Lembaga Zakat Selangor Bantu Asnaf dan Masyarakat Terkesan COVID-19

Bagi menyempurnakan amanah pengeluar zakat, Lembaga Zakat Selangor (LZS) sehingga kini terus menyantuni golongan asnaf termasuk mereka yang telah terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

Bantuan bakul makanan Zakat Selangor

Antara usaha yang dilakukan oleh LZS baru-baru ini adalah pengagihan sebanyak 770 bakul makanan kepada penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara. Setiap satu bakul bernilai RM100 ini mengandungi makanan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula, tepung, sardin dan pelbagai barangan kering.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop  kepada wakil keluarga yang terkesan akibat pandemik.

Beliau berkata, “Bantuan bakul makanan ini adalah antara 19 inisiatif bantuan di bawah Zakat Selangor Peduli yang diumumkan pada Julai lalu melibatkan jumlah keseluruhan agihan sebanyak RM69.3 juta.

“Sebanyak 26,350 bakul makanan telah diperuntukkan untuk penerima yang terputus bekalan makanan berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak. Kita telah mengenal pasti penerima-penerima ini dengan kerjasama NGO, Polis Diraja Malaysia (PDRM), penolong amil kariah, masjid-masjid di Selangor dan melalui kempen bendera putih. Jumlah ini tidak termasuk 14,758 bakul makanan yang dihantar ke rumah keluarga-keluarga asnaf yang berdaftar dengan LZS setiap bulan.”

 

Bantu golongaan hilang pekerjaan

Melalui Zakat Selangor Peduli, LZS bukan sahaja menyantuni golongan asnaf, malahan mereka yang kehilangan pekerjaan, diarah cuti tanpa gaji atau mereka yang terjejas akibat pemotongan gaji.

Seorang penerima bantuan, Maimunah Yusoh, 60 berkongsi, “Saya ibu tunggal kepada anak Orang Kelainan Upaya (OKU). Walaupun OKU, namun anak saya mampu berdikari dan boleh menjaga saya. Tetapi dia telah berhenti kerja buat masa ini kerana tempat kerjanya turut terkesan akibat COVID-19. Sekarang, dia buat kerja kecil-kecilan dengan kawan,” ujarnya yang turut menerima bantuan kewangan bulanan daripada LZS.

Seorang lagi penerima bantuan, Rashdi Tak Arifin, 80, berkata, “Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), saya tidak keluar rumah. Kebiasaannya, anak saya yang duduk di blok lain akan datang untuk menghantar makanan. Baru-baru ini, dia dijangkiti COVID-19 dan terpaksa kuarantin di rumah. Alhamdulillah, bakul makanan yang diberikan hari ini dapat meringankan beban dan boleh bertahan selama sebulan.”

 

Bantuan dan sumbangan tablet untuk pelajar

Selain daripada bakul makanan, inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli juga meliputi bantuan pendidikan berupa sumbangan 7,000 tablet bernilai RM6.0 juta.

Ia diberikan secara berperingkat kepada pelajar asnaf yang akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Tablet ini turut dilengkapi dengan data selama sembilan bulan bagi memudahkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Tambah Saipolyazan lagi, “Melalui Zakat Selangor Peduli juga, LZS memperuntukkan wang amil sebanyak RM1.0 juta untuk disalurkan bagi menyokong keperluan asas petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani pandemik COVID-19.”

Ia membabitkan RM800,000 wang amil yang diperuntukkan untuk membantu 12 buah hospital di seluruh Selangor bagi pembelian peralatan dan keperluan COVID-19 yang dilihat kritikal pada masa ini.

 

Bantuan untuk frontliner

Manakala, sumbangan pek makanan dan minuman bernilai RM60,000 disalurkan kepada pesakit serta petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Stadium Melawati, Shah Alam.

Ia melibatkan 20,280 paket biskut dan kudapan, 9,600 botol air mineral serta 9,600 kotak minuman untuk keperluan di PKRC dan CAC berkenaan.

Selain itu, LZS turut menyumbangkan kerusi roda untuk kegunaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital UiTM dan Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Setiap PPV ini masing-masing menerima 20 buah kerusi roda yang akan disediakan sebagai kemudahan orang ramai terutamanya bagi golongan warga emas dan OKU.

Ini merupakan salah satu usaha LZS membantu pihak kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi agar matlamat pembentukan imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19 dapat direalisasikan.

“Diharapkan dengan sumbangan daripada LZS dengan kerjasama NGO, kerajaan negeri dan kerajaan pusat, kita dapat memastikan bahawa bantuan dapat disalurkan secepat mungkin kepada mereka yang memerlukan dan pada waktu yang sama, mengelakkan pertindanan bantuan kepada penerima-penerima. Kami akan meneruskan program ini sehinggalah hujung tahun secara berperingkat mengikut program yang telah dirancang oleh LZS.”

Inisiatif Zakat Selangor Peduli merupakan kesinambungan daripada Bantuan Khas COVID-19 (BKC19) dan Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh PKP 1.0 dan PKP 2.0.

 

Tentang Lembaga Zakat Selangor

Lembaga Zakat Selangor (LZS) merupakan institusi zakat di Malaysia yang ditubuhkan lebih 20 tahun lalu. Sejak penubuhannya, LZS telah melaksanakan tanggungjawab dalam pengurusan kutipan dan pengagihan zakat  kepada golongan asnaf secara efisien dan efektif selaras dengan tuntutan syarak.  Setelah dua dekad memberikan perkhidmatan cemerlang, LZS kini dibantu dengan tenaga lebih 600 orang warga kerja serta disokong oleh 25 buah cawangan di seluruh Selangor.

 

Leave a Comment