Cara Memohon Kerja Melalui Email (Berserta Contoh)

Adakah anda sedang dalam usaha untuk mencari pekerjaan? Hantar resume melalui pos surat biasa pastinya merupakan satu cara yang agak klasik. Jadi dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi, mengapa tidak anda menghantar resume melalui email? Izinkan kami berkongsi serba sedikit mengenai cara memohon kerja melalui email yang betul.

Permohonan kerja melalui email

Apa itu email? Email adalah singkatan perkataan daripada ‘mail elektronik’. Ia berfungsi sama seperti surat, apa yang membezakan ia dihantar melalui internet kepada penerima. Anda memerlukan alamat email untuk menerima email, dan alamat itu adalah unik kepada penggunanya.

Sesetengah individu menggunakan aplikasi elektronik seperti telefon pintar atau tablet dan terdapat juga yang menggunakan komputer yang mempunyai akses internet serta beberapa aplikasi yang membolehkan mereka mengakses dan menyimpan email.

Pada masa kini, kebanyakan majikan lebih gemar membuat pemilihan awal untuk mencari pekerja baru melalui email. Jadi adalah penting untuk anda mengetahui cara yang betul tentang bagaimana cara untuk menghantar permohonan pekerjaan melalui email.

Cara memohon kerja melalui email

Berikut adalah beberapa perkara penting yang harus anda ambil perhatian sekiranya anda ingin melakukan permohonan pekerjaan melalui email:

Guna email profesional untuk memohon kerja

Sebaiknya pastikan alamat email yang digunakan tidak kelihatan terlalu kebudak-budakan atau tidak profesional. Sebagai contoh, seperti [email protected]atau [email protected]. Email yang sebegini akan menggambarkan anda seperti tidak profesional dan lebih malang lagi jika majikan tempat anda membuat permohonan pekerjaan menganggap anda tidak matang.

Sebaiknya anda boleh gunakan nama sendiri untuk tampak lebih profesional. Seperti [email protected]atau sekiranya anda ingin menggunakan penambahan nombor atau sebarang simbol lain, contohnya seperti [email protected].

Tulis subjek email permohonan kerja dengan betul

Perkara ini seringkali dipandang remeh dalam usaha mohon kerja melalui email.

Malahan, kebanyakan pemohon pekerjaan adakalanya langsung membiarkan ruangan subjek ini kosong. Sedarkah anda bahawa sesebuah syarikat itu menerima ratusan email dalam sehari, bukan hanya email dari anda seorang? Jika anda sedar, maka jangan biarkan ruangan ini kosong.

Pastikan anda mengisi ruangan ini dengan tepat dan padat. Contoh penulisan subjek yang baik adalah seperti “Permohonan kerja untuk ….. (isikan nama jawatan yang ingin anda pohon). Percayalah, apa yang anda lakukan ini pastinya memudahkan dan membantu pihak majikan untuk mengenal pasti tujuan email tersebut dihantar kepada mereka. Paling penting, ia juga membantu agar email yang anda hantar dan dilihat oleh pihak yang berkenaan.

 

Siapkan resume dalam .pdf

Apabila anda perlu melampirkan bersama sebarang dokumen seperti resume atau salinan sijil, pastikan anda telah menukar segala dokumen terbabit kepada format PDF, kecuali pihak majikan yang anda pohon ada mengatakan sebaliknya atau sebarang format tertentu.

Namakan dokumen tersebut dengan nama yang bersesuai dan memudahkan pencarian pihak majikan, sebagai contoh, ahmadamranResume.pdf, ahmadamranSijilDiploma.pdf dan seterusnya.

 

Buat cover letter yang menarik untuk memohon kerja

Membuat permohonan melalui email merupakan satu kaedah yang memudahkan semua pihak, sama ada pihak majikan mahupun pihak yang memohon pekerjaan. Tetapi, janganlah apabila sudah diberikan kemudahan, anda mengambil mudah segala aspek.

Seandainya anda membuat permohonan melalui email, dalam ruangan ‘body message’ anda boleh menulis ‘cover letter’ yang bersesuaian.

Contoh email minta kerja

Berikut ialah contoh email mohon kerja dalam Bahasa Melayu yang boleh dijadikan panduan. Untuk dalam English, boleh rujuk cleverism.com

Salam Sejahtera,

Tuan/Puan,

Perkara: Permohonan Jawatan Pembantu Pentadbiran

Merujuk perkara di atas, saya Ahmad Amran Faiz, berminat untuk mengisi kekosongan jawatan Pembantu Pentadbiran di syarikat Quest Publishing Sdn Bhd. Saya mengetahui mengenai kekosongan jawatan ini dari carian internet.

Untuk maklumat pihak tuan/puan, saya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Pentadbiran Sumber Manusia dari UiTM dan Diploma Komunikasi dari KUIS.

Saya boleh dihubungi melalui telefon +60123456789 atau melalui email untuk sebarang maklum balas mahupun pertanyaan daripada pihak Tuan/Puan Di sini saya sertakan resume dan salinan sijil saya untuk pemerhatian pihak Tuan/Puan.

Segala kerjasama daripada pihak Tuan/Puan, amatlah saya hargai.

Sekian, terima kasih.

Dalam ruangan ini boleh mengisinya dengan penjelasan mengenai tujuan email dihantar, pengenalan diri yang ringkas seperti di mana anda belajar, pengalaman pekerjaan jika ada, serta cuba untuk menaikkan pasaran diri anda dengan kelebihan yang anda miliki.

Pada saat berusaha dengan memohon kerja melalui email ini, apa yang anda tulis adalah bertujuan untuk menaikkan diri anda dalam bersaing bersama calon-calon lain yang turut memohon jawatan ini. Tetapi apa yang penting, pastikan segala maklumat yang diberikan adalah benar dan tepat. Jangan sampai menipu pula!

 

Periksa ejaan sebelum tekan Send

Kesalahan ejaan atau penggunaan huruf besar dan kecil haruslah dielakkan.

Jadi bagi memastikan kesilapan seperti ini tidak berlaku, anda dinasihatkan untuk membaca lebih dari sekali tentang apa yang anda tulis dalam email tersebut.

Periksa segala ejaan, penggunaan tatabahasa, huruf kecil atau besar dan segala dokumen yang dilampirkan adalah dalam keadaan yang baik, menepati apa yang diperlukan dan terhindar daripada kesilapan.

 

Kesilapan dalam memohon kerja melalui email

Ada beberapa perkara yang anda perlu elakkan untuk memohon pekerjaan menerusi email antaranya :

  • Jangan hantar email tanpa format dan perenggan yang kemas – kandungan email perlulah mengandungi perenggan dan susunan yang jelas.
  • Jangan hantar sesuka hati tanpa mengikut format yang diberi, jika diberikan sebarang format.
  • Jangan terus lampirkan resume atausebarang dokumen ke alamat email yang diberi tanpa memaklumkan kepada pihak majikan. Ada masanya terdapat pemohon yang tidak menulis apa pun mengenai kandungan lampiran dan lebih malang lagi jika pihak majikan tidak menyedari mengenai lampiran yang tersedia.
  • Jika diarahkan menghantar resume melalui email, pastikan email yang dihantar tetap mengandungi ‘body message’ menyatakan hasrat anda untuk memohon pekerjaan.
  • Elakkan membuat sebarang rayuan menerusi email. Tunjukkan kematangan anda kepada pihak majikan. Percayalah jika sudah rezeki, pasti anda akan mendapat pekerjaan yang anda mohon.
  • Hindari dari menghantar sebarang dokumen yang bersaiz terlalu besar.

 

Akhir kalam

Diharapkan perkongsian tip di atas dapat memberikan anda gambaran bagaimana cara yang betul untuk membuat memohon kerja melalui email.

Bila sudah dapat kerja nanti, kerja elok-elok.

Semoga bermanfaat.

4 thoughts on “Cara Memohon Kerja Melalui Email (Berserta Contoh)”

  1. Assalamualaikum puan ,terima kasih share ilmu yang bermanfaat ini .semoga puan dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang sihat selalu .

    Reply
  2. Assalamualaikum, izinkan saya bertanya resume yang sebaiknya kita email bagi memohon jawatan dalam sektor kerajaan (personal mySTEP) dalam bahasa inggeris atau bahasa melayu? jika resume dalam bahasa inggeris, adakah “cover letter” turut sama dalam bahasa inggeris?

    Reply

Leave a Comment