Barry Callebaut Buka APAC BEC Di Malaysia

Barry Callebaut, pengeluar produk coklat dan koko berkualiti tinggi terkemuka di dunia, hari ini mengumumkan pembukaan rasmi Pusat Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik (APAC BEC) yang terletak di Petaling Jaya, berhampiran Kuala Lumpur, Malaysia.

APAC BEC bakal berfungsi sebagai sebuah pusat kecemerlangan, menyediakan sokongan merentasi perkhidmatan kewangan dan perakaunan syarikat, pengurusan maklumat dan teknologi, perkhidmatan pelanggan, serta beberapa fungsi korporat dan perkhidmatan perkongsian yang lain. Pusat ini juga bakal membantu meningkatkan pengalaman pelanggan menerusi penyeragaman dan kebolehskalaan proses.

Jo Thys, Ketua Pegawai Operasi Barry Callebaut Group, yang hadir di majlis perasmian Pusat tersebut di Malaysia berkata: “Pusat Kecemerlangan Perniagaan Asia Pasifik ini bertujuan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang dipertingkatkan disamping mewujudkan nilai kepada pelanggan kami menerusi pengoptimuman perkhidmatan dan automasi. Pusat ini membuktikan komitmen jangka panjang kami ke arah membuat pelaburan di Asia Pasifik dan akan membantu menyokong pertumbuhan perniagaan kami di Rantau ini.”

Malaysia terus menjadi hab utama bagi Rantau Asia Pasifik

APAC BEC baharu di Malaysia mewakili pelaburan besar Barry Callebaut di Malaysia dan mengukuhkan lagi kehadiran jenama setelah lebih 30 tahun berada di negara ini. Pada masa ini, Barry Callebaut mempunyai lebih 600 pekerja di dua tapak pembuatan dan pusat R&D di Pasir Gudang dan Pelabuhan Klang. Di samping itu, APAC BEC telah pun mempunyai lebih 100 kakitangan dan menyasarkan untuk meningkatkan bilangan pekerjanya ke 150 dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Robert Kotuszewski, Pengarah Urusan Barry Callebaut di Malaysia berkata: “Malaysia merupakan hab yang penting untuk Asia Pasifik disebabkan asas pembuatannya yang kukuh, kepelbagaian budaya dan bakat pertuturan yang dapat membantu pelanggan dan pekerja kami berhubung merentasi pasaran di rantau ini. Kami ingin berterima kasih kepada pelanggan, rakan kongsi serta kakitangan kami di atas sokongan berterusan mereka dalam penubuhan Pusat ini.”

Memperkembangkan perniagaan coklat di Malaysia

Barry Callebaut mengeluarkan coklat untuk pengeluar manisan dan makanan yang menggunakan coklat sebagai bahan dalam produk jualan mereka dan merupakan rakan pembekal kepada pengeluar makanan di Malaysia yang semakin banyak, yang mencari produk coklat berkualiti tinggi. Jumlah jualan manisan coklat di Malaysia meningkat +12.7% pada 2021 dan pada CAGR +3.4% antara 2016-2021, menurut laporan Nielsen.

Syarikat itu juga mengimport coklat premium Eropah untuk pengguna coklat artisan dan profesional, seperti pembuat coklat, pembuat roti, cef pastri, hotel dan restoran. Produk gourmet ini telah memacu pertumbuhan perniagaan Barry Callebaut di Malaysia.

Barry Callebaut, selaku peneraju dalam bidang inovasi, telah memperkenalkan beberapa produk coklatnya yang inovatif kepada pelanggan di Malaysia, termasuk coklat bebas tenusu pertamanya, coklat berasaskan tumbuhan dan coklat WholeFruit, yang diperbuat daripada 100% buah koko.

Tentang Barry Callebaut Group:

Dengan jualan tahunan kira-kira CHF8.1 bilion (EUR7.8 bilion / USD8.6 bilion) pada tahun fiskal 2021/22, Barry Callebaut Group yang berpangkalan di Zurich adalah peneraju pengeluar produk coklat dan koko berkualiti tinggi di dunia – daripada penyumberan dan pemprosesan biji koko sehingga penghasilan coklat terbaik, termasuk inti coklat, coklat hiasan dan coklat kompaun. Kumpulan ini mengendalikan lebih 65 kemudahan pengeluaran di seluruh dunia dan mempunyai tenaga kerja global yang pelbagai dan berdedikasi seramai lebih 13,000 orang.

Barry Callebaut Group menyediakan perkhidmatan kepada seluruh industri makanan, daripada pengilang makanan industri sehingga pengguna coklat artisan dan profesional, seperti pembuat coklat, cef pastri, tukang roti, hotel, restoran atau katerer. Antara jenama global yang memenuhi keperluan khusus pelanggan Gourmet adalah Callebaut® dan Cacao Barry®, Carma®, dan pakar dekorasi Mona Lisa®.

Barry Callebaut Group komited untuk menjadikan coklat yang lestari sebagai norma menjelang 2025 bagi memastikan kelangsungan bekalan koko di masa hadapan dan meningkatkan kehidupan petani. Ia menyokong Cocoa Horizons Foundation dalam matlamatnya untuk membentuk masa hadapan koko dan coklat yang lestari.

Leave a Comment