Cara Jana Pendapatan Sampingan Tanpa Modal (Online & Dari Rumah)

Penulisan kali ini akan berkongsi dengan para pembaca yang budiman tentang cara jana pendapatan sampingan tanpa perlu keluarkan modal. Malah, mungkin ini juga cara untuk meraih pendapatan utama untuk para suri rumah, pesara dan pelajar universiti.

Diharapkan penulisan ini dapat membantu mereka yang sedang mencari idea untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Ini hanyalah panduan untuk memberi buah fikiran yang mungkin selama ini tak pernah terlintas di minda anda.

Jika hendak tambah pendapatan, ada 2 cara yang boleh dilakukan iaitu menggunakan medium online (dalam talian) dan dari rumah iaitu offline (di luar talian). Malah, ada antara pekerjaan tersebut boleh dilakukan menggunakan kombinasi kedua-dua cara ini. Terpulanglah kepada para pembaca untuk mendapatkan pendapatan lebih dengan cara terbaik.

Cara jana pendapatan sampingan

Jana income secara online

Modal yang diperlukan hanyalah telefon bimbit, Internet, masa dan modal minimum (mungkin minyak kereta, kos bahan dan sebagainya). Jika ada komputer, tablet atau komputer riba juga sudah cukup membantu.

Daripada layan Instagram, Twitter dan Facebook saban waktu, boleh juga kita mencari pendapatan sampingan. Sambil bersosial ada juga faedahnya kan? Nanti, jangan pula disalahkan teknologi kerana kealpaan kita.

Jom semak kerja yang boleh dilakukan secara online:

 

1. Agen dropship

Cara jana pendapatan sampingan yang pertama adalah dropship. Dropship ialah orang tengah yang membantu bisnes online milik sesebuah syarikat atau individu lain. Bisnes ini tidak memerlukan anda mengeluarkan modal (atau mungkin modal minima) dan tak perlu simpan stok barang.

Anda hanya perlu dapatkan gambar dan maklumat terperinci tentang barang tersebut daripada pembekal. Malah, anda bertanggungjawab mempromosikan barang tersebut di laman sosial, blog, dan sebagainya.

Jika ada pembeli yang berminat, anda hanya perlu memberi maklumat yang diperlukan. Misalnya, jika anda dropship pakaian wanita, anda perlu beri maklumat seperti saiz, material kain, harga dan sebagainya.

Urusan pembungkusan dan pengeposan akan dilakukan oleh pembekal. Anda akan menerima komisyen bagi setiap pembelian.

 

2. Penjual produk preloved

Preloved bermaksud barang yang pernah disayangi dan kini hendak dijual secara second hand (bertukar tangan). Paling mudah nampak orang jual produk preloved ini di Mudah.my, Carousell, Facebook dan Instagram.

Namun, bukan semua barang boleh dijual sebagai preloved. Anda perlu tahu nilai produk tersebut, kemahuan pembeli, nilai jual beli dan sebagainya.

Antara produk yang paling laku untuk preloved ialah pakaian (tudung, baju dan seluar), kasut, beg dan sebagainya. Malahan, barang elektronik juga mempunyai permintaan yang tinggi seperti telefon bimbit, komputer dan sebagainya.

Barang preloved bermaksud barang tersebut hanya pernah digunakan sekali atau pun sudah banyak kali. Harga yang ditawarkan mungkin lebih rendah jika sudah banyak kali digunakan.

Malahan, ada juga yang menjual barang yang langsung tidak pernah diguna. Harganya sudah tentu lebih tinggi, namun berlaku susut nilai berbanding harga asal. Misalnya tudung preloved jenama Duck, Ariani dan Naelofar mempunyai peminat yang tersendiri.

 

3. Personal shopper

Cara jana pendapatan sampingan yang ketiga adalah menjadi personal shopper. Personal shopper ialah pembeli peribadi. Kalau anda seorang kaki membeli-belah, kerja ini memang sesuai untuk anda. Iklankan perkhidmatan anda ini di laman sosial, percayalah anda akan mendapat pelanggan dalam jangka masa pendek.

Maksudnya, personal shopper menawarkan perkhidmatan berbayar yang membantu para pelanggan mendapatkan barangan yang diingini. Mereka akan mencarikan barang tersebut, memberi maklumat produk sehinggalah proses pengeposan.

Misalnya, jika anda penggemar barangan kristal jenama Swarovski, sudah tentu harganya melambung di Malaysia. Jika ada personal shopper yang mungkin seorang pelajar di United Kingdom, mereka boleh dapatkan dengan harga yang jauh lebih murah.

 

4. Jurusolek peribadi

Anda pandai menyolek? Ada bakat terpendam? Rajinkan diri menghadiri kelas berbayar dan juga percuma untuk tambah ilmu. Mana tahu boleh jadi Makeup Artist (MUA).

Jika dulu, pengantin perempuan tidak begitu menekankan faktor solekan untuk majlis perkahwinan. Yelah, masa itu mana ada Sephora dan kaunter-kaunter produk kosmetik seperti sekarang. Kini, citarasa kaum wanita juga sudah mula berubah.

Hendak pergi majlis makan malam atau menghadiri jamuan pun sanggup bayar untuk solekan. Di sinilah anda boleh gunakan perkhidmatan anda itu.

Caranya, siarkan hasil solekan di wajah anda atau beberapa pelanggan di Facebook atau Instagram. Tunjukkan juga contoh solekan untuk majlis nikah, tunang, sanding dan sebagainya dengan pelbagai teknik yang moden dan terkini.

 

5. Jual makanan

Cara jana pendapatan sampingan yang kelima adalah menjual makanan. Ini cara paling mudah untuk raih pendapatan sampingan. Manusia tidak akan jemu perkara yang satu ini. Jika anda mempunyai hobi dalam memasak pelbagai jenis lauk, buat kek, biskut dan sebagainya, ini untuk anda.

Jika menepati selera pelanggan, walau mahal macam manapun, pasti akan dicari. Elakkan menjual makanan yang sudah sering dijual seperti nasi ayam penyet, nasi ayam, kek marble, kek keju dan sebagainya. Buat sedikit kelainan.

Cari idea yang unik misalnya jual popia Vietnam dengan pelbagai pilihan inti. Boleh juga hasilkan makanan luar negara dengan citarasa tempatan. Pastinya, anda akan tersenyum lebar nanti.

 

6. Pengulas produk

Anda hanya perlu buat ‘review’ di laman sosial misalnya di Instagram dan Facebook. Namun, ada satu syarat utama. Anda perlu ‘glamour’ dan mempunyai pengikut berjumlah puluhan ribu ke atas.

Apabila anda mempunyai jumlah pengikut yang tinggi, mereka seakan-akan mengikuti apa sahaja aktiviti anda. Ini boleh dijadikan platform untuk ‘review’ produk syarikat lain tak kiralah makanan, pakaian dan sebagainya.

Jika menjadi pengulas yang mampu menarik dan mempengaruhi para pengikut, janganlah salah gunakan keyakinan yang diberi. Berikan ulasan yang jujur dan tepat. Jika tidak mahu mencuba produk tersebut, seeloknya tolak dengan baik. Jangan menipu para pengikut tau. Yang menariknya, sudahlah dapat barang percuma, hanya dengan buat ulasan duit pun dapat.

 

7. Jual kraftangan

Cara jana pendapatan sampingan yang ketujuh adalah menjual kraftangan. Anda berbakat dalam melukis atau menghasilkan kraftangan seperti gubahan bunga, hiasan barangan terpakai atau buat decoupage? Ah, apa lagi! Ayuh bertindak segera.

Bukan semua orang diberikan anugerah seperti ini. Dengan menggunakan sedikit tenaga, masa dan kos yang murah, anda boleh menarik hati pembeli. Anda boleh tunjukkan hasil kerja di laman sosial dengan mengambil gambar yang terbaik.

Misalnya, gubahan bunga pastinya dicari-cari ketika musim perayaan. Balang biskut raya dengan hiasan decoupage pastinya buat hati wanita cair melihatnya. Jika anda pandai buat gelang manik menggunakan kristal atau mutiara, boleh juga anda iklankannya.

Jangan lupa, anda juga boleh buat kursus online atau menunjukkan cara-cara membuatnya di Youtube. Semuanya di hujung jari kan?

 

8. Jurugambar

Kalau anda memang berbakat dalam bidang fotografi tak perlu kamera digital yang mahal-mahal. Kamera telefon bimbit pun sudah memadai. Anda hanya perlukan skil dan teknik yang betul. Kamera telefon bimbit pada zaman sekarang sudah dicipta dengan teknologi yang canggih.

Mana tahu kalau gambar-gambar anda di media sosial menarik minat pihak lain untuk membelinya. Bagi yang berminat, boleh ambil gambar pemandangan yang menarik, budaya masyarakat, makanan dan sebagainya.

Anda juga boleh siarkan di Shutterstock, Photoshelter, Fotolia, DreamsTime, iStock dan sebagainya. Kalau bernasib baik, pulangan yang diterima cukup lumayan.

 

9. Penulis bebas

Cara jana pendapatan sampingan yang ke sembilan adalah menjadi penulis bebas. Kalau anda minat menjadi penulis freelance, kenapa tak mahu mencuba? Kini pekerjaan sebagai freelancer sudah mula meluas di Malaysia. Selain menjadi penulis blog, laman web dan laman sosial, anda juga boleh menjadi penulis novel.

Apa yang diperlukan bakat, konsisten dan kerajinan. Bahan bacaan fizikal seperti buku dan digital masih mendapat tempat di hati masyarakat. Di situlah gudang maklumat dan hiburan untuk kita. Jangan sia-siakan bakat yang ada.

Kami juga ada tawarkan jawatan kosong penulis sambilan.

 

Jana pendapatan secara offline

Pada zaman kini, kebanyakan pekerjaan yang dilakukan tetap memerlukan bantuan Internet untuk tujuan penyebaran, promosi dan sebagainya. Namun, ada juga pekerjaan yang sudah kukuh dari dulu lagi. Hanya perlukan bantuan mulut ke mulut sahaja.

Antaranya ialah:

 

1. Tutor

Perkhidmatan tutor atau guru tuisyen tetap diperlukan dari dulu oleh ibu bapa demi pendidikan anak-anak. Jika anda mempunyai latar belakang pendidikan yang baik, kenapa tidak mahu mencubanya?

Untuk menjadi tutor, anda tak perlu mempunyai ijazah dalam pendidikan. Cukuplah pakar dalam subjek tertentu, ada kesabaran yang tinggi, penyayang dan ingin membantu.

Aras subjek yang semakin tinggi menyebabkan tidak semua ibu bapa mampu mengajar anak-anak di rumah. Oleh itu, mereka akan menggunakan khidmat tutor persendirian atau di pusat tuisyen.

 

2. Pemandu kenderaan kongsi

Cara jana pendapatan sampingan yang kedua adalah dengan menyediakan servis kenderaan kongsi. Aplikasi e-hailing atau perkhidmatan kongsi kenderaan seperti Grab dan MyCar sudah menjadi keperluan masyarakat di Malaysia. Rata-rata penduduk bandar pastinya menggunakan servis ini.

Anda boleh pilih untuk menjadi pemandu separuh masa mahupun sepenuh masa. Waktu kerja yang fleksibel menjadi kelebihan. Bayangkan jika dalam perjalanan balik dari tempat kerja, anda boleh menjadi pemandu pula. Malah, anda boleh menerima dan menolak pelanggan mengikut syarat yang ditetapkan oleh syarikat.

Cukup target jumlah pelanggan pada hari tersebut, anda boleh terus pulang ke rumah.  Macam seronok kan?

 

3. Pemandu pelancong

Kalau anda kaki mengembara dan melancong ke serata dunia, pekerjaan ini memang cocok dengan anda. Anda boleh buat kerja ini secara separuh masa sahaja jika sudah ada kerja tetap yang lain.

Jika ada kerja lain, anda bolehlah menjadi pemandu pelancong di kawasan pelancongan yang berdekatan sahaja. Yang penting ialah anda sudah tahu selok-belok tempat itu dari segi sejarah, kebudayaan dan adat resam. Lagi pandai anda mengambil hati para pelancong, lagi tinggi tips yang akan diberikan.

 

4. Segala jenis tukang

Cara jana pendapatan sampingan yang kedua adalah dengan menyediakan servis bertukang. Jika anda boleh baiki dan membina rumah, sudah pasti anda dicari-cari oleh orang yang memerlukan khidmat anda itu. Begitu juga dengan tukang jahit dan tukang gunting.

Sememangnya bakat dalam bidang-bidang ini bukan semua orang ada. Kebanyakan ialah bakat semula jadi seperti membina rumah dan menggunting rambut. Namun, anda juga boleh mengambil kursus untuk menambah pengetahuan seperti kursus jahitan, gunting rambut, wayar dan elektrik, pemasangan paip dan banyak lagi.

 

5. Pengasuh kanak-kanak

Bagi suri rumah yang berkelapangan, mereka boleh ambil upah menjaga dan mengasuh kanak-kanak. Ibu bapa sekarang kebanyakannya bekerja. Oleh itu, mereka memerlukan orang yang boleh dipercayai untuk menjaga anak-anak mereka.

Tugas menjaga kanak-kanak lain sama seperti menjaga anak sendiri. Keselamatan mereka perlu diutamakan. Jika anda mampu menjaga kanak-kanak dengan baik, tugas ini sesuai untuk anda.

 

Akhir kalam

Senarai yang diberikan di atas ialah antara pekerjaan yang boleh dicuba untuk menambah pendapatan sampingan. Apa yang penting, kita mestilah ikhlas dan bertanggungjawab dalam menjalankan apa sahaja tugas.

Jangan pula membuat kerja yang salah di sisi undang-undang demi mencari rezeki dengan jalan yang singkat. Biar bersusah-susah dahulu, janji dapat rezeki yang berkat.

Akhir kalam, semoga penulisan ini memberi manfaat dan idea untuk para pembaca sekalian. Jika ada jenis pekerjaan yang lain, boleh juga dikongsikan dengan kami. Kami mengalu-alukan sebarang penambahan maklumat demi kebaikan bersama.

Semoga bermanfaat.

9 thoughts on “Cara Jana Pendapatan Sampingan Tanpa Modal (Online & Dari Rumah)”

Leave a Comment