SAPS Menggunakan IC (Login & Tengok Keputusan Peperiksaan)

Ramai yang kecewa bila nak masuk sistem SAPS Ibu Bapa online, tetapi sistem pula ‘down‘. Sedang kita mahu tengok result peperiksaan anak kita, masa itulah tidak boleh login pula.

Berapa ramai ibu yang sedang membaca artikel ini tahu tentang SAPSNKRA online? Izinkan kami berkongsi.

Apa itu SAPS Ibu Bapa?

SAPS ialah Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS NKRA) untuk memantau prestasi akademik para pelajar. Malahan, kedudukan anak-anak mereka di dalam kelas juga boleh diketahui.

Sistem berpusat ini diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memudahkan ibu bapa mengikuti perkembangan ujian dan peperiksaan para pelajar.

Namun begitu, SAPS ini tidak menyokong peperiksaan utama seperti UPSR, PT3, SPM dan STPM. Sistem ini hanya dibangunkan untuk pemantauan ujian bulanan dan peperiksaan tahunan serta ujian percubaan yang diuruskan oleh pihak sekolah.

Ibu bapa yang sibuk bekerja kadangkala terlepas pandang tentang pendidikan anak-anak mereka.

Oleh itu, manfaat sistem ini ialah ibu bapa boleh mengetahui kemajuan akademik anak-anak mereka tanpa perlu bertemu dengan guru di sekolah. Bagi ibu bapa yang sibuk bekerja dan sukar mendapat cuti, perkhidmatan ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada mereka.

Sejak tahun 2018, tiada lagi peperiksaan untuk darjah 1, darjah 2 dan darjah 3. Maka, sistem SAPS adalah berkecuali untuk mereka.

 

Tujuan SAPS Ibu Bapa

Tujuan utama sistem ini diperkenalkan adalah untuk mengurangkan masalah pengendalian data.

Ia juga merupakan alternatif penting untuk mengumpul, menyimpan dan menganalisis data peperiksaan dalaman di setiap sekolah di seluruh Malaysia.

SAPS merupakan portal online yang boleh dicapai oleh semua pihak yang berkaitan bidang pendidikan iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.

Apa maksud SAPS Ibu Bapa?

Sistem ini bukan sahaja dibina untuk para guru tetapi juga ibu bapa. Segala maklumat akademik anak-anak mereka boleh dicapai apabila akses ke portal tersebut.

Jelasnya, SAPS memberi kebaikan kepada ibu bapa. Ini sebab, secara tidak langsung mereka juga telah terlibat dengan perkembangan pelajaran anak-anak di sekolah.

 

Manfaat dan kebaikan SAPS

Ibu bapa boleh berkomunikasi secara tiga hala dengan pihak sekolah terutamanya guru kelas. Mereka tidak perlu menunggu sehingga hari terbuka diadakan.

SAPS juga boleh dijadikan penanda aras analisis TOV (Take Of Value), ETR (Expected Target Result) dan AR (Actual Result). Dengan analisis sistematik seperti ini, para guru dapat memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran.

Bagi ibu bapa pula, mereka boleh memantau aktiviti akademik anak-anak mereka. Selain itu, mereka boleh merancang dan menjalankan usaha yang sewajarnya untuk meningkatkan prestasi akademik anak-anak.

Bagi para pelajar pula, mereka boleh menyemak dan melakukan usaha berterusan untuk masa depan. Keputusan peperiksaan yang rendah sewajarnya dijadikan kayu pengukur untuk lebih berusaha lagi.

Malahan, disiplin anak-anak juga boleh dikawal misalnya melalui jumlah kehadiran dan sebagainya.

Jika anda seorang guru, sila login SAPS guru dan bukannya murid.

 

Apa yang dipaparkan?

SAPS Ibu Bapa akan menunjukkan slip keputusan, markah peperiksaan dan kedudukan pelajar di dalam kelas. Ini merangkumi ujian bulanan, peperiksaan tahunan dan percubaan sahaja.

Malahan, ibu bapa juga boleh menyemak bilangan mata pelajaran yang telah didaftar, jumlah kehadiran di sekolah, peratus gred purata dan pencapaian gred keseluruhan subjek yang diambil.

 

Makluman penting

Terkini, sistem ini telah dibuka semula selepas ditutup buat sementara pada susulan dakwaan pencerobohan sistem pada Jun 2018.

 

Login SAPS menggunakan IC: Apa linknya?

Berikut ialah link untuk login ke sistem SAPS:

https://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/

Anda akan dipaparkan dengan gambar seperti di bawah:

Cara buat semakan SAPS menggunakan IC murid

  1. Layari portal SAPS Ibu Bapa di https://sapsnkra.moe.gov.my/ibubapa2/
  2. Masukkan nombor MyKad pelajar (bukan MyKad ibu bapa)
  3. Klik ruangan ‘Cari’
  4. Masukkan maklumat sekolah pelajar (negeri dan nama sekolah)
  5. Klik butang ‘Semak’
  6. Maklumat keputusan pelajar akan dipaparkan

 

SAPS Ibu Bapa kedudukan kelas

Bagi menilai prestasi anak-anak, ibu bapa boleh lihat kedudukan anak dalam kelas melalui laporan yang diberi.

Sistem akan menunjukkan kedudukan anak dalam kelas dan dalam keseluruhan darjah (jika sekolah rendah).

Sistem juga akan menunjukkan kedudukan anak dalam kelas dan dalam keseluruhan tingkatan (jika sekolah menengah).

Ini bermakna, akan ada situasi di mana kedudukan anak dalam kelas agak tinggi. Namun, bila dibandingkan dengan keputusan seluruh darjah ata tingkatan, tidak baik.

 

Gred pemarkahan SAPS

1. Bagi sekolah rendah

 80-100 Gred A (Cemerlang)
 65-79 Gred B (Baik)
 50-64 Gred C (Memuaskan)
 40-49 Gred D (Mencapai Tahap Minimum)
 0-39 Gred E (Belum Mencapai Tahap Minimum)
 TH (Tidak Hadir)

2. Bagi sekolah menengah

 85-100 Gred A (Cemerlang)
 70-84 Gred B (Kepujian)
 60-69 Gred C (Baik)
 50-59 Gred D (Memuaskan)
 40-49 Gred E (Mencapai Tahap Minimum)
 0-39 Gred F (Belum Mencapai Tahap Minimum)
 TH (Tidak Hadir)

3. Bagi menengah atas

 90-100 Gred A+ (Cemerlang Tertinggi)
 80-89 Gred A (Cemerlang Tinggi)
 70-79 Gred A- (Cemerlang)
 65-69 Gred B+ (Kepujian Tertinggi)
 60-64 Gred B (Kepujian Tinggi)
 55-59 Gred C+ (Kepujian Atas)
 50-54 Gred C (Kepujian)
 45-49 Gred D (Lulus Atas)
 40-44 Gred E (Lulus)
 0-39 Gred G (Gagal)
 TH (Tidak Hadir)

Singkatan perkataan dalam portal SAPS

1. SUP- Setiausaha Peperiksaan
2. GMP- Guru Mata Pelajaran
3. GK- Guru Kelas
4. KP- Kad Pengenalan
5. APDM- Aplikasi Pangkalan Data Murid
6. JPN- Jabatan Pelajaran Negeri
7. SAPS- Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah

 

Soalan lazim tentang SAPS

Cara login SAPS menggunakan IC sudah dikongsikan di atas.

Berikut pula adalah antara soalan-soalan lazim (juga dipanggil FAQs) tentang sistem SAPS Ibu Bapa

Macam mana cara nak betulkan kesalahan ejaaan nama anak dalam sistem SAPS Ibu Bapa?

  1. Ibu bapa perlu memaklumkan kepada guru kelas anak mereka.
  2. Guru kelas akan membuat semakan dan kemas kini nama pelajar tersebut dalam APDM.
  3. Guru kelas akan maklumkan kepada SUP sekolah untuk ‘import’ semula nama pelajar yang telah dibetulkan ke dalam SAPS.

 

Kenapa MyKad pelajar tidak boleh diakses dalam sistem?

  1. Ibu bapa perlu menghubungi guru kelas untuk memberitahu masalah tersebut.
  2. Guru kelas akan menyemak nombor kad pengenalan dengan dokumen sokongan iaitu salinan kad pengenalan dan sijil lahir.
  3. Jika terbukti ada kesalahan, guru kelas akan kemas kini maklumat berkenaan pada APDM dan melaporkan masalah tersebut kepada SUP sekolah.
  4. SUP akan kemas kini nombor kad pengenalan pelajar tersebut dalam sistem.

 

Kenapa sukar untuk membuat capaian di portal SAPS Ibu Bapa?

Kadang-kadang, login SAPS menggunakan IC tidak berjaya. Kenapa ini berlaku?

Ini kerana, apabila kadar pengguna lain mengakses masuk ke dalam sistem sangat tinggi, kemungkinan capaian sukar dibuat.

Ada 2 cara yang boleh dicuba bagi mengatasi masalah ini, iaitu:

  1. Pastikan anda telah memadam cache (clear browsing cache) di pelayar Internet.
  2. Jika paparan menunjukkan ‘Your Connection Is Not Private’, anda perlu membuat langkah berikut:
    • Klik butang ‘Advanced’
    • Seterusnya, klik butang ‘Proceed’
    • Paparan SAPS akan keluar jika berjaya

 

Kenapa sistem SAPS tak boleh akses, selalu down?

Selalunya, jika SAPS tidak boleh diakses, ia bermakna trafik tinggi. Ramai sangat ibu-bapa masuk dalam sistem SAPS dalam satu-satu masa. Bayangkan jalan raya yang kecil, tetapi ada berjuta-juta kenderaan untuk lalu.

Kapasiti server di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga, tidak boleh menampung sebegitu banyak jumlah pengunjung. Komputer perlu dinaiktaraf dan selalunya ia akan menelan kos yang tinggi.

 

Bila masa sesuai untuk login SAPS?

Kami cadangkan, masuk pada waktu malam. Lebih baik selepas jam 12 malam. Tidak ramai orang dan besar kemungkinan lebih laju.

 

Macam mana nak simpan link SAPS Ibu Bapa?

Ini link yang anda perlu tahu, supaya tidak tercari-cari lagi: https://sapsnkra.moe.gov.my

Jika anda menggunakan telefon bimbit copy link tersebut, dan simpan dalam Notes. Telefon dengan sistem operasi Android atau iOS sekalipun, semua ada aplikasi Notes. Simpan di sana untuk rujukan masa akan datang. Letakkan tajuk Notes tersebut, SAPS login.

Selain dari copy link ke dalam aplikasi Notes, ada satu lagi cara lain.

Jika anda guna Google Chrome, bookmark link tadi, dengan tekan ikon bintang. Jika ingin buka semula link itu, taip sahaja pada browser Google Chrome, dan akan keluar link tadi.

Paling mudah, jika anda guna komputer, anda bookmark sahaja artikel ini. Lebih mudak untuk buat rujukan. Tekan Control-D pada keyboard.

 

Akhir kalam

Sebenarnya ramai ibu bapa langsung tidak tahu aktiviti anak-anak mereka di sekolah.

Apabila menghadiri hari terbuka untuk mengambil buku laporan peperiksaan, baharulah mereka tahu tentang tingkah laku, pelajaran dan aktiviti anak-anak mereka.

Justeru, tugas menguruskan para pelajar tidak boleh dibebankan sepenuhnya di bahu guru.

Dengan adanya sistem SAPS Ibu Bapa online ini yang boleh terus login SAPS menggunakan IC, mereka dapat memantau aktiviti anak-anak mereka.

Hendak menipu markah peperiksaan pun sudah tidak semudah dulu.

Oleh itu, dalam keburukan teknologi, ada juga faedahnya jika digunakan dengan cara yang bijak.

Walaupun kerajaan telah meringankan sedikit tugas guru melalui sistem ini, namun mereka tetap perlu bekerja keras. Usaha yang berterusan perlu untuk meningkatkan prestasi kerja mereka melalui pencapaian para pelajar.

Bagi ibu bapa pula, menyemak dan mencetak keputusan peperiksaan anak sahaja tidak cukup. Mereka perlu memberi sokongan moral dan contoh yang baik buat anak-anak. Sentiasa beri galakan dan prihatin dengan masalah akademik anak-anak.

Jika ada kesilapan atau penyimpangan fakta dan informasi yang tidak benar, diharapkan dapat memberi teguran. Kami mengalu-alukan juga penambahan informasi baharu untuk rujukan semua.

Jika keputusan anak tidak cemerlang, janganlah marahkan anak. Ingat, pelajar cemerlang itu tidak semestinya mendapat gred A. Dalam dunia pekerjaa, ada kalanya pelajar gred C itu lebih menyerlah.

Semoga bermanfaat.

10 thoughts on “SAPS Menggunakan IC (Login & Tengok Keputusan Peperiksaan)”

Leave a Comment