Kenapa Hati Tidak Tenang (Rasa Kosong, Sunyi & Gelisah)

Pernah tak terdetik, kenapa hati rasa kosong?. Macam tidak ada apa-apa perasaan. Kadang-kadang, rasa tak tenang dan resah gelisah.

Sunyi. Jiwa kusut.

Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena, tetapi kita tak tahu kenapa.

Bagaikan ada sesuatu yang hilang; something is missing; tetapi kita tak tahu apa yang hilang itu.

Bila bercakap dengan orang sekalipun, otak ke tempat lain. Rasa tidak ada semangat. Gelap.

Adakah itu tanda hati keras?

Kami kongsikan, antara beberapa sebab, kenapa hati rasa kosong.

Hati rasa kosong sebab kena tinggal

Bukan kena tinggal bas. Ini kisah pahit, ditinggalkan oleh orang yang kita sayang.

Perkara ini, masalah yang sangat biasa dalam perhubungan dan cinta.

Pasangan perempuan ditinggalkan pasangan lelaki yang diam membisu. Ada yang dulu berstatus suami isteri, kini tidak bersama lagi akibat curang.

Bila hati tak boleh ‘move on‘, sentiasa akan terkenang-kenang perkara lalu.

Sebenarnya, tak kira lelaki atau perempuan, perlulah bersifat matang dalam perhubungan.

 

Hati tak tenang sebab terlalu banyak masalah

Apabila masalah datang bertimpa-timpa pada kita, kita akan rasa perkara lain jadi tak penting. Bayangkan seseorang itu ada masalah dalam perhubungan. Ditambah lagi dengan masalah di tempat kerja. Juga sekali dengan masalah pelajaran.

Mahu menjerit, dia bukan jenis begitu.

Jalan terakhir ialah dengan memendam rasa. Sehingga pandangan juga jadi kosong. Banyak mengelamun.

 

Hati rasa kosong kerana selalu rasa kecewa

Apa yang kita nak, kita selalu sangat tak dapat. Bila selalu jadi macam ini, syaitan akan bisikkan dalam hati supaya kita putus asa dengan Allah.

Kecewa yang macam mana, hanya diri sendiri yang tahu.

Bila ikut putus asa, mulalah kita menyalahkan takdir.

 

Hati rasa gelap kerana tiada tujuan hidup

Akibat selalu sangat menyalahkan takdir, hidup kita jadi terumbang-ambing. Macam kapal hilang layar, tiada arah tujuan.

Ini bukan semata-mata tentang tujuan hidup sebenar, iaitu untuk akhirat; untuk mengabdikan diri pada Allah.

Ramai yang tidak tahu tujuan hidup kita di dunia.

Tidak tahu kenapa kita belajar, kalau sekadar untuk lulus peperiksaan. Pening memikirkan, kenapa kita kahwin, kalau hanya untuk diberikan ujian dengan masalah rumahtangga.

Ini semua berlaku kerana kita tidak mencari makna sebenar kehidupan.

 

Hati jadi hitam akibat lebih cintakan dunia

Hidup hanya untuk dunia. Senang cerita, hanya untuk kerja dan cari duit.

Mula-mula memang seronok dapat duit banyak.

Sampai tahu tahap, kita akan rasa “Kenapa aku terlalu sibuk dengan dunia?”. Ini apabila sudah sampai tahap kemuncak, yang kita sendiri tak tahu kenapa kita terlalu sibuk.

 

Hati gelisah sebab kurang mengingati Allah

Kalau kurang dalam mengingati Allah, boleh ditambahkan. Yang lebih sedih, langsung tidak mengingati Allah.

Benar, zaman muda-mudi memang kita mengikut nafsu semata-mata.

Larangan Allah kita main-mainkan. Solat lima waktu memang jenis tinggal terus.

Al-Quran, kalau kita nak baca, memang tergagap-gagap; akibat terlalu lama sangat ditinggalkan.

Allah Maha Pengampun. Masih belum terlambat. Berzikirlah, ingat Allah.

 

Hati rasa kusut akibat banyak buat dosa kecil

Setiap dosa kecil yang kita buat, akan meninggalkan satu titik dalam hati.

Satu dosa kecil, satu titik hitam. Seribu dosa kecil, seribu titik hitam.

Bayangkan kalau jutaan dosa kecil yang kita sudah buat, bukankah ia akan menjadi gumpalan hitam yang amat pekat?

 

Selalu terlupa, rezeki Allah yang bagi

Kita selalu rasa apa yang kita dapat, adalah dengan usaha kita sendiri. Hakikatnya, rezeki itu adalah dengan kehendak Allah.

Duit gaji itu rezeki. Sihat tubuh badan itu juga rezeki. Tidak terhitung.

 

Rasa tidak tenang, teringat dosa-dosa lalu

Dulu, kita pendosa. Kitalah orang yang paling jahat dalam dunia.

Kurang ajar, kasar dengan ibu-bapa sendiri. Bila mereka dah mati, kita kita sesal diri.

Dosa menipu, menganiaya kawan dan macam-macam lagi kita dah buat dulu tanpa rasa berdosa. Lama-lama, bila meningkat umur, rasa kita tak patut buat semua itu.

Ingatlah, Allah itu Maha Pemaaf.

 

Hati rasa kosong bila rasa diri pandai, tetapi kurang ilmu

Ada kalanya, kita rasa kita paling pandai. Hakikatnya tidak.

Kita kurang ilmu kerana kita tidak mahu dekat diri dengan Allah. Ilmu itu perlu dicari, bukan datang pada kita.

Kita kurang sangat pengetahuan tentang cara-cara untuk menyuburkan hati. Hampir terlupa bagaimana untuk bersangka baik.

 

Akhir kalam

Benar, tak ramai orang faham bila dan kenapa hati rasa kosong. Hanya yang pernah merasai akan faham situasi ini.

Adakah kita perlu biarkan hati terus kosong, tanpa pengisian?

Jalan pintas yang paling mudah dan berkesan ialah membaca Al-Quran dan memahami isi kandungannya.

Amalkan solat tahajjud bila bangun malam. Jika ada keraguan, tak tahu mahu pilih mana satu arah hidup, dirikan solat istikharah.

Jangan sesekali biarkan rasa kosong dan sunyi itu terus menghantui hidup anda. Isikan dengan perkara-perkara yang bermanfaat.

Memetik perkongsian dari Bahagian Dakwah JAKIM di Facebook;

Tatkala jiwa menjadi kosong, rawatlah ia dengan zikir di hati.
Tatkala jiwa menjadi kosong, penuhi Al-Quran di lubuk sanubari.
Tatkala jiwa menjadi kosong, berlarilah kepada Ilahi.
Tatkala jiwa menjadi kosong, ingatlah diri kepada mati.
Kerana jiwa yang kosong itu permulaan bagi hati yang mati.
Kerana jiwa yang kosong itu puncanya hati berbelah bahagi.
Kerana jiwa yang kosong itu sumber lalainya hati.
Rawatlah hati, gilaplah iman , In Shaa Allah, hati bakal subur kembali.

Cubalah.

Semoga sesiapa yang membaca artikel ini, akan sentiasa rasa tenang.

Semoga bermanfaat.

11 thoughts on “Kenapa Hati Tidak Tenang (Rasa Kosong, Sunyi & Gelisah)”

  1. Tau tak hati saya rasa resah sakit rasa macam mau mengelamun jah, tak tau kenapa tapi bgtu la, kekadang saya rasa macam mau lari dari dunia nie,, saya d kelilingi org negatif setiap hari😪

    Reply
  2. Terima kasih untuk artikel ni..
    Saya berasa sangat kesunyian, sedangkan tiada apa2 masalah difikir pon.. Tetapi rasa diri ni tiada tujuan hidup dan rasa lost sangat2.. Xtahu kenapa.. 😔

    Reply

Leave a Comment