Sekiranya anda sering mengalami sakit kepala yang berulang, migrain merupakan salah satu penyebabnya. Ia boleh menyerang bila-bila masa malah boleh menjejaskan aktiviti seharian mereka yang mengalaminya. Tidak mampu buat apa-apa, seharian terbaring di atas katil menanggung kesakitan. Tapi, apa punca migrain sebenarnya?
Rasa tak selesa
Kesakitan bukan hanya di kepala tetapi boleh mendorong kepada rasa loya dan kadang-kadang muntah. Ada juga apabila dilanda serangan migrain, mereka tidak suka dengan cahaya terang dan bunyi bising, lebih selesa dalam bilik gelap sehingga sakit hilang.
Walaupun kerap terjadi, ramai yang masih tidak mengetahui dengan jelas dan kurang pengetahuan mengenai migrain sehingga sering mengabaikan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada migrain.
Malah dikatakan lebih separuh pesakit migrain tidak berjumpa dengan doktor untuk diagnosis yang betul, hanya merawat sendiri atau beranggapan mereka hanya mengalami sakit kepala biasa.
Kandungan
Punca migrain
Migrain kebiasaannya berlaku di sebelah bahagian kepala sahaja, namun adakalanya bermula di sebelah kelapa dan melarat di kedua belah bahagian kepala.
Boleh menyebabkan gejala seperti pening, loya, muntah dan cirit-birit, migraine berlaku apabila saluran darah di kepala mengembang lebih besar daripada biasa.
Terdapat beberapa perkara yang menjadi punca dan penyebab kepada serangan migrain, antaranya ialah;
Stress atau tekanan
Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia, antara penyebab kepada migrain adalah disebabkan oleh tekanan ataupun tension headache. Peningkatan mahupun penurunan keadaan emosi seseorang secara tiba-tiba boleh mengundang berlakunya migraine.
Saat berlakunya stress, otak akan melepaskan sebatian kimia yang menyebabkan beberapa perubahan pada tubuh dan otak seperti ketegangan otot dan pelebaran pembuluh darah.
Pengambilan alkohol
Secara umumnya, apa juga jenis minuman yang mengandungi alkohol seperti wine boleh menyebabkan peningkatan aliran darah menuju ke otak sekali gus menyebabkan sakit kepala.
Alkohol juga boleh menyebabkan dehidrasi apabila mengambilnya terlalu banyak. Kekurangan air dalam badan atau tubuh berada dalam keadaan dehidrasi merupakan punca kepada sakit kepala.
Makanan seperti coklat, keju, kopi
Diet atau pengambilan sesetengah makanan juga merupakan punca kepada sakit kepala atau migraine. Coklat disenaraikan sebagai pencetus kedua sakit migrain selepas alkohol.
Coklat mengandungi beberapa kombinasi yang menyebabkan sakit kepala seperti kafein, tyramine dan phenylethylamine. Jika anda merupakan penggemar coklat, sila kurangkan pengambilannya.
Kopi seperti yang kita ketahui mengandungi kafein yang merupakan punca kepada sakit kepala. Kafein bukan sahaja ada pada kopi tetapi juga minuman seperti teh dan soda.
Kafein merupakan pencetus migrain yang paling umum sekiranya kita sering mengambilnya, justeru tidak hairanlah jika pakar menasihatkan pengambilan kafein dihadkan hanya 200mg sehari iaitu satu cawan kopi bersaiz sederhana.
Punca migrain ialah tidak cukup tidur
Kurang mendapat tidur yang secukupnya juga boleh menyebabkan sakit kepala dan migraine. Jadi, nikmatilah waktu tidur yang cukup iaitu bagi orang dewasa antara enam hingga 8 jam sehari.
Namun anda juga perlu berhati-hati, terlebih waktu tidur juga boleh mendorong kepada keadaan sakit kepala. Sehubungan itu, penting untuk setiap orang mempunyai pola tidur yang teratur.
Perubahan hormon ketika haid
Migrain juga boleh menyerang tanpa amaran dan ia biasa dialami oleh wanita terutama ketika datang haid. Perubahan kadar hormon wanita estrogen dan progesteron secara mendadak ketika berlakunya haid adalah pencetus terbesar kepada migrain dan sakit kepala.
Ketika berlakunya haid, wanita juga sering mengalami kekurangan tidur yang sekali gus meningkatkan risiko sakit kepala.
Punca migrain ialah sebab merokok
Merokok atau terdedah dengan asap rokok juga merupakan punca kepada migrain. Nikotin dalam rokok boleh mempengaruhi otak serta menyebabkan aktiviti otak lebih rendah dan memberikan rasa sakit.
Jika anda bukan seorang perokok, jauhi orang yang merokok, Selain bagus untuk kesihatan ia juga boleh meringankan sakit kepala.
Cara hilangkan migrain
Ambil ubat
Pengambilan ubat tahan sakit seperti ibuprofen atau aspirin boleh membantu bagi mengatasi masalah migrain yang ringan. Bagi masalah migrain yang lebih kuat, ubat preskripsi utama, triptans secara lazimnya akan disyorkan.
Walau apapun, setiap ubat penahan sakit perlu mendapatkan nasihat doktor dan diambil dengan berhati-hati.
Cara hilangkan migrain dengan bersenam
Kajian mendapati, senaman ringan seperti jogging dan berbasikal dan mengurangkan serangan migraine. Senaman mendorong tubuh menghasilkan bahan kimia penahan yang dikenali sebagai endorfin.
Kenal pasti pencetus migrain
Migrain boleh dikawal sekiranya anda dapat mengenal pasti pencetus migrain tersebut. Lihat juga apa yang di makan dan minum kerana apa yang dimasukkan dalam badan boleh memberi impak kepada sakit kepala.
Hadkan pengambilan kafein, atur jadual makan terutama mereka mendapat sakit kepala dari gula rendah. Jangan melewatkan makanan terutama sarapan pagi.
Cara hilangkan migrain dengan urutan
Antara cara paling berkesan untuk menghilangkan migrain adalah dengan melakukan urutan. Mulakan dengan bahagian bahu, leher, tengkok dan belakang telingan seterusnya kepala.
Urutan mampu membantu memperbaiki perjalanan darah di kepala selain membuat pesakit migrain rasa lebih selesa dan relaks yang mampu menghilangkan tekanan.
Berehat
Tekanan dengan tugas seharian di pejabat juga boleh menyumbang kepada migrain. Berehatlah walau hanya di rumah, baring seketika di tempat gelap dan bebas daripada sebarang bunyi bising. Percayalah, dapat legakan sakit kepala.
Dapatkan diagnosa doktor
Setiap pesakit migrain perlu terlebih dahulu berjumpa dengan doktor untuk diperiksa, tahap pesakit migrain berbeza antara satu sama lain. Tiada ujian khusus untuk migraine namun doktor perlu merawat secara terperinci untuk membuat diagnose yang betul.
Beza migrain dan sakit kepala
Menurut Mstar, migrain biasanya bersifat episodik. Sakit dirasakan hanya di bahagian tertentu kepala, berdenyut dan menyebabkan rasa mual dan muntah.
Sakit kepala pula biasanya berlaku kerana stres dan rasa tak selesa di kedua-dua belah kepala selain tidak disertai rasa mual, muntah, atau tidak sensitif terhadap cahaya dan suara.
Jika anda rasa anda sebenarnya sakit kepala, jemput baca cara hilangkan sakit kepala juga.
Akhir kalam
Jika berlakunya ketidakpastian, ujian-ujian seperti pemeriksaan darah atapun imbasan kepala perlu dilakukan bagi memastikan tiada punca kepada sakit kepala yang lain.
Semoga bermanfaat.