Apa Itu CTOS? (20 Perkara & Fakta Yang Anda Perlu Tahu)

Tahukah anda CTOS tidak pernah menyenaraihitamkan mana-mana individu? Jadi pada hari ini kami akan kongsikan dengan anda tentang apa itu CTOS dan fakta ringkas yang anda perlu ketahui tentang CTOS.

20 fakta berkenaan CTOS yang perlu anda ambil tahu

Berikut adalah maksud apa itu CTOS dan 20 fakta tentang CTOS supaya lebih jelas apa dan bagaimana CTOS memainkan peranannya dalam urusan sistem kewangan kita.

Kepada anda yang ingin mengetahui tentang cara login CTOS, kami ada sediakan panduan ringkas buat rujukan anda.

1- Apa itu CTOS?

Apa itu CTOS? CTOS adalah singkatan yang bermaksud Credit Tip Off Service itu sebuah perkhidmatan yang memberi maklumat rahsia berkenaan kredit seseorang.

 

2-CTOS bukan agen kerajaan

CTOS dikendalikan oleh syarikat swasta yang berdaftar dan bukanlah di bawah pentadbiran mana-mana badan kerajaan.  CTOS Sdn Bhd ditubuhkan di bawah skop Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (Credit Reporting Agencies Act 2010).

 

3-CTOS bukan senarai blacklisted

CTOS mengumpul maklumat dan menyediakan laporan kredit seseorang individu untuk kegunaan institusi kewangan. Ia hanya melaporkan keadaan kredit individu berkenaan.

Ia tidak berhak dan tidak pernah menyenaraihitamkan atau blacklist mana-mana individu.

Melalui laporan CTOS itu, institusi kewangan boleh menganalisa dan mengira risiko yang akan dihadapi dalam meluluskan atau menolak permohonan pinjaman seseorang.

 

4-Apa yang CTOS laporkan?

Daripada sumber awam yang diambil oleh pihak CTOS, institusi kewangan dan individu berkaitan boleh mendapatkan laporan CTOS yang mempunyai maklumat seperti sejarah kredit seseorang individu, kaedah dan cara perbelanjaan serta hutang berbaki yang ada, trending gaya pembayaran, kaitan dengan perihal undang-undang, pemilikan syarikat dan risiko yang ditanggung.

Laporan CTOS adalah refleks kepada keadaan kredit seseorang samada positif atau negatif.

 

5-Adakah satu masalah besar jika individu mempunyai rekod laporan CTOS?

Ini adalah satu tanggapan yang salah sama sekali. Mempunyai rekod dan laporan CTOS tidak bermakna anda menghadapi masalah yang besar.

 

6-Dari mana sumber laporan CTOS?

Bagi menghasilkan laporan CTOS, CTOS Sdn Bhd mendapatkan data dan maklumat dari sumber awam seperti:

  • Jabatan Pendaftaran Negara
  • Jabatan Insolvensi Malaysia
  • Bank Negara Malaysia
  • Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
  • Penerbitan prosiding undang-undang, makluman di akhbar tempatan dan warta kerajaan.

 

9-Siapa yang memerlukan CTOS?

  1. Institusi kewangan dan perbankan untuk permohonan pinjaman, buka akaun dan memdapatkan portfolio individu
  2. Pemilik industri kecil (SME) untuk memantau rakan niaga dan industri
  3. Pengguna individu untuk melihat dan memantau laporan sendiri

 

8-CTOS khusus untuk institusi kewangan

Tidak benar.

Anda, sebagai individu yang terlibat boleh mendapatkan laporan CTOS, malah mengisi ruangan komen untuk menyatakan keadaan sebenar laporan kredit yang dilaporkan.

 

9-Bagaimana hendak mendapatkan laporan CTOS untuk diri sendiri?

Anda perlukan MyKad dan mendaftar di website CTOS dan isi butiran yang diperlukan. Anda akan diberikan kod TAC dan e-mail untuk pengesahan.

Selepas proses pengesahan, pihak CTOS memerlukan lebih kurang 3 hari bekerja untuk mengaktifkan akaun anda.

 

10-Adakah perkhidmatan CTOS percuma?

Anda akan diberi CTOS ID dan laporan lengkap yang pertama secara percuma.

Bagi mendapat laporan berikutnya, bayaran akan dikenakan mengikut kategori-kategori tertentu.

Bayaran yang dikenakan bermula dari RM25 untuk satu laporan.

 

11-Bagaimana struktur laporan CTOS?

Laporan rasmi CTOS mempunyai 5 bahagian iaitu

  1. Bahagian A – perihal butiran diri
  2. Bahagian B – perihal dan butiran dari Bank Negara dan agensi kerajaan yang lain
  3. Bahagian C – perihal milikan syarikat dan lembaga pengarah
  4. Bahagian D – perihal kredit dan butiran dari CCRIS serta senarai cek tendang yang dikeluarkan.
  5. Bahagian E – perihal bayaran tunggakan dan sebagainya kepada syarikat utiliti seperti telekomunikasi, api, air dan sebagainya.

 

12-Data yang ada tidak dikemaskini oleh pihak CTOS

CTOS mendapat data dari sumber awam. Ia tidak bertanggungjawab untuk mengemaskini status terkini mana-mana individu melainkan status itu dikemaskinikan okeh sumber-sumber asal.

CTOS menyimpan data yang ada selama 24 bulan. Jadi jika ada hutang PTPTN dan sebagainya akan disenaraikan di dalam laporan CTOS anda.

 

13-Anda boleh kemaskini data CTOS anda

Tentulah jika kita sudah melangsaikan mana-mana hutang atau urusan perundangan seperti ditarik balik status muflis, kita mahukan status di dalam CTOS dikemaskini dengan segera.

Namun kerana birokrasi dan sumber yang terhad, ia akan mengambil-masa.

Anda boleh menghubungi pihak CTOS untuk membetulkan maklumat terbaru.

 

14-Apa itu penskoran MyCTOS?

CTOS tidak menyenaraihitamkan seseorang. Namun, CTOS ada menyedikan sistem penskoran MyCTOS sebagai rujukan.

MyCTOS adalah laporan lengkap yang mengandungi skor berkenaan keadaan kredit seseorang serta kemampuan kredit individu tersebut.

 

15-Faktor yang mempengaruhi skor MyCTOS

Penskoran MyCTOS adalah berdasarkan

  • sejarah bayaran
  • jumlah tanggungan hutang
  • jangkamasa hutang
  • kepelbagaian hutang
  • hutang baru

 

16-Keputusan penskoran MyCTOS

Skor MyCTOS bermula dari 300 mata sehingga 850 di mana lagi besar skor seseorang, lebih baik kedudukan kewangan dan kredit seseorang itu.

Sejarah berkenaan status pembayaran hutang menyumbang lebih kurang 45% daripada jumlah keseluruhan skor MyCTOS.

Skor antara 300 hingga 696 berpotensi melihatkan individu itu kurang berdaya maju (‘less viable’).

Skor antara 744 hingga 850 akan meningkatkan potensi seseorang individu untuk pinjaman diluluskan.

 

17-Cara nak dapatkan penskoran yang bagus

  • Periksa laporan kredit sebelum memohon pinjaman
  • Bayar hutang kad kredit dan loan kereta, rumah dan segala pinjaman bank yang ada tepat pada masanya
  • Bil api, air, telefon dan lain-lain juga hendaklah dibayar tepat pada masanya
  • Elakkan daripada memohon terlalu banyak pinjaman dan kad kredit
  • Berbincang dengan pihak bank jika ada bayaran tertunggak dan memerlukan sistem pembayaran yang fleksibel

 

18- Apa harus dilakukan jika maklumat di dalam CTOS salah?

Setelah mendapatkan laporan terkini, pastikan semua maklumat betul dan tepat.

Hanya maklumat yang salah, tidak tepat dan belum dikemaskini yang boleh ditukar di dalam laporan CTOS.

Hubungi pihak CTOS melalui telefon atau email atau mengisi borang online di website CTOS. Anda perlu menyediakan

  • salinan MyKad untuk pengesahan
  • dokumen sah dari sebagai bukti, jika berkaitan
  • pengesahan daripada SSM atau dokumen perundangan, jika berkaitan

Pihak CTOS akan menyiasat laporan yang dibuat dan mengemaskini data yang ada selepas pengesahan.

 

19-Adakah dengan menyelesaikan hutang lama akan segera meluluskan rekod dalam laporan CTOS seseorang?

Tidak dengan kadar serta-merta. Rekod Bank Negara dikekalkan selama 12 bulan, maka laporan CTOS akan mengekalkan laporan yang sama seperti yang dilaporkan Bank Negara.

Namun, jika corak bayaran dalam masa 6 bulan adalah baik, institusi kewangan dan bank akan memahami perubahan positif yang ditunjukkan.

 

20-Kenapa bank tak luluskan pinjaman walau skor MyCTOS baik?

CTOS bukanlah penentu bagi sesuatu permohonan pinjaman atau sebagaimana.

Skor yang tinggi bukan jaminan pinjaman diluluskan.

Institusi kewangan akan merujuk CTOS untuk mengumpul maklumat bagi memudahcarakan mereka membuat keputusan atas status pinjaman yang dipohon. Namun,keputusan bank bukan sahaja berdasarkan rekod CTOS tetapi juga kepentingan bank itu sendiri, polisi syarikat dan strategi.

Untuk maklumat lanjut mengenai CTOS, anda boleh rujuk laman web rasmi CTOS pada pautan ini.

 

Akhir kalam

Secara keseluruhannya, CTOS adalah platform telus antara seseorang dan institusi kewangan untuk menambah peluang mendapat kelulusan pinjaman. Sebagai pihak bank, maklumat perihal kredit calon peminjam boleh diakses sementara bagi individu, CTOS membantu kita untuk memperbaiki nilai kemampuan kredit kita.

6 thoughts on “Apa Itu CTOS? (20 Perkara & Fakta Yang Anda Perlu Tahu)”

  1. Nak periksa nama saya ada atau tidak di samping itu jika ada nama saya,ada kah semua maklumat tentang diri saya terdapat dalam CTOS

    Reply
  2. Saya nak tanya.hutang lapok akhir bayaran 2013 dan sebuah syarikat telah meletakkan tarikh dalam citos 2016.dan ianya baru masuk 2023 bulan 1.boleh ke pihak citos menerima berbuat demikian untuk masukkan nama kami dalam senarai citos sedangkan kami peminjam tak tahu apa2 pun.

    Reply

Leave a Comment