Punca Cirit Birit (Dan Cara Hilangkan Untuk Orang Dewasa)


Aduh…lemah lutut sebab berulang-kali keluar masuk bilik air tetapi masih cirit-birit. Kenapa ya? Salah makan atau perut sensitif? Haaa…sementara menahan rasa sakit itu, apa kata anda baca perkongsian artikel mengenai punca cirit birit ini. Manalah tahu mungkin dapat membantu anda mengurangkan rasa ketidakselesaaan yang dihadapi.

Cirit birit in English

Cirit-birit atau turut dikenali sebagai diarrhea adalah satu keadaan di mana anda akan membuang air besar dengan lebih banyak dan kerap berbanding biasa. Ia adalah salah satu simptom gastroenteritis selain daripada simptom muntah.

Apa itu cirit birit?

Gastroenteritis merupakan satu keadaan keradangan yang berlaku di dalam perut atau sistem penghadaman yang disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus. Cirit-birit biasanya berlaku selama dua hingga empat hari jika tidak diberikan sebarang rawatan. Walau bagaimanapun, keadaan cirit-birit yang kronik atau serius mungkin boleh mengancam nyawa.

Takkanlah cirit-birit sahaja boleh mengancam nyawa? Tidak percaya? Tetapi itulah kenyataannya. Ini kerana apabila mengalami cirit-birit, badan akan lebih kehilangan air. Keadaan ini akan menjadi lebih serius jika ia terjadi kepada bayi, kanak-kanak serta pesakit yang kurang zat dan lemah daya tahan.

Pada tahun 2009, World Health Organization (WHO) \ telah mengisytiharkan cirit-biri sebagai penyebab kematian kedua dalam kalangan kanak-kanak dan penyebab kematian sebanyak 1.5 juta kanak-kanak di dunia. Jadi ia bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng, bukan?

 

Punca cirit birit

Kolon atau usus besar bertanggungjawab untuk membentuk sisa pepejal daripada sisa makanan tidak diserap oleh makanan yang anda makan. Cecair juga diserap ke dalam kolon sebagai sebahagian daripada sisa makanan itu yang membolehkan najis melalui usus dengan lebih lancar.

Otot di dalam kolon menggerakkan najis ke rektum untuk keluar daripada badan. Namun, apabila sesuatu mengganggu proses ini, menyebabkan penyerapan air terlalu banyak atau sisa pepejal melalui usus besar terlalu cepat, boleh menyebabkan cirit-birit.

Umumnya, masalah cirit-birit boleh dialami melalui pengambilan makanan dan minuman yang tercemar, makan dengan tangan yang kotor, atau selepas menyentuh najis. Individu yang mengambil sumber makanan atau minuman tercemar akan berisiko untuk mengalami cirit-birit selepas makan.

Penyebab cirit birit

Terdapat pelbagai jenis virus, bakteria dan parasit yang boleh menyebabkan gastroenteritis dan seterusnya cirit-birit. Antara jenisnya adalah seperti:

  • Bakteria, seperti Salmonella atau Escherichia (E. coli)
  • Virus, seperti Norovirus atau rotavirus
  • Parasit, seperti Giardia intestinalis

 

Antara sebab lain yang boleh menjadi punca cirit-birit adalah:

  • Alahan makanan
  • Pengambilan ubatan tertentu
  • Bahan pengawet di dalam makanan
  • Pemakanan kimia

 

Tanda cirit birit

Apabila makan terlalu banyak, anda akan membuang air besar, ia adalah satu perkara yang normal. Jadi bagaimana untuk mengetahui sama ada anda terkena cirit-birit atau sekadar mengalami sakit perut biasa?

Sekiranya anda mengalami cirit-birit, ia boleh dikenal pasti melalui pengeluaran najis yang lembut atau berair yang lebih kerap dan banyak daripada biasa. Ia akan diikuti dengan tanda-tanda lain seperti :

  • Sakit dan kekejangan perut
  • Loya dan muntah
  • Keletihan
  • Demam
  • Kerap ingin menggunakan tandas
  • Hilang selera
  • Dehidrasi

Serangan cirit-birit biasanya akan hilang selepas beberapa hari. Tetapi anda harus memastikan badan tidak mengalami dehidrasi dengan memperbanyakkan minum air. Cuba makan seperti biasa, tetapi pastikan dalam saiz hidangan yang kecil dan ringan.

Hindari dari mengambil makanan pedas, masin atau bergula. Jika bayi anda mengalami cirit-birit, anda perlu terus menyusukan mereka seperti biasa.

Walau bagaimanapun, jika simptom atau gejala cirit-birit yang dihadapi berlarutan untuk tempoh lebih seminggu, anda amat dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera untuk mengelakkan sebarang masalah berkaitan kesihatan yang lain.

 

Cara hilangkan cirit-birit

Selalunya, masalah cirit-birit yang dialami akan pulih dengan sendiri. Namun, terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengelakkan daripada mengalami dehidrasi dan mengurangkan simptom cirit-birit, seperti:

  • Memperbanyakkan pengambilan air
  • Tambahkan makanan separa pejal dan kurang serat dengan beransur-ansur
  • Elakkan produk tenusu, makanan berlemak, tinggi serat dan bahan makanan yang mempunyai bahan pengawet yang tinggi
  • Elakkan kafein dan alkohol

 

Jika keadaan cirit-birit yang dialami berterusan sekurang-kurangnya seminggu atau jika anda mengalami dehidrasi atau najis yang mengandungi darah, sila berjumpa doktor.

