Punca Gigi Kuning (Dan Cara Memutihkan Gigi Dengan Cepat)


Apakah punca gigi kuning yang menyebabkan seseorang itu kurang confident untuk berdepan dengan orang ramai? Jika anda salah seorang yang rasa rendah diri dan kurang keyakinan hanya kerana gigi kuning, ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang cara memutihkan gigi.

Langkau artikel ini untuk baca tentang veneer gigi di Malaysia.

Punca gigi kuning

Ada banyak faktor yang menyebabkan gigi jadi kuning.

Maka, izinkan kami berkongsi beberapa punca gigi kuning seperti di bawah:

Punca gigi kuning ialah rokok

  1. Rokok mengandungi nikotin, tar dan bahan kimia lain-lain yang terdapat dalam rokok yang menyebabkan gigi menjadi kuning. Lagipun, rokok itu sudah difatwakan haram.
  2. Kata Dr. Justin Philipp daripada J. Philipp Dentistry yang terletak di Chandler, Arizona. “Punca gigi kuning nombor 1 adalah gaya hidup”.
  3. Tambah beliau lagi, “Merokok, minum kopi dan teh, serta mengunyah tembakau adalah yang paling teruk sekali.”
  4. Jadi, marilah kita katakan tidak kepada rokok!

 

Gigi jadi kuning sebab diet harian

  1. Tahukah anda, beberapa makanan dan minuman yang kita ambil secara kerap boleh menyebabkan gigi menjadi kuning?
  2. Kalau anda hendak tahu – kopi, teh, perencah paprika, kuah kari, sos tomato, air gas dan juga sos kicap adalah antara punca yang menyebabkan gigi anda kurang putih.
  3. Jelas sekali, ini adalah antara penyebab dan punca gigi menjadi kuning, seperti yang dimaklumkan oleh Dr. Justin Philipp dalam perenggan di atas.
  4. Jadi, sebelum makan, tengok-tengok lah dulu ya!

 

Punca gigi kuning ialah penjagaan kebersihan gigi yang lemah

  1. Gigi boleh menjadi kuning akibat daripada terkumpulnya plak gigi.
  2. Akhirnya ia akan bertukar menjadi tar yang terbentuk akibat daripada bakteria dari makanan yang dimakan kalau kita tidak menggosok gigi dengan cara yang betul.
  3. Bakteria jahat inilah punca sebenar.
  4. Pastikan gosok gigi dengan betul supaya tidak menjadi warna kuning.

 

Punca gigi kuning juga kerana faktor umur

  1. Secara semulajadi, lapisan pelindung enamel gigi akan mudah terhakis apabila usia semakin meningkat.
  2. Hakisan lapisan enamel ini membuatkan dentin kuning di permukaan bawah lebih terdedah, menyebabkan gigi menjadi kuning.
  3. Jangan pelik apabila semakin bertambah umur, semakin kuning gigi.
  4. Inilah punca gigi menjadi kuning yang ramai tidak sedar.

 

Gigi kunig kerana mulut kering

  1. Air liur sebenarnya mempunyai fungsi penting untuk melindungi enamel gigi.
  2. Namun mulut yang kering menghadkan penghasilan air liur yang banyak.
  3. Jadi, banyak-banyakkan lah minum air kosong, terutamanya dalam cuaca panas terik dan berjerebu.
  4. Jangan hanya kerana malas minum air masak, ia menjadi penyebab gigi kuning.

 

Cara memutihkan gigi (secara semulajadi)

Cara memutihkan gigi

Gigi mempunyai liang seperti kulit atau span. Apa-apa sahaja benda berwarna yang anda masukkan dalam mulut akan diserap ke liang ini.

Seperti yang dikongsikan di atas, minuman yang kita selalu minum seperti kopi, teh, beri hitam; dan tabiat merokok merupakan antara punca gigi kuning yang mungkin kita tidak sedar.

Lama-kelamaan, warna asli gigi bertukar menjadi kekuningan kesan kotoran langsung tersebut.

Ia tidak akan hilang kecuali anda rajin menghilangkannya. Jika tiada usaha, bagaimana mahu hilang.

Ikuti langkah di bawah untuk mengetahi cara memutihkan gigi secara semulajadi.

Sebagai alternatif, bagi yang rajin baca dalam Bahasa Inggeris, boleh baca kaedah dan cara putihkan gigi di WebMD.

 

Putihkan gigi dengan guna arang

  1. Satu rahsia orang lama mengilat dan memutihkan gigi ialah dengan menggunakan arang.
  2. Buktinya, pada masa kini, bahan tersebut turut digunakan dalam pembuatan ubat gigi kerana kandungan kalium hidroksidanya yang membersih.
  3. Caranya, ambil arang atau kayu arang, tumbuk halus dan simpan dalam bekas bersih.
  4. Gosokkan pada gigi setiap pagi selama 2-3 minit.
  5. Tetapi anda juga perlu berhati-hati kerana penggunaan arang boleh merosakkan gigi.

 

Cara memutihkan gigi guna kayu sugi

  1. Cara ini sudah lama digunakan umat Islam terdahulu serta menjadi sunnah Rasulullah SAW.
  2. Kayu sugi juga mampu memperkuatkan gigi, menghilangkan kotoran yang melekat pada gigi sekali gus menjadikan gigi putih bersinar.
  3. Bonus jika menggunakan cara ini, ia senang dibawa ke mana saja.

 

Putihkan gigi guna biji asam

  1. Sama seperti arang, petua menggunakan biji asam popular kalangan nenek moyang kita.
  2. Caranya ambil biji asam dan sangai (goreng tanpa minyak) hingga kehitaman.
  3. Setelah sejuk, tumbuk halus dan serbuknya kita sapu pada gigi. Amalkan sekerap mungkin.

 

Cara memutihkan gigi dengan garam

  1. Siapkan garam secukupnya ke dalam mangkuk. Basahkan berus gigi dengan air. Masukkan berus gigi ke dalam mangkuk yang berisi garam tadi.
  2. Gunakan berus gigi yang telah dipenuhi garam untuk berus gigi seperti biasanya kita menggunakan ubat gigi.
  3. Lakukan cara ini sebelum tidur atau selepas makan.
  4. Jika anda tidak lalu untuk menggunakan garam semata-mata yang agak masin, cuba campurkan dengan lemon seperti panduan di bawah.

 

Dengan lemon dan garam

  1. Dua bahan ini agak terkenal dengan fungsinya yang pelbagai.
  2. Juga bermanfaat untuk mencerah dan memutihkan gigi, kesegaran pada lemon dan kuasa garam yang ‘membersih’ juga dapat mengawal bau nafas.
  3. Campurkan jus lemon ke dalam garam dan kacau hingga larut.
  4. Jadikannya seperti ubat gigi dan gosok seperti biasa. Namun diingatkan, jangan amal selalu kerana ia boleh menghakis enamel gigi.
  5. Anda juga boleh menggantikan lemon dengan limau nipis.

 

Memutihkan gigi dengan kunyit dan mint

  1. Tuangkan sedikit serbuk kunyit dan sedikit ekstrak daun mint pada sebuah mangkuk.
  2. Basahkan berus gigi dengan air dan celupkan berus gigi pada mangkuk tadi yang berisi campuran kunyit.
  3. Kemudian, gosok gigi seperti biasa.
  4. Biarkan selama 5 minit dan berkumur-kumur.

 

Cara memutihkan gigi dengan kulit limau atau kulit oren

  1. Siapa sangka, sisa buangan dapur ini juga berkesan merawat masalah gigi kuning.
  2. Gosok kulit limau secara teratur pada gigi setiap hari.
  3. Bagaimanapun, diingatkan, kepada anda yang menghidapi masalah gigi sensitif agar berwaspada kerana ia boleh memudaratkan gigi.
  4. Ini kerana kandungan vitamin C yang tinggi pada kulit limau.

 

Putihkan gigi guna strawberi

  1. Si kecil molek ini juga tidak kurang hebatnya menjadikan gigi anda putih bersinar.
  2. Kisar buah ini dan jadikannya seperti pes dan gosok pada gigi anda.
  3. Atau paling mudah, makan saja buah ini lebih kerap!
  4. Tidak hanya strawberi, epal dan saderi juga berkesan memutihkan gigi.

 

Cara memutihkan gigi dengan soda bikarbonat

  1. Bahan ini boleh menghilangkan plak dan memutihkan gigi.
  2. Ambil satu sudu soda bikarbonat dan campur dengan ubat gigi anda.
  3. Gosok dan bilas seperti biasa.
  4. Awas, jangan amalkan selalu kerana ia boleh menghakis enamel gigi.

 

Cara memutihkan gigi (rawatan alternatif, guna kaedah moden)

Rawatan alternatif ini sedikit-sebanyak boleh membantu, sebagai salah satu cara putihkan gigi.

Terutama sekali pada orang yang mempunyai duit lebih, dan mahukan kesan yang cepat dan berkesan.

 

Rawatan laser

  1. Ini cara paling pantas untuk memutihkan gigi!
  2. Bahan kimia untuk pemutihan gigi akan bertindak balas dengan laser yang dipancar mengeluarkan radikal oksigen bebas bagi memutihkan gigi setelah pigmen di dalam permukaan gigi dileraikan.
  3. Namun kos penggunaan laser di klinik dalam rawatan rutin adalah lebih tinggi berbanding rawatan pergigian konvensional.
  4. Namun, apa salahnya laburkan sedikit wang untuk hasil yang luar biasa.

 

Memutihkan gigi dengan white stripes

  1. Yang tidak biasa dengar jalur pemutihan, boleh Google dalam Bahasa Inggeris “white stripes”.
  2. Ada banyak jual di farmasi.
  3. Jalur pemutihan komersial yang anda beli sama ada di klinik pergigian atau farmasi adalah antara usaha awal memulakan proses pemutihan gigi jika anda tidak mempunyai wang ketika mempertimbangkan rawatan ditawarkan doktor gigi anda.
  4. Kaedah ini berkesan dan berfungsi dengan pantas, bergantung pada jenis jalur yang anda beli.
  5. Jalur dilekatkan pada gigi atas dan bawah dan dikeluarkan selepas bahan kimia pelunturannya beroperasi.
  6. Boleh tonton di YouTube untuk cara penggunaan yang betul.

 

Gel tray

  1. Gel tray yang mengandungi karbamid peroksida juga beroperasi dengan cara sama seperti jalur pemutihan kecuali ia dipasang terus mengikut acuan gigi.
  2. Ia dipakai untuk tempoh masa, biasanya dari beberapa jam sehari setiap hari pada waktu malam sehingga empat minggu dan lebih lama (bergantung kepada tahap perubahan warna dan tahap pemutihan yang diingini).
  3. Ingat, jika tidak pasti, dapatkan konsultasi dari doktor gigi terlebih dahulu.

Gunakan ubat gigi khas

  1. Kalau kurang rajin, gunakan ubat gigi!
  2. Semua ubat gigi membantu menghilangkan kotoran permukaan.
  3. Sesetengah ubat gigi pemutihan mengandungi penggilap lembut atau agen kimia yang memberikan keberkesanan penyingkiran kotoran tambahan.
  4. Bagaimanapun, kaedah ini hanya  boleh membantu menghilangkan kotoran permukaan sahaja dan tidak mengandungi peluntur.
  5. Jadi masa yang diambil untuk melihat hasilnya adalah agak lama.

 

Akhir kalam

Cara putihkan gigi

Kini, anda sudah tahu punca gigi kuning.

Jika anda mahu guna cara putihkan gigi dengan petua tradisional atau rawatan alternatif, tepuk dada tanya poket.  Pilihan semestinya di tangan anda.

Namun, jika anda berduit, terpulang samada sangup berbelanja semata-mata untuk putihkan gigi.

Jemput baca artikel tentang punca gusi bengkak juga.

Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • punca gigi kuning

Leave a Comment