BSN SSP Lahirkan 83 Orang Jutawan Sijil Simpanan Premium

Bank Simpanan Nasional (BSN) berjaya dalam menghasilkan sebanyak 83 orang jutawan melalui skim simpanan BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP). Skim ini telah diperkenalkan selama 45 tahun yang lalu dan mendapat sambutan yang positif daripada rakyat Malaysia, dengan jumlah simpanan yang direkodkan hampir RM5 bilion sehingga Disember 2022.

Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil, menyatakan bahawa BSN telah memperkenalkan pelbagai kategori cabutan dan hadiah yang menarik untuk tahun 2023. Terdapat Cabutan Jutawan April 2023 yang dikhaskan untuk guru, Cabutan Jutawan Ogos 2023 untuk pekerja barisan hadapan dan Cabutan Jutawan November untuk pelanggan setia yang telah menyimpan sekurang-kurangnya 20 tahun. Untuk melayakkan pelanggan berpeluang untuk menang cabutan, pelanggan perlu menambah simpanan minimum RM3,000 bagi tahun ini.

Selain itu, BSN turut menawarkan Cabutan Jutawan Bonanza pada bulan Disember 2023 ini yang menawarkan sebuah kereta BMW X5 berserta hadiah BSN SSP bernilai RM1 juta.

BSN juga menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk kategori cabutan lain seperti Cabutan Bulanan, Cabutan Wilayah, Cabutan Penyimpan Muda, Cabutan Kesetiaan, Cabutan Penyimpan Baharu, Cabutan Guru, Cabutan Akaun Gaji, Cabutan Kasih dan Cabutan Simpanan Konsisten.

BSN SSP juga menawarkan kebaikan 3 dalam 1, iaitu menyimpan, menang hadiah dan peroleh kadar keuntungan simpanan menarik sehingga 2.40 peratus setahun melalui BSN SSP Platinum. Pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian menerusi kaunter cawangan BSN, mesin taler automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM), perbankan internet myBSN, cawangan bank bergerak (CBB) atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN). Pelanggan baru juga boleh membuat simpanan BSN SSP melalui kaunter cawangan BSN di seluruh negara.

Untuk semakan senarai pemenang, pelanggan boleh layari laman sesawang www.bsn.com.my atau laman Facebook dan Instagram rasmi BSN. Seorang pesara berumur 62 tahun dari Melaka telah di umumkan sebagai pemenang cabutan BSN SSP bagi bulan Disember 2022 hasil simpanan pada 2021.

Sumber: Sinar Harian

Leave a Comment