Kadar Pengagihan Pendapatan 6% untuk Dana BIMB ESG Sukuk

BIMB Investment Management Berhad (BIMB Investment), anak syarikat milik penuh Bank Islam Malaysia Berhad, telah mengisytiharkan pengagihan pendapatan untuk Dana BIMB ESG Sukuk bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2020 seperti berikut:

Kelas Unit Denominasi Mata Wang Hasil Agihan Pendapatan (%)
Kelas A Denominasi dalam Ringgit Malaysia (RM) 6.01
Kelas B Denominasi dalam Dolar AS (USD) 6.00
Kelas C Denominasi dalam Dolar Singapura (SGD) 6.02
Kelas D Denominasi dalam Ringgit Malaysia (RM) 6.01
Kelas E Denominasi dalam Dolar AS (USD) 6.00

“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada para pelabur atas sokongan dan pelaburan yang berterusan dalam Dana BIMB ESG Sukuk yang telah memberikan kadar pengagihan pendapatan sebanyak 6%. Terdapat banyak dana Sukuk yang kebanyakkannya berdasarkan pada penilaian kredit. Kami telah membuat penilaiantambahan, iaitu skor ESG dan UNGC (United Nations Global Compact), yang akan menambahkan keselesaan kepada para pelabur. Sukuk mempunyai risiko pelaburan yang lebih rendah berbanding saham,” kata Pengerusi BIMB Investment, Mohamed Ridza bin Mohamed Abdulla.

Agihan pendapatan dana BIMB ESG Sukuk melebihi sasaran 5%

Kadar pengagihan pendapatan melebihi sasaran penanda arasnya iaitu 5%. Ianya lebih tinggi daripada kadar pengagihan pendapatan tahun lalu sebanyak 4.12% untuk kelas denominasi RM, 4.04% untuk kelas denominasi SGD dan 4.08% untuk kelas denominasi USD.

Dana ini menawarkan pelaburan dalam kelas denominasi RM, SGD dan USD pada 1.25 sen seunit. Dana ini memberi peluang kepada para pelabur untuk melabur di dalam Sukuk domestik, serantau dan global. Jumlah pelaburan minimum adalah sebanyak RM1,000.

Dana ini diperkenalkan pada Disember 2017, Dana Shariah Sukuk ESG pertama di Malaysia oleh BIMB Investment yang diluluskan di bawah garis panduan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

“Beberapa tahun kebelakangan ini, pemegang saham mengalami kerugian besar berikutan risiko peristiwa ESG. Selain COVID-19, kesan negatif terhadap alam sekitar dan sosial akibat tumpahan minyak, sisa buangan dari kilang, peningkatan pelepasan karbon, dan produk yang tidak selamat boleh membawa maut, mengakibatkan kos yang berat bagi pemegang saham. Tambahan lagi, kawalan tadbir urus dan perakaunan yang lemah dapat menjejaskan kejayaan sesebuah perniagaan yang bercirikan mampan, kelebihan daya saing dan prospek pertumbuhan jangka panjang. Kami percaya dengan adanya ESG secara menyeluruh, kami dapat mengurangkan risiko ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Investment, Najmuddin Mohd Lutfi.

Beliau menambah, “Pelaburan mampan dan tanggungjawab sosial menjadi peluang terbesar untuk dimanfaatkan, dan COVID-19 akan mempercepatkan agenda pelaburan lestari. Kajian yang telah dilakukan pada beberapa tahun yang lalu menunjukkan kesan positif dan berterusan terhadap kejayaan kewangan jangka panjang syarikat, sekaligus menghasilkan pulangan positif kepada pelabur dalam jangka panjang. ”

Dana ini menggabungkan prinsip patuh Shariah dan faktor Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) dalam kriteria pemilihannya. Dana ini menggunakan teknologi Arabesque S-Ray dalam penyaringan ESGnya yang menggabungkan lebih daripada 200 metrik ESG dengan berita dan isyarat data daripada lebih 50,000 sumber dalam 15 bahasa secara sistematik. Penerbitan Sukuk dinilai prestasinya berdasarkan prinsip normatif United Nations Global Impact (UNGC), iaitu hak asasi manusia, hak buruh, alam sekitar dan anti-rasuah.

Selain profil risiko kredit dan prestasi kewangan, prestasi ESG penerbit Sukuk turut dianalisis. Analisis ESG memberikan pemahaman dan indikasi wawasan mengenai kualiti pengurusan syarikat serta kedudukannya untuk kejayaan jangka panjang.

Dana ini melabur di dalam Sukuk yang dinilai sekurang-kurangnya A3 atau Sukuk denominasi ringgit yang dinilai sekurang-kurangnya P1 oleh RAM Rating Services Bhd. Untuk Sukuk bukan denominasi ringgit, Dana melabur di dalam Sukuk yang dinilai sekurang-kurangnya BBB- atau A3 oleh Standard & Poor’s, atau penilaian setaraf oleh agensi penilaian yang lain.

BIMB Investment adalah satu-satunya Pengurus Aset Islam yang disokong bank di Asia Tenggara yang menjadi pemateri Prinsip Pelaburan Bertanggungjawab yang disokong oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNPRI).

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Dana, sila hubungi 1-800-88-1196 atau layari www.bimbinvestment.com.my

Leave a Comment