Cara Buat Semakan KWSP Online (Maklumat Mengenai KWSP)

KWSP ialah skim pencen yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 1991. Objektif utamanya ialah untuk membantu masyarakat supaya mempunyai simpanan pada hari tua kelak. Jadi pada hari ini kami akan berkongsi dengan anda tentang cara buat semakan KWSP online agar dapat memudahkan urusan anda.

Cara Buat Semakan KWSP Online

Penulisan kali ini ialah untuk mendidik masyarakat cara untuk membuat semakan penyata KWSP secara online. Pada zaman serba canggih ini, anda tidak perlulah ke kaunter, kiosk atau pejabat KWSP untuk menyemak penyata KWSP anda. Semuanya terletak di hujung jari sahaja.

Sebelum menghuraikan lebih lanjut tentang topik ini, penulis ingin memberikan 5 fakta tentang KWSP yang anda perlu tahu.

1. Ingat, bukan anda sahaja yang perlu menyumbangkan sejumlah gaji untuk tujuan pemotongan KWSP tetapi pihak majikan juga diwajibkan. Maksudnya, gaji anda lebih daripada yang tertulis dalam slip gaji!

  • Majikan anda perlu memperuntukkan 13% daripada gaji kasar anda (jika gaji di bawah RM5,000) dan 12% (jika gaji melebihi RM5,000). Manakala, gaji pekerja akan dipotong sebanyak 11%. Beruntungkan?

2. Jika anda mempunyai kesedaran yang tinggi untuk menyimpan wang di KWSP, anda boleh membuat pemotongan lebih daripada 11%.

3. Anda boleh mengeluarkan wang simpanan anda sebelum umur 55 tahun (umur persaraan) dengan syarat tertentu. Tahukah anda terdapat 17 jenis pengeluaran KWSP yang boleh dilakukan sebelum pencen? Antaranya ialah:

  • Pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun
  • Baki pinjaman perumahan, ansuran bulanan pinjaman dan membina rumah
  • Pengeluaran hilang upaya
  • Pengeluaran meninggalkan Malaysia
  • Pembiayaan pendidikan
  • Pengeluaran pekerja berpencen dan pesara pilihan
  • Kematian

4. Terkini, kerajaan telah memperkenalkan skim terbaharu iaitu KWSP Suri Rumah. Skim ini bermaksud setiap suami wajib mencarum 2% daripada gaji bulanan untuk isteri mereka.

5. Pencarum KWSP juga mendapat manfaat lain seperti dividen sebanyak 2.5%, bayaran ketidakmampuan, kematian dan pengecualian cukai.

 

Siapa yang wajib mencarum?

Pekerja di bawah suatu kontrak perkhidmatan atau perantisannya yang perihalnya tidak dimasukkan dalam Jadual Pertama, Seksyen 2, Akta KWSP 1991.

 

Siapa yang tidak wajib mencarum?

Terdapat beberapa kelompok yang tidak diwajibkan untuk membuat caruman KWSP, iaitu:

  1. Orang Asli Nomad kecuali atas arahan Ketua Pengarah Jabatan Orang Asli.
  2. Orang gaji domestik yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273], kecuali atas beberapa sebab yang lain.
  3. Pekerja luar yang ditakrifkan dalam Seksyen 3 Akta Pampasan Pekerja 1952 [Akta 273].
  4. Individu yang ditahan di mana-mana penjara, sekolah juvana, hospital mental dan pusat serenti dan sebagainya.
  5. Anggota Pentadbiran Kerajaan (Rujuk Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan).
  6. Warganegara asing yang tidak mahu mencarum.
  7. Pekerja yang telah berumur 75 tahun.