 

Tanda kurang air dalam badan

Tanda-tanda anda dehidrasi adalah, seperti:

  • Haus yang berlebihan
  • Mulut dan kulit kering
  • Kurang atau tiada air kencing
  • Keletihan yang teruk
  • Pitam
  • Kulit menjadi gelap

 

Bayi dan anak cirit birit

Kanak-kanak yang mengalami cirit-birit lebih berisiko dan cenderung untuk mengalami dehidrasi. Sila bawa anak anda untuk berjumpa doktor jika cirit-birit yang dialami berterusan untuk tempoh lebih dari 12 hingga 24 jam, atau anak anda mengalami simptom seperti dibawah:

  • Lampin kering dalam masa 3 jam atau lebih
  • Demam panas
  • Najis mengandungi darah atau berwarna hitam
  • Mulut kering atau menangis tanpa air mata
  • Kerap tidur, tidak aktif, mudah meradang
  • Perut, mata atau pipi yang cengkung
  • Kulit yang tidak tegang atau kembali ke asal sekiranya di cubit

 

Langkah pencegahan cirit birit

Anda pasti pernah mendengar pepatah mengenai mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat, bukan? Jadi dalam hal ini juga, menjaga kebersihan diri dan sumber makanan mahupun minuman yang akan diambil pasti dapat mengelakkan risiko untuk dijangkiti bakteria atau kuman penyebab cirit-birit.

 

Basuh tangan

Menurut pakar gastroenterologi New York dan pengarang Doctor, Your Patient Will See You Now, Dr. Steven Kussin, seperti yang dilaporkan oleh Every Day Health, berkata mencuci tangan adalah salah satu cara yang paling berkesan untuk mengelakkan kuman dan bakteria yang boleh menyebabkan cirit-birit.

 

Dr. Steven mengatakan dengan menjadikan membasuh tangan sebagai satu amalan yang kerap dilakukan, anda boleh menghentikan cirit-birit, atau sekurang-kurangnya mengelakkannya daripada menjadi lebih teruk. Jadi ini juga bermaksud, membasuh tangan akan dapat mengurangkan risiko untuk mengalami cirit-birit.

 

Di samping itu, terdapat juga beberapa jenis makanan yang harus anda elakkan untuk mengurangkan masalah cirit-birit yang dialami, antaranya:

 

Produk tenusu

Produk tenusu boleh membuatkan masalah cirit-birit anda menjadi lebih teruk. Menurut penolong profesor di Universiti Maryland, Dr. Sandra Quezada, seperti yang dilaporkan oleh WebMD, mengesyorkan bahawa jika anda mengalami cirit-birit kronik, menghentikan pengambilan produk tenusu boleh membantu mengawal masalah cirit-birit anda. Ini kerana punca penyebab masalah cirit-birit kronik adalah produk yang mengandungi laktosa. Ironinya, laktosa merupakan salah satu bahan yang terkandung dalam mana-mana produk tenusu.

 

Alkohol dan kafein

Kedua-duanya boleh menyebabkan cirit-birit. Jika anda sudah terbiasa meminum kopi pada waktu pagi atau pada waktu malam, anda perlu berhenti untuk seketika untuk mengelakkan keadaan dari menjadi lebih buruk.

 

Gluten

Anda harus mengelakkan makanan yang mengandungi gluten – ia adalah protein yang terkandung dalam produk yang diproses seperti tepung gandum. Selalunya, individu yang perlu mengelakkan gluten adalah mereka yang mempunyai penyakit seliak (ketidakupayaan untuk memproses gluten).

 

Makanan tinggi serat

Serat merupakan sumber yang baik untuk badan dan hendaklah sentiasa diletakkan dalam diet pemakanan anda. Walau bagaimanapun, Dr. Kussin mengesyorkan bahawa anda harus mengehadkan makanan yang tinggi serat seperti sayur-sayuran dan bijirin penuh kerana ia akan menjadi sukar untuk dihadam apabila anda mengalami cirit-birit. Walaupun anda tidak mengalami penyakit seliak, tetapi apabila anda mengalami cirit-birit, sebaiknya elakkanlah makanan dengan gluten, okay?

 

Makanan berminyak dan berlemak

Makanan berminyak dan berlemak boleh menyebabkan otot pada abdomen anda menjadi tegang dan ia sekali gus akan mengakibatkan cirit-birit anda semakin teruk dan kronik. Ini adalah kerana makanan ini boleh melambatkan proses pengosongan perut, sehingga membuatkan perut terasa kembung.

 

Akhir kalam

Cara hilangkan cirit birit

Mengalami cirit-birit bukanlah satu keadaan kesihatan yang serius dan ia akan pulih selepas dua atau tiga hari.

Kami harap, artikel tentang punca cirit birit dan cara hilangkan cirit birit ini dapat membantu anda.

Walau bagaimanapun, jika ia menjadi lebih teruk dan berlanjutan untuk tempoh lebih dari seminggu, diikuti simptom yang dinyatakan di atas, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan doktor dengan segera. Jangan lengahkan masa.

Jika ingin maklumat lanjut tentang cirit birit, boleh baca di WebMD iaitu dalam Bahasa Inggeris.

Jemput juga baca tentang punca dan cara hilangkan sakit kepala.

Semoga bermanfaat.

Carian dari Google:

  • cara menghilangkan ci
  • cara ubat cirit birit

Leave a Comment