Cara Pengiraan Zakat Pendapatan Yang Senang Faham

Kerja, kerja juga. Tanggungjawab janga lupa. Bila sudah dapat gaji, jangan sesekali lupa bayar zakat pendapatan. Ini kerana dalam rezeki kita, ada bahagian orang lain juga. Izinkan kami berkongsi sedikit informasi tentang pengiraan zakat pendapatan yang mudah, serta maklumat lain tentang zakat yang kebanyakan orang terlepas pandang.

Zakat ialah rukun Islam yang ketiga. Zakat bermaksud mengeluarkan harta tertentu dengan kadar yang telah ditetapkan. Pengeluaran zakat telah ditentukan mengikut syarat-syarat yang disyariatkan bagi membantu golongan yang memerlukan. Namun, sebelum boleh buat pembayaran online, masih ramai yang keliru dengan cara pengiraan zakat pendapatan.

Jenis zakat

Pengeluaran zakat diwajibkan ke atas setiap orang Islam. Penyerahan ini mestilah dari sumber yang halal dan baik. Terdapat 2 jenis zakat yang utama, iaitu:

  1. Zakat fitrah

Zakat fitrah diwajibkan ke atas setiap Muslim sama ada lelaki atau perempuan. Syarat utamanya ialah berkemampuan untuk membayar zakat fitrah. Ia boleh dilaksanakan pada sepanjang bulan Ramadhan sehingga pagi 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri.

  1. Zakat harta

Zakat harta pula pengeluaran wajib yang dikenakan ke atas harta-harta tertentu. Berbeza dengan zakat fitrah, zakat harta boleh dibayar pada bila-bila masa sahaja. Kadar zakat jenis ini ialah 2.5% daripada jumlah harta tersebut.

Menurut Lembaga Zakat Selangor (https://zakatselangor.com.my) zakat harta dibahagikan kepada 7 jenis, iaitu:

  • Zakat pendapatan
  • Zakat perniagaan
  • Zakat wang simpanan
  • Zakat pelaburan
  • Zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
  • Zakat emas dan perak
  • Zakat takaful

Dalam artikel ini, perbincangan hanya difokuskan pada topik zakat pendapatan dari aspek pengertian dan cara pengiraan sahaja

MAKLUMAN:KAMI BUKAN DARI MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI, PUSAT KUTIPAN ZAKAT NEGERI ATAU JABATAN ZAKAT NEGERI. KAMI HANYA MEMBUAT SEDIKIT KAJIAN DAN MENUNJUKKAN CARA PENGIRAAN ZAKAT PENDAPATAN UNTUK MAKLUMAN PEMBACA.
 

Maksud zakat pendapatan

Jadi, berdasarkan penerangan tentang jenis-jenis zakat di atas, zakat pendapatan termasuk dalam kategori zakat harta.

Menurut fatwa Wilayah Persekutuan selepas diputuskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak, zakat pendapatan ialah pengeluaran wajib ke atas pendapatan yang meliputi apa-apa upah, gaji, elaun, imbuhan dan bonus (Subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].

Rujuk: https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-pendapatan/

 

Apakah syarat wajib zakat?

Beragama Islam

Pemilik harta mestilah beragama Islam

Merdeka

Bukan hamba sahaya.

Pemilikan sempurna

Harta dimiliki dengan jelas. Orang lain tiada hak ke atasnya melainkan individu itu sendiri.

Cukup nisab

Harta tersebut mestilah mencapai paras minima yang menentukan ia wajib dizakatkan atau tidak. Misalnya bagi zakat pendapatan, nisabnya ialah nilaian 20 mithqal (85 gram emas).

Cukup haul

Pengiraan zakat pendapatan tertakluk samada cukup haul atau tidak. Maksudnya, cukup setahun harta yang dimiliki dalam perkiraan tahun hijrah (354 hari) atau tahun Masihi (365 hari). Namun, Malaysia menggunakan perkiraan tahun Masihi.

Harta yang berkembang

Maksudnya harta tersebut ialah harta yang berkembang dan boleh beri pulangan kepada pemilik. Jika membayar zakat, tidak berlaku penyusutan nilai.

 

Pendapatan yang dikenakan zakat pendapatan

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, pengiraan zakat pendapatan perlu dilakukan ke atas setiap jenis pendapatan ini. Sila semak.

  1. Hasil pendapatan dan gaji tahunan
  2. Gaji, bonus, elaun dan tuntutan kerja lebih masa
  3. Pencen, bayaran gratuiti dan keuntungan ESOS (Skim Pilihan Saham Pekerja)
  4. Hasil profesional dan kerja bebas tahunan
  5. Pekerjaan yang melibatkan konsultansi profesional seperti doktor, pakar psikologi, hiasan dalaman dan sebagainya.
  6. Komisyen bagi penjual insurans, takaful, broker hartanah dan sebagainya.
  7. Bayaran royalti dan honorarium bagi penulisan buku, penerbitan, muzik dan
  8. Bayaran keuntungan bermusim seperti projek bagi kontraktor.
  9. Keuntungan disebabkan jualan aset tetap dan pembiayaan semula aset.
  10. Hasil daripada harta yang beri pulangan
  11. Hasil sewaan rumah, kenderaan, bangunan, tanah dan sebagainya.
  12. Hasil pertanian tetap yang tanahnya tidak dijual seperti sawah padi, kebun durian dan sebagainya.
  13. Hasil ternakan dan perusahaan seperti madu, telur dan susu. Syaratnya, aset tetap dan induk betinanya (lembu, lebah dan ayam) tidak dijual.
  14. Hasil tajaan, sumbangan dan pemberian

Sumber pendapatan yang dinyatakan di atas (nombor 2 dan 3) hendaklah pendapatan bersih selepas ditolak kos-kos yang terlibat.

 

Pendapatan yang tak perlu bayar zakat

  1. Tuntutan yang melibatkan penginapan sementara (lojing), ke luar negara, keraian, perjalanan dan sebagainya.
  2. Pendapatan daripada sumber haram dan meragukan seperti rasuah, judi, riba dan

Kadar zakat pendapatan

Nisab zakat pendapatan bersifat tak kekal dan sentiasa berubah-ubah dari tahun ke tahun. Ini kerana ia mengikut harga emas semasa. Oleh itu, anda perlu rujuk Majlis Agama Islam Negeri masing-masing untuk maklumat lanjut.

Misalnya pada tahun ini (2019) kadar nisab ialah RM13,968.00 (https://www.zakat.com.my/info-zakat/arkib-nisab-tahunan/)

Oleh itu, jika dalam tempoh setahun masihi (365 hari), jumlah pendapatan yang diperolehi (sama ada sudah ditolak dengan pelepasan zakat yang dibenarkan atau pendapatan penuh) menyamai atau melebihi nisab semasa yang ditetapkan, maka anda perlu buat bayaran zakat.

Kadar zakat pendapatan yang dikenakan ialah 2.5% daripada jumlah pendapatan yang wajib dizakat.

 

Cara kira zakat pendapatan

Ada 2 cara untuk mengira zakat pendapatan iaitu dengan kaedah tanpa tolakan dan dengan tolakan.

Kaedah tanpa tolakan

Cara ini lebih mudah dan ringkas. Kita hanya perlu mengira jumlah pendapatan yang diperoleh.

Situasi: Zeera memperoleh pendapatan sebanyak RM1,700.00 setiap bulan.

Cara pengiraan:
Gaji bulanan = RM1,700.00
Gaji tahunan = RM20,400.00 (RM1,700.00 x 12 bulan)
Jumlah zakat pendapatan = 2.5% x RM20,400.00 (RM510.00 / tahun atau                                                                                            RM42.50 / bulan)

Kaedah tolakan

Melalui cara ini, pengiraan zakat pendapatan adalah berdasarkan jumlah pendapatan bersih iaitu selepas ditolak jumlah pelepasan zakat pendapatan.

Pelepasan zakat pendapatan ini sama seperti pelepasan cukai pendapatan. Kadar pelepasan zakat pendapatan adalah berbeza bagi setiap negeri. Antaranya ialah:

  1. Perbelanjaan asas diri sendiri
  2. Nafkah isteri
  3. Nafkah anak-anak
  4. Pemberian kepada ibu bapa
  5. Caruman KWSP
  6. Caruman kepada institusi kewangan, koperasi dan sebagainya (membayar zakat bagi pihak pencarum atau pendeposit seperti Tabung Haji)

Situasi: Safeer berpendapatan RM3,500.00 sebulan. Beliau mempunyai seorang isteri dan 3 orang anak. Setiap bulan, beliau akan memberikan RM300.00 kepada ibu bapanya. Beliau juga membuat caruman KWSP sebanyak 11% (RM385.00). Malahan, beliau juga membuat simpanan di Tabung Haji sebanyak RM250.00.

Cara pengiraan:
Kadar nisab semasa = RM13,968.00
Jumlah pendapatan tahunan = RM42,000.00 (RM3,500.00 x 12 bulan)
Jumlah pelepasan zakat pendapatan = RM28,220.00
*Diri sendiri = RM 11,000.00
*Isteri = RM3,000.00
*Anak = RM3,000.00(3 orang x RM1,000.00)
*Ibu bapa = RM3,600.00 (RM300.00 x 12 bulan)
*KWSP = RM4,620.00 (RM385.00 x 12 bulan)
*Tabung Haji = RM3,000.00 (RM250.00 x 12 bulan)

Jumlah pendapatan layak zakat = RM42,000.00 – RM28,220.00 = RM13,780.00
Jumlah zakat pendapatan = 2.5% x RM13,780.00 (RM344.50 / tahun atau                                                                                             RM28.71 / bulan)

Kesimpulannya, jika pendapatan layak zakat (RM13,780.00) kurang daripada nisab yang ditetapkan (RM13,968.00), maka Safeer tidak layak mengeluarkan zakat pendapatan.

 

Cara buat semakan pembayaran zakat pendapatan

Anda boleh melawat pautan laman web di bawah untuk mengira zakat pendapatan menggunakan kemudahan kalkulator online.

Negeri Pautan
Wilayah Persekutuan https://www.zakat2u.com.my/kiraan/zakat/pendapatan
Johor https://www.maij.gov.my/cal/index.html
Melaka https://www100.izakat.com/kalkulator/Kalkulator_Pendapatan_2.html
Negeri Sembilan https://www.zakatns.com.my/v5/web/pendapatan.php
Pahang https://www.zakatpahang.my/index.php/kira-zakat/zakat-pendapatan
Perak https://www.maiamp.gov.my/maiamp2/index.php/zakat/kalkulator/kalkulator-zakat-pendapatan.html
Pulau Pinang https://www.zakatpenang.com/zpp/index.php/2013-06-30-10-54-31/2013-06-30-10-59-01/kalkulator-zakat-pendapatan
Kedah https://jom.zakatkedah.com.my/kirazakat/tabkirazakat.php?op=1
Perlis https://www.maips.gov.my/index.php/sudut-ilmu/zakat-001/zakat-gaji
Kelantan https://www.e-maik.my/v2/index.php/ms/e-perkhidmatan-kami/kalkulator-zakat-pendapatan
Terengganu https://www.terengganu.gov.my/maxc2020/baitulmgmt/gen.zakatPendapatan.php
Sabah https://appszakat.sabah.gov.my/kalkulatorPendapatan.php
Sarawak https://www.tbs.org.my/calc-zakat/
Selangor https://www.zakatselangor.com.my/income-zakat/?lang=en

Bayaran zakat pendapatan boleh dikecualikan cukai?

Ya, orang yang bayar zakat pendapatan boleh dapat rebat cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Situasi: Potongan Cukai Berjadual sebulan Nisa ialah sebanyak RM300.00. Beliau bayar zakat sebanyak RM200.00 sebulan.

Contoh pengiraan:
Nilai rebat = RM200.00 (zakat pendapatan)
Baki cukai = RM100.00 (RM300.00 – RM200.00)

Maka, Nisa perlu lunaskan baki bayaran cukai sebanyak RM100.00 kepada pihak LHDN. Buat pengiraan zakat pendapatan betul-betul, supaya boleh memaksimumkan pengecualian cukai.

Bukan bermakna kita bayar zakat hanya untuk elak cukai. Itu salah.

Bulatkan niat dalam hati betul-betul, zakat itu yang nombor satu. Cukai itu nombor dua.

Tempat untuk bayar zakat pendapatan

  1. Kaunter MAIN
  2. Pos (cek / kiriman wang / wang pos / draf bank)
  3. Perbankan Internet (boleh rujuk pautan yang diberikan di atas bagi setiap negeri)
  4. Mesin deposit tunai
  5. Skim potongan gaji bulanan
  6. Kaunter bergerak

Akhir kalam

Diharapkan artikel ini membantu para pembaca yang mungkin keliru tentang cara pengiraan zakat pendapatan. Selain itu, semoga penulisan ini membuka mata anda semua tentang kepentingan membayar zakat tak kiralah zakat pendapatan atau zakat fitrah dan sebagainya.

Islam mewajibkan pengeluaran zakat agar dapat menyuburkan rasa kemanusiaan dan persaudaraan sesama Islam. Secara tak langsung, melalui usaha ini kita dapat bantu golongan fakir dan miskin, mualaf, ibu tunggal, anak yatim piatu, para pelajar dan sebagainya.

Selain kita akan mendapat pahala yang berterusan, zakat membolehkan harta kita berkat dan suci daripada percampuran milik orang lain. Jangan lupa semak jumlah zakat pendapatan yang anda kena bayar.

Kami mohon diperbetulkan jika ada fakta yang salah dan kurang tepat tentang pengiraan zakat pendapatan ini. Kami juga mengalu-alukan juga penambahan informasi baharu untuk rujukan semua.

Jemput baca untuk mengetahui cara bayar fidyah online pula.

Semoga bermanfaat.

1 thought on “Cara Pengiraan Zakat Pendapatan Yang Senang Faham”

  1. Sumber pendapatan iaitu gaji. Wang simpanan juga Dari sumber gaji
    Zakat gaji dah dikira,
    Adakah zakat simpanan yg berasaskan sumber gaji juga perlu dibayar zakat?

    Reply

Leave a Comment