Bantuan Awal Pengajian Daripada YBR Kepada Pelajar UUM

Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 dalam bentuk Bantuan Awal Pengajian kepada penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai permulaan pengajian bagi tahun 2023. Inisiatif ini melibatkan 100 penuntut dari kalangan keluarga B40, menurut Pengurus Besar YBR, Syaifu Rizal Abdul Ghani.

Selain Bantuan Awal Pengajian, YBR juga turut menyumbangkan set kelengkapan Perpustakaan Digital Serambi Ilmu Rakyat (SIR Corner) kepada perpustakaan universiti itu. Ini kerana, SIR Corner dapat memberikan manfaat kepada penuntut UUM dalam mendapatkan maklumat terkini serta bahan bacaan ilmiah secara digital. Penyerahan cek Bantuan Awal Pengajian juga telah disaksikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah.

Menurut Syaiful Rizal, bantuan ini adalah untuk meringankan beban kewangan penuntut yang masuk semester baru. Pemilihan penuntut dari kalangan keluarga B40 dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM dan setiap mereka akan menerima RM1,000. Semua penuntut yang menerima bantuan ini adalah di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.

Inisiatif ini juga bertujuan untuk memastikan penuntut dari keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat di luar bandar, pedalaman dan juga miskin bandar diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Selain itu, bantuan ini juga dapat meringankan tanggungan ibu bapa.

Bagi tahun 2022, seramai 2,916 penuntut IPT telah menerima Bantuan Awal Pengajian YBR dengan peruntukan sebanyak RM2.27 juta melibatkan 19 IPT di Malaysia serta melalui permohonan 11 badan bukan berkeuntungan bagi inisiatif ini. YBR juga memperuntukkan RM350,000 setiap tahun untuk langganan dan pangkalan data bahan digital SIR dari pihak pembekal. Usaha ini bertujuan untuk menggalakkan tabiat membaca kepada penuntut dan masyarakat tanpa sempadan masa serta lokasi.

Sumber: Malaysia Gazette

Leave a Comment