Cara Diet Yang Berkesan (Panduan Yang Betul, Mudah & Sihat)

Pilihan cara diet yang berkesan dan tepat adalah amat penting bagi memastikan proses turunkan berat badan berjalan dengan lancar.

Bagi memastikan anda membuat pilihan diet yang betul, lakukan sedikit kaji selidik untuk mendapatkan informasi berkaitan senarai makan diet yang ada. Izinkan kami berkongsi cara diet yang berkesan yang bukan sahaja sihat, tetapi baik untuk kesihatan.

Elakkan dari terpedaya dengan cara cepat turunkan berat badan jika ia hanya akan menyeksa diri sendiri. Kami senaraikan di sini, anda pilihlah sendiri mana yang bersesuaian.

Jangan lupa cari lagi info tambahan yang ada di Internet.

Jenis-jenis diet yang berkesan

Sebelum mula berdiet, kenalah tahu apa jenis diet yang orang selalu buat, dan terbukti keberkesanannya.

Kena tahu juga, apakah konsep diet? Bagaimanakah cara pengaplikasiannya? Apakah makanan yang boleh dan tidak boleh diambil sepanjang berdiet?

Itu antara persoalan yang perlu anda fikirkan sebelum memilih diet yang berkesan dan bersesuaian dengan diri.

Antara senarai diet berkesan yang boleh dijadikan pilihan untuk diamalkan adalah:

Cuba diet Atkins

Bersifat anti karbohidrat, diet Atkins menghalang pengamalnya daripada mengambil makanan berasaskan karbohidrat seperti nasi, roti dan pasta dengan melebihkan pengambilan makanan kaya protein seperti daging, telur  dan keju.

Pengambilan makanan berprotein tinggi dan pengurangan karbohidrat dipercayai dapat mengubah metabolism tubuh yang membawa kepada penurunan berat badan.

 

Cuba diet Vegetarian

Diet vegetarian akan menjadikan anda seorang lacto-ovovegetarians iaitu tidak memakan makanan berasaskan haiwan kecuali telur, susu dan madu.

Amalan memakan sayur-sayuran ini membuatkan tubuh lebih sihat.

Lebih-lebih lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kajian menunjukkan bahawa golongan vegetarian mempunyai berat badan ideal, kurang diserang penyakit dan memiliki usia yang lebih panjang berbanding individu yang makan daging.

 

Cuba diet Paleo

Turut dikenali sebagai diet orang zaman batu, teori diet Paleo menyatakan bahawa penyakit moden yang menyerang masyarakat masa kini berpunca daripada pengambilan bijirin, tenusu dan makanan yang telah diproses.

Justeru, diet Paleo mengutamakan pengambilan makanan semula jadi seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan kekacang yang lebih berkhasiat serta mengelakkan makanan yang diproses, gula, tenusu dan bijirin.

 

Diet makanan mentah

Pengamal diet makanan mentah raw foodism tidakmengambil sebarang makanan berasaskan haiwan atau makanan yang telah diproses.

Mereka hanya memakan makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan bahan organik. Malah tiga perempat daripada pengambilan makanan perlu terdiri daripada makanan yang belum dimasak.

 

Cuba intermittent fasting

Intermittent fasting adalah diet yang semakin popular di negara kita, Malaysia.

Menerusi diet ini, anda perlu berpuasa atau mengosongkan perut bagi tempoh tertentu. Diet ini tidak menyekat anda daripada makan. Sebaliknya, ia menentukan masa makan anda.

Puasa secara berselang-seli ini diamalkan untuk menurunkan berat badan kerana membantu memudahkan proses penyekatan kalori.

 

Cara diet yang betul

Setelah memilih diet yang bersesuaian dengan diri, anda perlu melakukan beberapa perubahan dalam gaya hidup bagi memastikan hasrat untuk mencapai berat badan ideal berjaya direalisasi. Bukan mudah untuk kurus.

Pastinya cara diet yang berkesan itu perlu diikuti selalu, bukan main hentam keromo.

Cabarannya sentiasa ada. Apa yang penting, anda perlu berusaha secara berterusan bagi memastikan diet yang diamalkan berjaya mencapai matlamat yang diimpikan.

 

Cara diet yang betul, mesti ada azam yang konsisten

Dalam apa jua perkara yang kita lakukan, jangan bersikap hangat-hangat tahi ayam, yang hanya ghairah pada peringkat permulaan dan mulai berasa bosan di pertengahan jalan. Anda perlu sentiasa berazam untuk kekal konsisten dalam melalui proses diet.

Bagi memastikan azam kekal konsisten, anda boleh membayangkan kehidupan yang lebih menyihatkan dan penampilan yang lebih menarik apabila diet anda berjaya mencapai matlamatnya.

Impian itu bukan sahaja menguatkan azam tetapi juga membuatkan anda kekal positif dan semakin bermotivasi.

 

Cara diet yang berkesan, perlu belajar ilmu nutrisi

Pengetahuan tentang nutrisi makanan sangat penting buat anda yang sedang berdiet.

Anda perlu tahu kandungan zat dalam semua menu yang diambil dan nisbah bagi setiap satu nutrisi untuk memastikan makanan yang diambil benar-benar berkhasiat serta sesuai dengan diet yang diamalkan.

Kalau kalori pun tak tahu, macam mana nak kurangkan berat badan?

Jangan hanya ikut-ikut orang makan chia seed. Kena tahu kenapa kita makan.

 

Cara diet yang betul, mesti ada disiplin

Lumrah manusia, sering tergoda dengan keenakan makanan. Apa lagi, jika hidangan tersebut adalah menu kegemaran.

Ketika inilah pentingnya disiplin saat berdiet. Anda perlu disiplinkan diri agar tidak mengambil hidangan yang tersedia di depan mata atau terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan untuk menikmati makanan tidak sihat.

Tanpa disiplin yang kuat segala perancangan dan usaha diet anda pasti tidak akan berhasil.

 

Cara diet yang betul, jangan terlalu drastik

Jangan drastik dalam melakukan perubahan yang melibatkan sistem tubuh. Anda perlu mengubah diet harian secara perlahan-lahan dan berikan masa kepada badan untuk menerimanya.

Sistem tubuh manusia dicipta untuk mengimbangi input dan output menerusi otak secara semula jadi mengikut kondisi badan.

Perubahan yang drastik hanya akan membebankan tubuh dan membuatkan diri lesu dan tidak bertenaga.

 

Cara diet yang sihat, mesti bersenam

Janga percaya kalau boleh turunkan berat badan tanpa bersenam. Mungkin boleh turun, tetapi tidak lama. Berat badan akan naik semula.

Amalan diet yang berkesan tidak tertumpu pada aspek pemakanan semata-mata. Sebaliknya, anda juga perlu menitikberatkan senaman dan aktiviti fizikal yang juga merupakan sebahagian daripada diet.

Senaman adalah cara paling efektif untuk membakar kalori, meningkatkan imbangan dan koordinasi tubuh selain berupaya mengurangkan stres.

Cuma, janganlah pula membuat aktiviti fizikal pada bulan Ramadhan. Cara diet di bulan puasa tidak sama dengan bulan-bulan lain.

 

Sedikit pesanan

Walau bagaimanapun, ada satu petikan dari Huffpost yang menyatakan kajian pada tahun 2014 oleh penyelidik University of Toronto.

Saintis ini mengkaji 59 artikel penurunan berat badan secara saintifik. Apa yang menarik, mereka membuat kesimpulan bahawa diet terbaik ialah diet yang boleh dibuat secara konsisten dan bertahan lama. Bukan yang jenis sekejap-sekejap.

Menurut saintis lagi, sesiapa yang masih lagi dalam diet mereka secara berterusan, tidak pernah berhenti dan tidak kira jenisnya –  seperti diet atkins, diet kalori, diet keto, diet eat clean; mereka inilah orang yang kehilangan berat badan yang lebih banyak.

Menurut para penyelidik itu juga, keupayaan anda untuk mengikut diet adalah lebih penting dari dari kejayaan menurunkan berat badan anda dengan diet yang anda pilih.

 

Akhir kalam

Janganlah diet semata-mata untuk nampak cantik. Lebih baik tukarkan niat itu agar diet untuk sihat tubuh badan dan fizikal. Ikuti cara diet yang berkesan ini betul-betul, bukan sekadar baca dan selepas itu lupa.

Bukannya apa, sudah banyak cerita kita dengar tentang kematian secara tiba-tiba. Contohnya, ramai orang yang tiada apa-apa tanda sakit jantung, tetapi meninggal secara mengejut.

Semoga kita semua sentiasa sihat dan dilindungi Allah.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment