Punca Hidung Berdarah (Dan Cara Merawat Pendarahan Hidung)


Alamak! Hidung berdarah. Kenapa jadi macam ini? Apa punca hidung berdarah?

Mesti jadi kelam kabut apabila berdepan dengan situasi tersebut, bukan? Adakah kerana kekerapan mengorek hidung boleh menyebabkan hidung berdarah?

Berdarah sebab luka

Kekerapan hidung berdarah adalah normal dan biasanya disebabkan trauma luka pada bahagian dalam hidung sensitif, memandangkan tempat itu menjadi pusat pembentukan salur darah.

Hidung berdarah atau dalam istilah perubatannya dikenali sebagai epistaxis berkemungkinan berlaku disebabkan komplikasi kecederaan saluran darah dalam hidung. Pendarahan ini selalunya akan berhenti dengan sendiri.

Boleh baca lebih lanjut di medscape.

Jenis pendarahan hidung

Masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa, tidak mengira lelaki mahupun wanita atau peringkat usia. Terdapat dua jenis pendarahan hidung berdasarkan lokasi saluran darah yang tercedera iaitu pendarahan depan (anterior) atau pendarahan belakang (posterior).

 

Pendarahan Depan (Anterior)

Merupakan masalah pendarahan yang berlaku melibatkan saluran darah pada bahagian depan hidung

 

Pendarahan Belakang (Posterior)

Bagi pendarahan jenis ini pula, ia melibatkan saluran darah yang berada jauh di dalam hidung dan pendarahan melibatkan belakang mulut atau bahagian tekak.

 

Punca hidung berdarah

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan masalah hidung berdarah ini untuk berlaku. Punca paling utama adalah kerana menghembus hidung terlalu kuat. Keadaan ini biasa dilakukan apabila hidung tersumbat kerana selesema yang teruk.

Perubahan cuaca persekitaran secara mengejut, daripada bilik yang sejuk dan berhawa dingin kepada cuaca yang panas terik juga boleh menyebabkan seseorang individu mengalami hidung berdarah. Dalam keadaan cuaca yang terlampau panas, ia mengakibatkan badan cepat menjadi kering. Ia akan menyebabkan mukosa di dalam hidung turut kering.

Berikut adalah beberapa punca lain yang boleh menjadi penyebab kepada masalah hidung berdarah:

Sebab hidung berdarah ialah bakteria

Lapisan kulit di bahagian dalam hidung agak nipis dan mudah terdedah kepada jangkitan bakteria. Selesema yang disebabkan jangkitan bakteria  boleh menyebabkan saluran darah mengembang dan pecah.

 

Jangkitan dan alahan

Hidung tersumbat akibat jangkitan berlaku sewaktu menghembus hidung dengan terlalu kuat dan menyebabkan saluran darah di rongga hidung pecah.

Keadaan ini akhirnya mengakibatkan pendarahan. Mereka yang menghidapi alahan resdung juga mengalami masalah saluran darah di hidung mudah pecah.

 

Kanser atau tumor

Berlaku pertumbuhan luar biasa di dalam hidung juga boleh menyebabkan pendarahan hidung. Sering kali pertumbuhan luar biasa ini disebabkan kanser atau tumor.

Simptom kanser hidung yang biasa berlaku adalah pendarahan dan hidung yang sering tersumbat. Mengalami leukemia atau kanser darah juga boleh menjadi salah satu punca mengapa hidung anda berdarah.

 

Trauma

Tabiat mengorek hidung secara kasar dan kuat juga boleh menjadi punca mengapa berlakunya pendarahan hidung. Ini kerana tabiat itu boleh menyebabkan kecederaan pada struktur dalam hidung. Terkena sebarang impak fizikal yang kuat juga boleh mengakibatkan pendarahan hidung.

 

Tekanan

Tekanan boleh menjadi punca mendasari pelbagai masalah melibatkan kesihatan. Salah satunya adalah pendarahan hidung. Ini kerana individu yang di dalam keadaan tertekan secara berlebihan boleh menyebabkan saluran darah pada sekitar bahagian hidung berkembang dan pecah.

 

Cara merawat hidung berdarah

Jadi apa yang perlu dilakukan kalau mengalami hidung berdarah? Perkara paling utama adalah untuk bertenang. Jika anda gelabah, ia mungkin akan menyebabkan darah yang mengalir semakin banyak.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh anda lakukan terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan lanjut jika pendarahan tidak berhenti:

 

Memicit hidung

Picit hidung anda untuk tempoh antara 5 hingga 10 minit. Jangan mendongak. Sebaliknya lakukan dalam keadaan anda duduk. Jika mendongakkan kepala ke atas terdapat kemungkinan untuk darah boleh mengalir ke dalam bahagian mulut atau tekak.

 

Rawat hidung berdarah guna ais

Letakkan pek ais sekiranya ada. Jika tidak, ambil beberapa ketulan ais dan balut ia menggunakan kain bersih dan letakkan di atas hidung. Kaedah ini akan membantu mendinginkan liang hidung sekali gus mengecutkan saluran darah dalam hidung dan menghentikan pendarahan.

 

‘Nasal Packing’

Jika selepas 10 minit, hidung anda masih berdarah, gunakan kaedah ‘nasal packing’. Kaedah ini memerlukan anda untuk  membasahkan sehelai kain dengan ubat ‘epinephrine’ dan masukkan kain tersebut ke dalam hidung. Ubat ini akan membantu mengecutkan saluran darah dalam hidung sekali gus membantu menghentikan pendarahan.

 

‘Cauterization’

Jika kaedah yang dinyatakan di atas masih tidak dapat menghentikan pendarahan hidung. Segeralah berjumpa doktor. Ini kerana doktor akan menggunakan sejenis alat pada saluran darah yang terjejas untuk menghentikan pendarahan serta merta.

 

Mencegah pendarahan hidung

Beberapa perkara boleh dilakukan bagi mencegah daripada berlakunya masalah hidung berdarah ini. Antara cara-caranya adalah dengan mengelakkan melakukan tabiat menghembus hidung dengan terlalu kuat dan kasar.

 

Selain tidak menghembus terlalu kuat, tabiat mengorek hidung dengan kerap dan kasar juga perlu dihentikan. Anda juga disarankan untuk menggunakan semburan hidung apabila cuaca persekitaran terlalu panas.

 

Jika anda seorang individu yang gemar memakan makanan yang pedas, sebaiknya kurangkan pengambilan makanan seperti itu. Ini kerana makanan pedas berisiko dan cenderung menyebabkan alahan atau keradangan pada lapisan hidung.

 

Akhir kata

Cara merawat hidung berdarah

Pendarahan hidung mungkin dilihat sebagai satu masalah atau isu kesihatan yang remeh dan tidak mendatangkan sebarang kebimbangan.

Tetapi anda tidak harus mengabaikannya.

Jika berlarutan, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan doktor untuk mengenal pasti puncanya.

Ada satu lagi kondisi kesihatan tentang pendarahan. Jemput baca punca berak berdarah juga.

Semoga bermanfaat.

Leave a Comment