5 Sebab Kenapa Perempuan Senyap (Diam Membisu Seribu Bahasa)

Hari yang indah dan cuaca yang baik, tetapi kenapa perempuan senyap secara tiba-tiba? Kaum perempuan memang terkenal dengan sifat yang ceria dan lebih banyak bercakap daripada kaum lelaki. Tetapi, ada masanya perempuan akan menjadi senyap tanpa sepatah kata seolah-olah ada emas dalam mulut.

Mesti ramai orang terutamanya kaum lelaki yang bergelar suami jadi penasaran dengan situasi perempuan yang tiba-tiba menjadi senyap daripada biasa. Jadi, pada artikel kali ini kami akan mengungkapkan kepada anda sebab-sebab ia boleh berlaku supaya anda tahu dan lebih peka akan keadaan itu.

Izinkan kami berkongsi.

5 sebab kenapa perempuan senyap

Jika anda buntu apa sebab perempuan senyap. Mari ketahui 5 sebab yang boleh menjadi punca utama.

1. Rasa sakit hati dengan lelaki tak kenang budi

Sebagai manusia, kita tidak akan terlepas dari merasakan perasaan yang berbeza-beza termasuklah golongan manusia yang terdiri daripada kaum perempuan.

Ada kalanya mereka akan cuba memendam perasaan sedih dan resah jauh di sudut hati mereka tanpa disedari oleh sesiapa. Apabila semua perasaan telah bercampur aduk, ada segelintir perempuan tidak tahu bagaimana cara untuk mengawal perasaan itu dan menyebabkan mereka menjadi tertekan dan beremosi.

Maka, golongan perempuan seperti ini akan lebih suka memilih untuk senyap dan mendiamkan diri.

Untuk pengetahuan anda, situasi seperti ini sebenarnya adalah tidak sihat untuk kesihatan mental seseorang apatah lagi perempuan yang hatinya mudah tersentuh. Sesungguhnya semua orang memerlukan tempat untuk bersandar dan berkongsi.

Kerana itu, bila terjadi keadaan seperti ini mereka akan merasakan berdiam diri adalah pilihan terbaik. Walhal, sebenarnya mereka memerlukan seseorang untuk meluahkan isi hati mereka.

Jika anda tidak boleh memberikan jalan penyelesaian, cukuplah dengan meminjamkan telinga untuk mendengar agar hati mereka terasa lega dan lebih tenang.

 

2. Overthinking bila lelaki buat hal

Overthinking atau berfikir yang bukan-bukan adalah salah satu sebab kenapa perempuan senyap.

Suka berfikir itu bagus dan sifat yang bijak. Namun, apabila terlalu banyak berfikir sehingga fikiran mula terjerumus ke arah yang bukan-bukan, itu menunjukkan satu tindakan yang tidak sihat untuk minda seseorang.

Perempuan adalah golongan yang sangat kerap berfikir secara berlebihan. Mereka akan menjadi senyap apabila cuba menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang difikirkannya. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pasangan sendiri.

Ini kerana, maklumat di dalam otak mereka bergerak dengan laju di antara otak kiri dan kanan berbanding lelaki yang boleh fokus kepada satu sisi sahaja.

Apabila perempuan banyak berfikir, mereka akan mula menjadi tidak peka akan keadaan sekeliling. Kalau anda ingin tahu, perempuan mempunyai fikiran dan imaginasi yang sangat tinggi sehingga mampu membuatkan mereka stress.

Sebagai contoh, apabila mereka hendak membezakan di antara keperluan membeli makanan dan keinginan membeli kasut ketika membeli belah, mereka akan mengambil masa yang sangat lama untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

Jika ada yang menganggu fikiran mereka pada masa itu, lebih lama masa yang diperlukan untuk memilih jawapan. Mungkin bagi golongan lelaki ia adalah tindakan yang sangat mudah tetapi tidak bagi perempuan.

Tidak hairanlah jika perempuan ini selalu dilabelkan sebagai complicated.

 

3. Rasa bersalah yang teramat sangat, tapi takut nak minta maaf

Jika anda pernah menonton filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck yang diadaptasikan dari karya hebat Hamka. Mesti anda akan tahu petikan dari kata-kata watak utama di dalam filem itu iaitu Zainuddin. Kata-kata yang diungkapkan Zainuddin:

“Demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang pada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walaupun bagaimana besarnya”.

Kalau anda perhatikan bait-bait maksud dari kata-kata itu, benarlah apa yang digambarkan lelaki. Kebanyakan perempuan ada masanya mereka akan senyap apabila merasa bersalah atau melakukan kesalahan.

Daripada meminta maaf dan mengakui  kesilapan mereka, mereka lebih memilih untuk senyap atau berdiam diri agar ego mereka tidak tercalar. Walhal, kelakuan ini seharusnya tidak wujud di dalam diri seseorang apatah lagi perempuan yang sepatutnya penuh dengan sifat sopan santun, akhlak terpuji, dan penuh kelembutan yang diciptakan sangat istimewa oleh Allah.

 

4. Merajuk dengan orang yang dia sayang

Antara sebab lain kenapa perempuan senyap ialah dia dalam tempoh merajuk dan minta dipujuk.

Perempuan itu hatinya mudah rapuh dan jiwanya mudah menangis meski tidak terlihat dari bahasa tubuhnya. Salah satu sebab utama kenapa perempuan senyap adalah ketika mereka memerlukan perhatian dari orang-orang yang disayanginya. Bagi mereka, senyap adalah salah satu cara bagi mengekspresikan perasaan mereka yang inginkan perhatian serta kasih sayang.

Anda jangan fikir lelaki sahaja yang pandai menutup kelemahan mereka, tetapi perempuan juga ada yang mampu lakukannya. Apabila mereka senyap, mereka perlukan orang yang tersayang mengambil berat tentang diri mereka seperti bertanya khabar walaupun hanya sekadar melalui pesanan mesej yang ringkas.

Ketahuilah bahawa ada masanya perempuan tidak jujur dengan perasaan diri sendiri. Hal ini terjadi apabila mereka tidak menyatakan perasaan dan keinginan mereka dengan jelas dan berkias.

Contohnya, apabila mereka hendak makan KFC tetapi mereka mengatakan bahawa mereka tidak kisah makan di tempat lain atau sebaliknya. Ini akan membuatkan keadaan menjadi rumit apabila mereka mula senyap jika tidak dapat makan KFC. Itu tandanya mereka merajuk dan perlukan perhatian untuk dipujuk. Jadi anda memerlukan cara untuk pujuk perempuan merajuk.

 

5. Marah dan bad mood

Senyap juga boleh menjadi satu petanda bahawa mereka sedang marah atau bad mood mengenai sesuatu yang tidak terjadi seperti yang mereka inginkan.

Terdapat sesetengah perempuan yang suka akan kesempurnaan dalam sesuatu perkara yang mereka lakukan. Sekiranya apa yang mereka rancang tidak berjalan lancar atau sebaliknya, mereka akan mula hilang mood dan akan menjadi senyap secara tiba-tiba. Jadi, seperti anda sedia maklum bahawa sedih juga bukanlah satu-satunya punca untuk membuatkan perempuan senyap.

Ada juga ketika mereka didatangi haid dan merasakan tidak sedap badan, mereka akan menjadi senyap kerana badan mereka merasa lemah dan tidak bersemangat seperti selalu.

Apabila haid, bukan fizikal mereka sahaja yang terbabit malah mental mereka juga akan merasakan tidak bermaya untuk bercakap dengan sesiapa. Oleh itu, jalan terbaik bagi mereka adalah untuk menjadi senyap.

 

Akhir kalam

Perempuan adalah makhluk yang sukar untuk difahami. Mereka juga tidak dapat memahami diri sendiri dengan baik. Ianya ibarat cuba untuk menghentikan ombak laut yang tiada hentinya. Namun begitu, jika terdapat perkara yang harus diperbaiki, bimbinglah mereka ke arah yang lebih baik seperti dalam petikan dari HR.Muslim:

“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita yang solehah”.

Semoga dengan perkongsian sebab kenapa perempuan senyap ini dapat memberikan panduan kepada anda yang ingin memahaminya.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment