7 Jenis Ubat Sakit Gigi yang Boleh Dibeli di Farmasi


Ramai yang pernah mengalami sakit gigi yang mencucuk dan berdenyut-denyut, hingga sukar untuk makan, bercakap dan tidur. Lazimnya, sakit gigi memerlukan pemeriksaan dan rawatan doktor gigi bagi mengesan punca sebenar sakit gigi. Antara sebab utama sakit gigi ialah kerosakan gigi, keradangan gusi, jangkitan kuman, atau tampalan gigi yang longgar. Jika kekangan masa tidak mengizinkan lawatan ke klinik gigi, jangan bimbang. Banyak ubat-ubatan yang boleh didapati di farmasi untuk melegakan sakit gigi.

Ini adalah alternatif kepada ubat sakit gigi berlubang atau sakit gigi geraham yang tradisional seperti Cap Kaki Tiga, Weng Heng dan lain-lain lagi. Berkesan atau tidak, bergantung kepada kesesuaian ubat itu terhadap pengguna itu sendiri.

Senarai ubat sakit gigi

Paracetamol

Terkenal dengan jenama Panadol dan Uphamol, paracetamol ialah ubat yang berkesan melegakan sakit dan demam. Paracetamol ideal bagi rasa sakit yang berpanjangan kerana ianya boleh diambil sehingga empat kali sehari, setiap empat ke enam jam. Kesan sampingan dan alahan terhadap paracetamol rendah berbanding dengan ubat tahan sakit yang lain. Paracetamol juga selamat digunakan oleh kanak-kanak dan ibu mengandung.

 

Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAIDs)

NSAIDs merangkumi keluarga ubat-ubatan seperti ibuprofen (Nurofen), diclofenac (Voltaren) dan mefenamic acid (Ponstan). NSAIDs sangat berkesan untuk sakit gigi kerana ia bertindak menahan sakit dan melegakan keradangan pada gusi. Kategori ubat ini lebih kuat berbanding paracetamol. NSAIDs harus diambil selepas makan bagi mengelakkan kesan sampingan seperti pedih perut. Ia kurang sesuai digunakan oleh ibu mengandung.

 

Beazyme

Kebanyakan ahli farmasi akan menyarankan ubat ini diambil bersama ubat tahan sakit yang lain bagi merawat sakit gigi. Beazyme mengandungi ekstrak buah betik yang bertindak menyurutkan bengkak gusi. Walaupun berbentuk tablet, ubat ini harus dikunyah atau dihisap bagi membantu penyerapan ke dalam darah dan meningkatkan keberkesanannya.

 

Bonjela

Jika ubat jenis sapu lebih digemari, Bonjela mungkin menjadi pilihan. Apabila disapu, terbentuk lapisan perlindungan pada gusi yang sakit. Bonjela juga memberikan rasa kebas dan berangin yang sederhana, tetapi kesannya tidak panjang. Ubat ini boleh disapu sehingga enam kali sehari dan sangat sesuai digunakan pada waktu malam jika sakit gigi mengganggu tidur.

 

Oral Aid

Walaupun konsistensi lebih cair daripada Bonjela, Oral Aid mengandungi dua bahan aktif yang kuat iaitu ubat pelali dan steroid. Ubat pelali memberi rasa kebas pada bahagian gusi yang meradang manakala steroid pula melegakan keradangan dan bengkak. Sama seperti Bonjela, kesan ubat ini tidak bertahan lama selepas digunakan.

 

Hurix Toothache Drops with Clove Oil

Bagi mereka yang mahu mencuba rawatan alternatif, minyak cengkih atau clove oil juga senang didapati di farmasi. Minyak cengkih telah digunakan sejak turun-temurun untuk mengurangkan sakit gigi. Kajian sains turut membuktikan keberkesanannya dengan penemuan eugenol yang mampu membunuh kuman dan juga melegakan sakit gigi. Ubat yang mengandungi minyak cengkih hanya boleh disapu dan bukan ditelan bagi mengelakkan kesan sampingan seperti cirit-birit dan sakit perut.

 

Oradex Antibacterial Mouthwash

Sisa makanan di celah gigi boleh menyebabkan pembiakan kuman dan iritasi pada gusi, sekaligus memburukkan lagi kesakitan yang dialami. Selain memberus gigi dan menggunakan dental floss, ubat kumur seperti Oradex boleh membantu menyingkirkan sisa makanan dan meningkatkan kebersihan mulut. Oradex mengandungi chlorhexidine yang bersifat antiseptik atau membunuh kuman, dan sesuai digunakan untuk keradangan dan pendarahan gusi.

 

Akhir kalam

Pemilihan ubat sakit gigi di farmasi bergantung kepada kesesuaian individu seperti sejarah alahan ubat, umur, kesesuaian dengan penggunaan ubat kronik lain dan sebagainya. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat ahli farmasi agar kombinasi dan dos ubat yang diambil selamat dan berkesan untuk mengurangkan sakit gigi.

Tidak ada istilah satu ubat itu berkesan untuk semua. Cuma kami doakan agar senarai ubat sakit gigi berlubang ini berkesan untuk anda.

Jemput baca juga berkenaan penulisan lain berkenaan mulut dan gigi seperti cara hilangkan bengkak gusi, cara melegakan sakit tekak dan cara putihkan gigi.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment