6 Cara Hilangkan Bau Hapak Dalam Kereta (Petua Mudah & Berkesan)

Bau hapak dalam kereta memang boleh bikin stress. Macam mana cara hilangkan bau hapak dalam kereta ni? Antara punca bau yang kurang menyenangkan ini ialah kasut yang terbiar lama di dalam kereta dan kesan tumpahan makanan. Bukan itu sahaja, kalau ada anak kecil, pasti struggle nak hilangkan bau air tumpah dalam karpet kereta. Lama-kelamaan apabila bau ini dibiarkan pasti akan menimbulkan bau yang boleh buat kita loya.

Jom kita tengok cara hilangkan bau hapak dan busuk dalam kereta. Tak ada lah stress apabila mahu ke kerja nanti. Nak bercuti pun seronok sahaja.

Cara hilangkan bau hapak dalam kereta

1. Lemon / limau kasturi

Jika kereta anda terkena tumpahan, basuh kesan tersebut seperti biasa. Kemudian, perahkan lemon atau limau kasturi pada bahagian yang masih berbau. Anda harus biarkan seketika dan bilas seperti biasa. Bau hapak tersebut akan hilang dari kereta anda.

Selain itu, jus lemon atau limau kasturi juga boleh digunakan sebagai bilasan spray semulajadi. Cara untuk buat spray ini mudah sahaja. Perahkan pati lemon dengan sedikit air dan campurkan sedikit cuka untuk melawan kulat dan bau hapak. Bau lemon dan limau kasturi ini juga dapat menyerap bau hapak yang ada.

 

2. Daun pandan

Seperti yang kita tahu, daun pandan bukan sahaja memberikan aroma enak dalam masakan, malah ia juga digunakan sebagai wangian semula jadi. Disebabkan itulah ia menjadi bahan asas dalam pembuatan bunga rampai.

Untuk hilangkan bau hapak, anda hanya perlu meletakkan simpulan daun pandan di dalam kereta anda. Jika nak hilangkan bau dengan lebih berkesan dan kuatkan lagi haruman pandan, hiriskan daun pandan kecil-kecil dan letakkan ke dalam beg kain yang berlubang ala-ala goodies bag yang sering kita dapat di kenduri kahwin. Kemudian, gantungkan sahaja beg ini di dalam kereta.

Nak lebih wangi, gantungkan kain ini di tempat berhampiran aircond. Pasti harum sahaja bau kereta anda, nak mengharung jem pun tenang.

 

3. Limau purut

Selain lemon dan limau kasturi, anda juga boleh membuat spray kereta menggunakan cara yang sama seperti lemon dan limau kasturi. Hanya perahkan pati limau purut dan campurkan dengan air.

Jika ada daun limau purut, cincang halus daunnya dan letakkan di dalam beg kain.

 

4. Anginkan / jemur kereta

Salah satu cara hilangkan bau hapak dalam kereta adalah dengan menganginkan atau menjemur kereta. Kadang-kadang bukan sahaja bau hapak, bau barang basah seperti ikan, ayam dan daging juga menjadi punca kereta berbau. Anda boleh menjemur kereta untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan ini.

Cara untuk anginkan kereta adalah anda perlu membuka pintu kereta, hidupkan enjin dan biarkan kipas berpusing pada kelajuan maksimum selama 5 minit. Anda juga boleh semburkan spray pada aircond semasa ‘menganginkan’ kereta untuk memberi bau wangi pada kereta anda.

 

5. Arang

Jika anda tidak tahu, arang merupakan agen penghilang bau yang berkesan. Sebelum mewangikan kereta, bau busuk mestilah dihapuskan supaya tidaklah pening pula jika bau wangi dan bau busuk bercampur pula.

Terdapat dua cara menggunakan arang untuk menghilangkan bau hapak dalam kereta. Cara pertama ialah letakkan arang dalam bekas plastik dan biarkan terbuka sahaja di lantai kereta. Cara kedua, bungkuskan arang dengan tisu atau beg kain dan letakkan di kawasan yang berhampiran dengan bau hapak itu.

 

6. Serbuk kopi

Selain arang, serbuk kopi juga merupakan agen penghilang bau yang berkesan. Caranya mudah sahaja, letakkan serbuk kopi di dalam bekas dan letakkan bekas tersebut di atas lantai kereta. Biarkan semalaman dan bau hapak akan hilang. Mudah sahaja kan.

 

Akhir kalam

Mudah sahaja cara hilangkan bau hapak dalam kereta ini sebenarnya. Namun begitu, kebersihan kereta harus diutamakan. Jika ada berlaku tumpahan, segera cuci tumpahan tersebut. Baru kereta anda tidak akan berbau hapak. Sekali sekala rajinkan diri untuk membasuh kereta juga.

Seperkara lagi, jangan hanya fikirkan kebersihan kereta sahaja. Sila kemas rumah, pastikan kebersihan bilik terjaga dan baju sentiasa kemas digantung dan dilipat dalam almari. Jangan sampai bau hapak macam dalam kenderaan anda.

Semoga perkongsian kami ini memberi sedikit ilmu kepada anda.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment