Kenapa MyKid Lambat Siap?

Ramai ibu-bapa yang tertanya-tanya kenapa MyKid lambat siap, sedangkan permohonan dibuat sejurus anak dilahirkan.

Bagi yang tidak tahu, susulan masalah kekurangan bekalan mikrocip yang berlaku di peringkat global sejak pandemik Covid-19, pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak MyKid bagi bayi baharu lahir di negara ini telah ditangguhkan selama enam bulan.

Walau bagaimanapun, proses permohonan baharu masih diteruskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Ibu bapa perlu bersedia untuk menunggu tempoh masa yang lebih lama kerana JPN akan menyelesaikan permohonan secara berperingkat.

Menurut Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh, ibu bapa boleh menggunakan dokumen surat beranak sebagai dokumen pengenalan diri yang sah untuk urusan harian anak-anak mereka yang masih belum mempunyai kad pengenalan kanak-kanak MyKid. Beliau juga meminta agensi kerajaan dan swasta agar menerima sijil kelahiran sebagai dokumen pengenalan diri yang sah untuk sebarang urusan kanak-kanak.

JPN juga telah mengadakan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) untuk memudahkan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran bagi golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan penduduk di pendalaman. Program ini diperkenalkan pada tahun 2013 dan telah berjaya membantu 292,999 permohonan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Di Melaka, 78 program seumpama ini telah dijalankan dan berjaya membantu 212 pemohon. Pada tahun ini, JPN menyasarkan untuk memproses sekitar 300 hingga 400 pemohonan melalui 100 program seumpama ini.

Rohana Ariffin, seorang nenek yang juga penjaga seorang kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) yang menerima kad pengenalan (MyKad) melalui program MEKAR mengaku berpuas hati dengan program tersebut kerana memudahkan urusan mereka sekeluarga untuk proses permohonan MyKad cucunya. Dia berterima kasih kepada pasukan Unit Mekar JPN Melaka yang telah memproses permohonan dokumen dalam tempoh yang singkat.

Sumber: Harian Metro

Leave a Comment