Jika anda ialah golongan yang bekerja sendiri, anda boleh mencarum dengan menggunakan iPerkeso (kini dikenali dengan Perkeso MATRIX. Usah risau, kami akan kongsikan cara login iPerkso untuk memudahkan urusan anda.
Langkau artikel ini untuk baca mengenai Perkeso Assist Portal. Dan jika terlupa nombor PERKESO, sila rujuk cara mengetahui nombor SOCSO.
Sedikit sebanyak mengenai Perkeso
PERKESO merupakan Pertubuhan Keselamatan Sosial. Ia merupakan satu pertubuhan yang diamanahkan untuk melaksanakan atau menguatkuasakan akta dan peraturan seperti Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Peraturan-peraturan (Am) Sosial Pekerja 1971, Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Di bawah akta dan peraturan yang dinyatakan di atas, PERKESO memberikan jaminan melibatkan rawatan perubatan percuma, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional serta faedah kewangan kepada pekerja yang menjadi pencarum, jika mereka mengalami kehilangan upaya akibat disebabkan kemalangan ataupun mengidap penyakit yang menyebabkan mereka kekurangan upaya untuk bekerja ataupun tidak upaya langsung untuk bekerja lagi.
Tetapi adakah PERKESO hanya memberikan pelindungan kepada individu yang bekerja dengan sesebuah syarikat sahaja?
Bagaimana pula dengan individu yang bekerja sendiri? Takkan tidak terdapat sebarang jaminan?
Bertenang, sudah tentu ada dengan iPerkeso.
Mengenai iPerkeso (Perkeso MATRIX)
Melalui MATRIX adalah satu projek yang inovatif yang diusahakan oleh PERKESO. Ia memberikan kemudahan kepada individu yang bekerja sendiri untuk mendaftar dan membuat semakan status caruman mereka.
Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri diwujudkan untuk memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Pada permulaan MATRIX atau sebelum ini dikenali sebagai iPerkeso, diwajibkan ke atas Sektor Pengangkutan Penumpang seperti pemandu teksi, e-hailing dan pemandu bas yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2017.
Sekarang, skim perlindungan ini telah diperluaskan kepada 19 sektor pekerjaan sendiri seperti:
- Pengangkutan barangan dan makanan
- Perniagaan online
- Pertanian
- Penternakan
- Perhutanan
- Perikanan
- Makanan
- Pembuatan
- Pembinaan
- Penjaja
- Penjagaan perawatan dan pemulihan K\kesihatan
- Teknologi maklumat
- Perkhidmatan isi rumah
- Kesenian
- Perkhidmatan sokongan
- Perkhidmatan profesional
- Ejen
- Pemprosesan data
- Premis penginapan
Bagi individu yang bekerja sendiri dan mencarum di bawah skim ini akan mendapat perlindungan bermula dari tarikh dan masa caruman dibayar dan diperakui menerusi resit bayaran caruman.
Skim ini akan memberikan perlindungan kepada individu berinsurans bekerja sendiri daripada bencana pekerjaan termasuk melibatkan penyakit dan kemalangan yang berlaku semasa menjalankan tugasan pekerjaan.
Individu yang layak untuk membuat caruman MATRIX ini adalah warganegara Malaysia atau individu permastautin tetap tanpa mengira had usia dan menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah.
Cara untuk menjadi pencarum iPerkeso
Melalui MATRIX ini ia memberikan kemudahan kepada pencarum yang bekerja sendiri untuk melakukan transaksi caruman mereka dalam talian. Ini bermakna individu yang bekerja sendiri boleh melakukan pendaftaran dan pembayaran secara atas talian melalui laman sesawang MATRIX.
Tidak tahu bagaimana untuk mendaftar? Tidak mengapa, pastinya melalui perkongsian artikel ini kami akan cuba membantu anda melalui penerangan ringkas di bawah.
Cara login kali pertama iPerkeso
- Langkah pertama sekali anda perlu pergi ke masuk ke laman web Portal MATRIX untuk log masuk.
- Klik pada “Kali Pertama? Daftar akaun MATRIX “
- Isikan semua maklumat yang diperlukan. Kemudian klik pada kotak saya bersetuju dan telah membaca Terma dan Syarat serta kotak ‘Saya bukan robot ‘.
- Masukkan ungkapan Captcha yang tertera dan klik ‘Seterusnya’.
- OTP akan dihantar ke nombor telefon anda. Masukkan nombor OTP yang anda terima dan klik pada ;Seterusnya’.
- Sekiranya OTP berjaya, mesej Pendaftaran berjaya akan dipaparkan. Anda akan menerima pautan verifikasi (pengesahan) yang dihantar ke Emel anda.
Cara daftar dan buat caruman iPerkeso
- Menerusi emel diterima, klik pada ‘disini’ atau klik pada URL di bawah, pautan tersebut akan membawa anda ke laman sesawang MATRIX untuk melengkapkan proses pengaktifan.
- Pautan tersebut akan membawa anda ke satu paparan. Anda perlu mengisi Ungkapan Rahsia, Kata Laluan dan Pengesahan Kata Laluan.
- Klik pada ‘Seterusnya’ dan anda telah berjaya mendaftar akaun MATRIX.
- Masukkan nombor kad pengenalan anda yang telah berdaftar dan klik pada ‘Seterusnya’.
- Semak Ungkapan Rahsia dan pastikan ia betul. Kemudian masukkan Kata Laluan dan klik pada ‘Log Masuk’.
- Apabila anda berjaya log masuk ke sistem, pilih mod ‘Saya bekerja sendiri’.
- Klik ‘Daftar’ di panel Pendaftaran & Caruman dan anda akan dibawa ke halaman pendaftaran caruman.
- Pada halaman pendaftaran, pilih salah satu sektor dari senarai dan klik ‘Hantar’.
- Isikan maklumat diperlukan dan muat naik dokumen diperlukan.
- Pilih ‘Pelan Caruman’ dan tempoh perlindungan anda pada ruang ‘Bulan Caruman’. Pastikan anda telah membaca dan klik pada ‘Terma dan Syarat’.
Cara bayar iPerkeso
- Klik Hantar & Bayar. (Untuk makluman, segalam maklumat yang telah dihantar adalah muktamad, sebarang pindaan hanya boleh dibuat oleh PERKESO).
- Kemudian akan keluar paparan untuk anda memilih saluran ‘Perbankan Internet’ dan klik pilihan ‘Bayar dengan FPX’. Sebelum itu, pastikan anda telah membaca dan tanda pada kotak Terma dan Syarat.
- Senarai pilihan bank akan dikeluarkan dengan klik pada ‘Pilih Bank’ dan klik ‘Bayar dengan FPX’.
- Log masuk menggunakan ‘Nama Pengguna’ dan ‘Kata Laluan’ anda. Selesaikan urusan pembayaran atau transaksi.
- Setelah bayaran berjaya dibuat, resit pembayaran caruman boleh dimuat turun. Ini sekali bermakna perlindungan ke atas anda sudah bermula.
Manfaat menjadi pencarum MATRIX
Sudah pasti apabila anda menjadi pencarum, ada faedah yang menanti anda, antaranya adalah:
Faedah perubatan iPerkeso
Individu yang menjadi pencarum yang ditimpa bencana pekerjaan sendiri boleh:
- Mendapat rawatan perubatan secara percuma di klinik panel PERKESO atau klinik mahupun hospital Kerajaan, atau
- Membuat tuntutan bayaran ganti belanja kos rawatan di Pejabat PERKESO
Faedah hilang upaya sementara
Akan dibayar kepada individu bekerja sendiri yang menjadi pencarum dan ditimpa bencana pekerjaan sendiri sepanjang tempoh cuti sakit yang disahkan doktor. Tempoh cuti sakit harus sekurang-kurangnya empat hari termasuk hari kemalangan atau bencana berlaku.
Faedah hilang upaya kekal
Bererti individu yang mencarum hilang keupayaan secara kekal hingga menjejaskan keupayaannya untuk melakukan pekerjaan. Tuntutan boleh dilakukan selepas tamat tempoh cuti sakit.
Elaun layanan sentiasa
Diberikan kepada individu pencarum bekerja sendiri yang tidak mempunyai daya pada tahap kritikal disebabkan bencana pekerjaan sendiri sehingga memerlukan bantuan daripada individu lain.
Faedah orang tanggungan
Faedah PERKESO ini dibayar kepada individu yang menjadi tanggungan yang layak sekiranya pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri. Individu yang menjadi tanggungan yang layak adalah balu atau duda dan anak berusia 21 tahun ke bawah.
Sekiranya tiada balu, duda mahupun anak, ibu atau bapa, ataupun adik-beradik yang berusia di bawah 21 tahun serta datuk nenek menjadi individu layak untuk menerima faedah ini. Faedah ini akan diterima sepanjang hayat bagi balu, duda, ibu/bapa atau datuk/nenek.
Faedah pengurusan mayat
Sejumlah RM2,000 akan dibayar kepada individu yang menjadi tanggungan yang layak jika pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan sendiri atau semasa menerima faedah hilang upaya.
Kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional
Pencarum akan menerima kemudahan seperti:
- Kemudahan pemulihan dan vokasional secara percuma
- Pemulihan jasmani seperti fisioterapi, pembedahan rekonstruktif, anggota tiruan, rawatan hemodialisis, kerusi roda, tilam khas, tongkat dan lain-lain
- Kemudahan vokasional seperti latihan dalam bidang elektrikal, jahitan, membaiki radio dan lain-lain
Faedah pendidikan
Merupakan satu kemudahan dalam bentuk pinjaman atau biasiswa yang diberikan kepada anak pencarum skim MATRIX ini, sekiranya pencarum mati akibat bencana pekerjaan sendiri atau menerima bayaran berkala faedah hilang upaya kekal dan memenuhi syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.
Beza iPERKESO dan Assist PERKESO
Mungkin ada yang pernah membaca perkongsian artikel mengenai Assist PERKESO dan keliru mengenai kedua-dua skim ini, bukan? Secara ringkasnya, Assist PERKESO adalah satu portal yang dibangunkan untuk memudahkan majikan menguruskan maklumat berkaitan syarikat, pekerja dan caruman bulanan PERKESO.
Manakala iPERKESO yang kini dikenali sebagai MATRIX merupakan satu portal yang dicipta untuk individu yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai pekerja. Ia adalah untuk memberikan kemudahan kepada individu bekerja sendiri untuk mendapatkan pelindungan yang sama individu yang bekerja di bawah sesebuah syarikat, okay?
Akhir kalam
Jika anda bekerja sendiri, Perkeso MATRIX (yang dahulunya dikenali dengan nama iPerkeso) merupakan satu pilihan terbaik sebagai jaminan perlindungan pekerjaan anda. Jangan terlalu berkira untuk membuat pelaburan kecil demi masa depan anda kerana kita tidak tahu apa yang bakal mendatang.
Hari ini kita mungkin sihat dan cergas, tetapi esok? Tiada siapa yang boleh menduga. Bukankah lebih baik anda bersedia dengan payung sebelum hujan tiba?
Fikir-fikirkanlah.
Semoga bermanfaat.
I perkeso
Memohon menjadi Ahli Perlindungan Perkeso dalam Pekerjaan Domestik