 

Cara menjadi ahli

Terdapat beberapa cara untuk mendaftar menjadi ahli KWSP, iaitu:

  1. Automatik- Apabila majikan membuat caruman pertama, anda telah menjadi ahli secara automatik.
  2. Kaunter- Anda boleh menggunakan MyKad di mana-mana kaunter KWSP.
  3. i-Akaun Majikan- Majikan boleh mendaftarkan pekerjanya sebagai ahli KWSP melalui i-Akaun (majikan) dengan mengisi maklumat mereka. Pekerja akan menerima notifikasi dan nombor ahli KWSP jika pendaftaran berjaya.
  4. Kiosk- Anda boleh mendaftar di mana-mana Kiosk KWSP dengan menggunakan MyKad dan pengesahan cap ibu jari.

 

Makluman Penting

Cara buat semakan kwsp online adalah setiap pencarum akan menerima nombor ahli KWSP yang unik. Nombor yang sama ini juga merupakan nombor akaun KWSP anda yang akan digunakan dalam semua urusan KWSP. Oleh itu, menjadi tanggungjawab anda untuk memberikan nombor ahli anda majikan yang baharu. Tujuannya supaya bayaran caruman dapat dikreditkan tanpa sebarang masalah dan tepat ke dalam akaun KWSP.

 

Cara daftar i-Akaun KWSP

Untuk ahli, anda boleh ke kiosk atau kaunter KWSP. Cara lain ialah anda boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-89226000 untuk mendapatkan Kod Pengaktifan menggunakan nombor kad pengenalan.

Kemudian, layari laman web KWSP iaitu www.kwsp.gov.my. Seterusnya klik pada Login Ke i-Akaun untuk aktifkan I-Akaun menggunakan Kod Pengaktifan yang diberikan dalam tempoh 30 hari.

 

Cara hubungi

Para pengguna boleh menghubungi pihak KWSP di talian 03-89226000 atau melalui faks 03-89226222. Masa operasi ialah dari hari Isnin hingga Jumaat iaitu 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

 

Bagaimana caruman dilakukan?

Caruman wajib ditentukan berdasarkan pendapatan bulanan mengikut Kadar Caruman Bulanan (Jadual Ketiga). Caruman ini ini merupakan jumlah syer majikan dan pekerja.

Caruman ini akan terus dikreditkan ke dalam akauan KWSP dan dibahagikan kepada dua akaun. Akaun 1 akan dicarumkan 70% dan Akaun 2 pula sebanyak 30% daripada jumlah caruman.

Manakala mulai 1 Januari 2017, pencarum yang telah mencapai umur 55 tahun dan masih bekerja akan mempunyai dua akaun iaitu Akaun Emas dan Akaun 55.

 

Apa yang perlu ahli dan majikan lakukan?

Setiap bulan, majikan seharusnya memberikan anda slip gaji untuk memudahkan anda menyemak potongan KWSP. Penyata ini juga boleh digunakan oleh pihak KWSP sebagai bukti caruman dilakukan oleh majikan. Oleh itu, anda perlu menyemak slip gaji anda dan menyimpannya dengan baik sebagai rujukan.

 

Maklumat yang perlu ada dalam penyata gaji

Pastikan terdapat maklumat-maklumat penting ini, iaitu:

  • Nama penuh
  • Nombor ahli KWSP
  • Jantina
  • Nombor MyKad
  • Nombor pasport / kewarganegaraan (jika bukan rakyat Malaysia)
  • Tempoh bayaran gaji
  • Jumlah gaji
  • Maklumat pembayaran lain (bonus, elaun, insentif dan sebagainya)
  • Jumlah caruman KWSP (majikan dan pekerja)
  • Nombor rujukan majikan
  • Maklumat majikan atau wakil (tandatangan, tarikh slip dikeluarkan dan sebagainya)
  • Kaedah bayaran gaji (harian, mingguan atau bulanan)
  • Tarikh bayaran gaji

Sekiranya anda pengguna KWSP online dan ingin mendapatkan maklumat mengenai cara mengeluarkan wang KWSP untuk pemabayaran hutang rumah, kami ada sediakan panduan ringkas dan mudah buat rujukan anda.

 

Caruman yang wajib

Anda perlu pastikan caruman wajib yang dilakukan oleh majikan tepat, antaranya:

  • Gaji
  • Tunggakan gaji
  • Bonus
  • Elaun
  • Komisen
  • Bayaran bagi cuti rehat dan cuti sakit yang tidak digunakan
  • Insentif
  • Upah separuh gaji
  • Upah cuti bersalin
  • Upah cuti belajar
  • Bayaran-bayaran lain di bawah kontrak perkhidmatan

 

Caruman yang tidak wajib

Terdapat juga bayaran yang tidak wajib bagi caruman, iaitu:

  • Caj perkhidmatan
  • Bayaran kerja lebih masa
  • Ganjaran
  • Faedah pencen
  • Faedah pengurangan pekerja, pemberhentian sementara atau penamatan
  • Elaun atau konsesi perjalanan
  • Bayaran sebagai ganti notis penamatan perkhidmatan

 

Tanggungjawab ahli KWSP

Sebagai ahli yang pintar, anda seharusnya tidak bulat-bulat menerima slip gaji bulanan tanpa melakukan beberapa tindakan penting. Perkara ini penting untuk melindungi hak anda sebagai seorang pekerja.

Apa yang perlu anda buat?

Semak caruman anda

Semaklah potongan caruman melalui Penyata Ahli atau i-Akaun Ahli.

Penyata gaji

Sentiasa semak slip gaji dan simpan sepanjang tempoh anda bekerja di syarikat tersebut. Jika ada tunggakan dan sebarang kemusykilan tentang caruman, segera         membuat aduan.

Jika majikan gagal mencarum

Majikan tidak boleh membuat pemotongan syer daripada pekerja selepas tempoh 6 bulan. Maksudnya, kedua-dua caruman pekerja dan majikan perlu ditanggung       oleh majikan bersama-sama dividen yang sepatutnya diterima oleh pekerja.

 

Boleh buat caruman sendiri?

Sudah tentu. Penyertaan sukarela sangat dituntut untuk jaminan masa depan.

 

Siapa yang boleh buat caruman sendiri?

  1. Pembantu domestik
  2. Pemilik tunggal / rakan kongsi / pekerja berpencen
  3. Skim pengeluaran meninggalkan negara

 

Syarat dan kelayakan caruman sendiri

  1. Warganegara Malaysia
  2. Ahli KWSP

 

Cara buat caruman sendiri

  1. Mengisi borang Bayaran Caruman Pilihan Sendiri KWSP 6A (1)
  2. Pembayaran melalui perbankan Internet, tunai, cek dan draf bank.

 

Saluran pembayaran

  1. Perbankan Internet- Pemindahan wang secara elektronik
  2. Kaunter ejen bank- Secara tunai atau cek
  3. Kaunter KWSP- Hanya secara tunai iaitu maksimum RM500 atau cek

 

Akhir kalam

Penulisan artikel ini diharapkan dapat memudahkan pembaca untuk mengetahui hak-hak sebagai seorang pekerja, ahli KWSP dan juga cara mengakses KWSP online. Semoga manfaatnya dapat dikongsikan bersama dan seterusnya mengubah mentaliti masyarakat tentang caruman KWSP.

Dalam berseronok-seronok membelanjakan gaji yang diterima, kadang-kala kita terleka untuk membuat simpanan. Simpanan ini bukan sahaja berguna untuk kita tetapi juga keluarga khasnya dan masyarakat, amnya. Itulah harapan utama kerajaan mewujudkan KWSP iaitu agar masyarakat mempunyai simpanan wang persaraan yang secukupnya.

Jika ada kesilapan atau penyimpangan fakta dan informasi yang tidak benar, diharapkan dapat memberi teguran. Kami mengalu-alukan juga penambahan fakta baharu untuk rujukan semua.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment