89% Rakyat Malaysia Sanggup Kerja ‘Rider’ Selepas Tamat PKP

19 Mei 2020 – THEROHANI.COM telah membuat satu tinjauan secara online dengan dengan bertanyakan rakyat Malaysia; jika tidak ada pekerjaan, adakah mereka sanggup bekerja sebagai ‘rider‘ apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir nanti.

Jawapan yang diterima sangat-sangat mengejutkan apabila kira-kira 89% memberi respon bahawa jika tidak mempunyai kerja, mereka sanggup bekerja sebagai ‘rider‘ untuk menampung anak, isteri dan keluarga.

Contoh kerja ‘rider‘ yang dimaksudkan adalah servis penghantaran makanan seperti GrabFood dan foodpanda; dan juga penghantaran barang seperti Lalamove.

Pautan: https://www.facebook.com/therohani/posts/2735524609882834

Butiran lanjut mengenai tinjauan di atas adalah seperti berikut:

  • Jika tidak mempunyai pekerjaan, 89% rakyat Malaysia secara umum sanggup menjadi ‘rider
  • 11% pula berkata mereka tidak sanggup bekerja sebagai ‘rider‘. Kebanyakan dari mereka ialah wanita.
  • Melalui semakan profil responden secara rawak di Facebook, golongan yang sanggup bekerja sebagai ‘rider‘ bukan dari kalangan lelaki sahaja. Wanita juga menunjukkan kecenderungan yang sama.
  • Tinjauan secara bebas ini menggunakan Facebook Poll di The Rohani
  • Ia melibatkan sebanyak 2,500 responden berumur 18 hingga 60 tahun
  • Tinjauan ini dilihat oleh 35,000 pengguna Facebook
  • Tinjauan dijalankan selama 48 jam.

Komen dari seorang responden mengatakan bahawa jika tidak ada pilihan, buat sahaja kerja ini. Tidak perlu malu untuk kelangsungan hidup. Yang penting kerja itu halal dan bukannya mencuri.

Responden tersebut kini bekerja sebagai Pembantu Kesihatan di sebuah hospital kerajaan di Kota Kinabalu, Sabah secara sepenuh masa.

Walaupun bergelar seorang ibu, ini tidak mematahkan semangat beliau untuk bekerja sebagai ‘runner‘ secara separuh masa untuk menambah pendapatan.

Beliau berkata lagi “Peluang kerja itu banyak. Pokoknya pada hati, samada kita mahu atau tidak sahaja. Jangan pernah rasa malu untuk kerja ‘rider’ atau ‘runner’. Kadang-kadang, saya ambil tempahan untuk penghantaran makanan dan minuman. Ini kerana kedai makan tersebut tidak menawarkan khidmat penghantaran. Saya cuma caj RM5 untuk penghantaran Cash on Delivery (COD). Apabila makanan sampai, baru pelanggan bayar”.

Rata-rata responden juga berkata mereka sangat kagum dengan para ‘rider‘ dan ‘runner‘ yang sanggup berhujan dan berpanas semasa bulan Ramadan ini. Dalam keadaan sedang berpuasa, tentu sekali kerja ini akan menguji kesabaran.

Kami di The Rohani berpendapat bahawa tinjauan ini adalah penting untuk melihat keadaan semasa rakyat Malaysia yang terjejas akibat wabak Coronavirus COVID-19.

Tinjauan bebas ini juga dilakukan untuk menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sebenarnya tidak memilih pekerjaan, asalkan boleh menjana pendapatan untuk menampung diri sendiri dan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

Sehingga hari ini, masih belum ada pengumuman tentang tarikh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditamatkan.

Walaupun ramai yang kehilangan kerja secara tiba-tiba sejak penularan Coronavirus COVID-19 ini, diharapkan agar mereka terus kuat demi anak-anak dan keluarga.

Akhir sekali, diharapkan juga semoga ekonomi semakin pulih dan rakyat boleh terus bekerja untuk sama-sama memakmurkan negara kita Malaysia.

Leave a Comment