kafein juga boleh menjejaskan aliran darah ke otak dan menyebabkan anda alami sakit kepala.

Individu yang alami migrain cenderung hidapi sakit kepala akibat penggunaan kafein.

 

Sinus atau alahan

Apabila menghadapi sakit kepala sinus, anda akan merasai rasa sakit yang mendalam dan berterusan pada bahagian tulang hidung, dahi dan bahagian depan kepala. Masalah ini berlaku apabila, rongga pada bahagian kepala – sinus – alami keradangan. Adakalanya ia berlaku disebabkan reaksi alahan.

 

Rebound

Sakit kepala rebound, juga turut dikenali sebagai sakit kepala pengambilan ubatan berlebihan.

Individu yang diserang sakit kepala ini akan merasakan sakit kepala jenis ketegangan atau mungkin merasa lebih sakit seperti sakit kepala migrain.

 

Jadi banyak sebenarnya jenis sakit kepala ini, bukan?

Cara yang biasa dilakukan untuk merawat sakit kepala adalah dengan memakan ubat.

Tetapi ada ke cara lain untuk mengatasi sakit kepala tanpa pengambilan ubatan?

 

Sakit kepala di bahagian tertentu

Ada orang yang mengalami sakit kepala hanya di satu-satu tempat sahaja. Apa maksudnya?

 

Sakit kepala sebelah kanan

Ramai orang mengalami sakit kepala di sebelah kanan kepala mereka. Maksudnya, bukan kedua-dua belah. Hanya bahagian sebelah kanan sahaja.

Kesakitan boleh disertai dengan gejala lain, termasuk keletihan, mual, dan gangguan visual.

Menurut MedicalNewsToday, sakit kepala sebelah kanan mungkin berkaitan dengan neurologi. Dalam bahasa mudah, berkaitan dengan otak.

Namun, janganlah menggelabah dan berfikiran bukan-bukan.

Jumpa dahulu doktor untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

 

Sakit kepala sebelah kiri

Ramai juga orang yang mengalami sakit kepala di sebelah kiri kepala mereka. Maksudnya, bukan kedua-dua belah. Hanya bahagian sebelah kiri sahaja.

Menurut MedicalNewsToday, kebanyakan punca sakit kepala sebelah kiri ialah yang biasa-biasa sahaja, tidak serius dan mudah untuk dirawat.

Namun, janganlah biarkah ia berlarutan.

Jumpa dahulu doktor untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.

 

Sakit kepala bahagian belakang

Apa yang menyebabkan sakit di bahagian belakang kepala?

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan sakit kepala yang berlaku di bahagian belakang kepala.

Dalam kebanyakan kes, sakit kepala di bahagian belakang ini selalunya adalah tanda yang menunjukkan bahagian badan yang lain.

Dan juga, sakit kepala bahagian belakang juga adalah disebabkan oleh sesuatu perkara yang lain. Maknanya ia bukan sakit begitu sahaja. Ada benda lain yang menyebabkan sakit belakang kepala.

Jemput baca di Healthline untuk baca lebih lanjut.

Yang terbaik, terus jumpa doktor untuk penerangan yang lebih mendalam.

 

Cara hilangkan sakit kepala

Pengambilan ubatan secara berlebihan sememangnya tidak bagus untuk kesihatan.

Jadi berikut adalah beberapa kaedah yang boleh dicuba bagi membantu mengurangkan sakit kepala anda.

 

Kurangkan tekanan pada kulit kepala

Ikatan rambut yang terlalu ketat juga boleh menyebabkan sakit kepala.

Kesakitan akibat tekanan dari luar seperti memakai topi, ikatan kepala (headband) atau pemakaian goggle yang terlalu ketat juga boleh menyumbang kepada sakit kepala.

Jika anda bertudung, buka sebentar tudung anda untuk memberikan pengudaraan kepada kepala anda.

 

Lampu malap

Cahaya yang terlalu terang, berkelip, walaupun dari skrin komputer, boleh menyebabkan sakit kepala dan migrain. Jika boleh elakkan daripada terdedah kepada cahaya ketika sakit kepala.

 

Elakkan mengunyah

Gula-gula getah boleh menyebabkan kesakitan bukan sahaja pada rahang, tetapi juga pada kepala anda.

 

Urutan

Cuba lakukan dengan sendiri urutan dengan mengurut leher secara perlahan untuk meredakan ketegangan yang mungkin timbul akibat tekanan.

 

Pek ais

Cuba letakkan pek sejuk pada dahi anda jika anda mengalami migrain.

Anda mungkin boleh menggunakan ketulan ais yang dibalut tuala, atau sebungkus kacang pea beku dan pastikan anda menekapnya pada kepala anda selama 15 minit, kemudian berehat selama 15 minit.

Cara lain mandi dengan air sejuk untuk mengurangkan kesakitan.

 

Pad pemanas

Sakit kepala akibat tekanan boleh diatasi dengan meletakkan pad pemanas pada leher atau bahagian belakang kepala anda.

Untuk sakit kepala sinus, tekapkan kain suam di kawasan yang sakit. Mandian air panas juga dalam mengurangkan kesakitan yang anda hadapi.

 

Halia

Terdapat kajian yang menunjukkan pengambilan halia, sebagai tambahan kepada ubatan klinikal, dapat mengurangkan kesakitan kepala.

Dapatkan  suplemen yang mengandungi halia atau letak ia sebagai tambahan dalam minuman teh anda.

 

Kafein

Minum sedikit teh, kopi atau apa saja yang mempunyai kandungan kafein yang sedikit. Ia boleh mengurangkan sakit kepala anda.

 

Ketenangan

Tidak kira apa pilihan anda, sama ada regangan badan, yoga, meditasi atau regangan otot progresif, pastikan anda tahu bagaimana untuk kekal bertenang apabila diserang sakit kepala.

 

Doa sakit kepala

Berikut ialah doa sakit kepala yang diambil dari Surah Al-Waqiah, ayat 19.

Jika segala macam petua sudah cuba dan masih lagi sakit kepala, apa kata yakin dengan ayat-ayat Allah. Bukankah Al-Quran itu juga satu jalan penyembuh?

Semoga dipermudahkan.

Doa sakit kepala

Doa sakit kepala

 

Infografik dari Kementerian Kesihatan Malaysia

Berikut ialah infografik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang ada di Facebook rasmi.

Sakit kepala

 

Akhir kalam

Kaedah yang dikongsikan di atas mungkin tidak berkesan kepada anda, tetapi berkesan kepada individu lain.

Jika sakit kepala yang anda alami semakin serius, sebaiknya jangan cuba merawat kesakitan anda sendiri. Dapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor adalah cara yang terbaik.

Jemput baca tentang punca sakit tumit pula.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment