Cara Sujud Syukur Ringkas (Dengan Bacaan & Doa)

Pasti ramai di luar sana yang keliru dan tertanya-tanya sama ada sujud syukur ini perlu dilakukan dalam keadaan tertentu seperti menutup aurat, dan pasti juga ada yang tertanya perlukah kita menghadap kiblat untuk melakukan sujud syukur ini dan seumpamanya. Jangan risau, kerana pada hari ini kami akan berkongsi dengan anda tentang cara sujud syukur yang mudah dan ringkas.

Cara sujud syukur

Sujud syukur dari segi syarak ialah suatu sujud yang dilakukan oleh seseorang ketika mendapat nikmat atau ketika terhindar dari sesuatu bencana dan musibah sebagai tanda terima kasih kepada Allah.

Waktu paling sesuai untuk sujud syukur?

Merujuk kepada pautan dari Mufti Wilayah, sujud syukur disunatkan untuk dilakukan apabila anda berada dalam keadaan seperti berikut:

  • Ketika memperoleh anugerah atau nikmat seperti contoh mendapat sebuah kejayaan dan mendapat berita kelahiran anak atau apa sahaja yang menggembirakan anda.
  • Ketika anda terlepas dan terselamat daripada sebuah musibah. Contohnya walaupun berlaku sebuah banjir besar dan musibah, keluarga anda dan anda terselamat dan tidak mengalami sebarang kerugian.

 

Kaedah sujud syukur

Terdapat 4 langkah untuk melakukan sujud syukur dengan cara yang betul:

  1. Pastikan anda sudah mengambil wudhu dan diri anda dalam keadaan berwudhu.
  2. Menghadap kiblat.
  3. Membaca niat sebelum anda memulakan sujud syukur.
  4. Mengangkat takbiratul ihram sebelum ke posisi sujud.
  5. Sujud (Anda hanya perlu melakukan sujud sekali sahaja).
  6. Bangun daripada sujud (duduk antara dua sujud) dan memberi salam.

 

Niat sujud syukur

Untuk memudahkan, ini niat dalam Bahasa Melayu:

“Sahaja aku sujud syukur sunat kerana Allah Ta’ala”

 

Bacaan ketika anda sedang sujud syukur

Untuk bacaan dan doa dalam Bahasa Melayu, boleh baca dalam hati sahaja:

“Maha suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada Tuhan selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali atas pertolongan Allah yang Maha Tinggi Maha Agung”

Sekiranya anda mengalami kesukaran untuk mengingatinya, tidak mengapa anda boleh sahaja membaca bacaan yang selalu dibaca sewaktu sujud atau cukup anda ucapkan “Alhamdulillah”.

 

Syarat sah sujud syukur

  1. Berwudhu’.
  2. Menghadap kiblat.
  3. Menutup aurat.
  4. Suci daripada hadas dan tempat sujud bersih.

 

Sujud syukur tanpa wudhu dan tak menghadap kiblat

Bagi yang berpendapat sedemikian, berikut adalah alasan serta justifikasi bagi menyokong pendapat mereka:

  1. Pendapat yang mengatakan bahawa sujud syukur memerlukan wuduk perlu mendatangkan dalil. Mengqiyaskan sujud syukur dengan solat adalah tidak tepat kerana sujud syukur itu adalah sujud dan bukannya seperti solat.
  1. Zahir hadis Abu Bakrah RA yang menunjukkan bahawa Nabi SAW terus sujud tatkala menerima sesuatu yang menggembirakan Baginda. Tiada pula disebutkan perlunya dalam keadaan berwuduk. Sekiranya memerlukan wuduk pasti akan diterangkan oleh Baginda SAW kerana berhajatkan kepadanya bahkan hadis menyebutkan Nabi SAW terus sujud tatkala menerima khabar yang gembira.
  1. Sujud dilakukan apabila mendapat nikmat atau terselamat dari mudarat tanda syukur kepada Allah SWT. Ianya dilakukan secara serta merta. Jika memerlukan kepada wuduk, sudah tentu ianya tidak dapat dilakukan dengan segera kerana perlu mencari air untuk berwuduk, mencari kiblat kemudian barulah boleh melakukan sujud. Ini boleh menghilangkan rahsia makna disyariatkan sujud syukur itu sendiri.

 

Akhir kalam

Diharapkan agar perkongsian hari ini akan memudahkan urusan anda untuk melakukan sujud syukur. Rujuk sini pula untuk cara sujud sahwi jika terlupa baca doa qunut semasa solat Subuh.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment